Pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) 34 dibuka dengan persembahan beberapa lagu secara medley. Adibah Nor, Jaclyn Victor, Black, Misha Omar, Hazama antara penyanyi yang terlibat dalam acara pembukaan tersebut.
Pada permulaan, AJL 34 menampilkan 3 pengacara cilik bersama Sherry al-Hadad, Awal As-Shari dan DJ Haziq Hot FM. Salah seorang pengacara cilik tersebut adalah Umairah, anak saudara kepada Dato’ Siti Nurhaliza.
AJL 34 kali ini mempertaruhkan hadiah wang tunai kepada 3 kategori pemenang. Lagu, vokal dan persembahan.
Juara akan menerima RM 50,000, Naib Juara RM 35,000 dan tempat ke-3 RM 20,000.
Bagi pemenang vokal terbaik akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM 12,000 dan Persembahan terbaik juga RM 12,000.
Kugiran Masdo (Dinda)
Mempersembahan latar belakang tahun 60an. Sekumpulan masyarakat setempat dan pasangan pengantin dalam majlis perkahwinan.
Kugiran Masdo berada di pentas majlis perkahwinan tersebut dengan menyanyikan lagu Adinda bagi menyambut pasangan mempelai.
Nyayian dan lagu yang agak sederhana, idea persembahan yang tipikal dan sering dilihat dalam drama dalam filem tempatan. Menggunakan lebih 20 ahli tarian tetapi tidak efektif.
Aina Abdul (Sumpah)
Sumpah merupakan lagu dan lirik ciptaan penyanyi ini sendiri.
Berada ditempat tinggi dikelilingi hutan. Seperti berada di dalam hutan tebal, melarikan diri simbol kepada penyesalan yang dilakukannya.
Aina melontarkan vokal yang padu walaupun tempo lagu ini pada awalnya agak perlahan.
Menutup persembahan dengan darah mengalir pada gaun, pengakhiran kepada segala kesalahan kerana melepaskan cintanya.
Plot persembahan Aina jauh lebih baik, jelas dan mempunyai elemen emosi tinggi berbanding Adinda. Penceritaan lirik lagu mencapai klimaks.
Selepas itu, Ramlah Ram muncul dengan nyanyian lagu terbaiknya kau kunci hatiku, Juara AJL 1980an, ketika bersama hos.
Akim & The Majistret (Rampas)
Cemerlang. Itu yang boleh diberikan kepada Akim & The Majistret.
Pembukaan dari ahli silap mata yang bermain daun terup, pemakaian Akim dan kumpulannya seperti ahli silap mata, susunan pentas untuk ahli silap mata.
Klimaks persembahan terletak pada permulaan persembahan dan Akim berjaya mengekalkan momentum tersebut dengan penghayatan tinggi dalam nyanyiannya.
Penyanyi ini tidak menghadapi sebarang masalah dengan penyampaian emosi lagunya.
Faizal Tahir (Ragaman)
Seperti ada sesuatu yang hilang kerana bukan penyanyi asal yang menyampaikan lagu ini.
Kekuataan Fairuz Misran yang menyerupai wajah dan suara Allahyarham P. Ramlee diterjemahkan kepada susunan pentas, pencahayaan dan latar belakang.
Ia seperti Allahyarham P. Ramlee sedang membuat persembahan pada tahun 1960an di tahun 2020.
Kekuatan dan imej lagu ini hilang sepenuhnya. Identiti lagu tidak menyamai atau menjadi lebih baik dari yang asal.
Lagu luarbiasa menjadi lagu yang sangat biasa.
Ernie Zakri (Ku Bersuara)
Mengagumkan, cukup luar biasa.
Status anak saudara kepada Ziana Zain dan bekas guru vokal meletakkan Ernie berada dalam kelas tersendiri.
Vokalnya membuatkan pendengar ternganga, menenggelamkan pentas.
Bermula dengan suasana keganasan manusia terhadap manusia. Kes rogol, penderaan dan pembunuhan disulami dengan ku bersuara meletakkan lagu ke-6 ini menjadi yang terbaik dari 5 lagu awal.
Dato Siti Nurhaliza (Anta Permana)
Bob membawa lagu ini dengan baik, namun siapa Bob. Berapa ramai mahu melihat Bob?
Nama Dato’ Siti Nurhaliza terlalu besar untuk dibawa oleh mana-mana penyanyi. Seperti ragaman, anta permana hilang aura.
Pentas yang biasa, nyanyian baik dari Bob tetapi tenggelam kerana ‘Siti Nurhaliza’.
Hazama The Penglipurlara (Peneman)
Ada kelas.
Bermula dengan nyayian sambil baring, penyanyi yang bersuara serak basah ini sempurna menyampaikan peneman.
Berada di dalam hutan. Kesunyian, kesana dan kesini. Cukup kesepian.
Isteri Hazama tampil sebagai pemain organ menjadi tumpuan penonton. Pakaian pemain drum berpakaian mortal combat juga mencuri tumpuan.
Prop menghidupkan penceritaan tentang Hazama memerlukan peneman.
Naim Daniel (Sumpah)
Merealisasikan apa yang ada di dalam clip video sumpah ke pentas nyanyian langsung. Tidak mengecewakan malahan sangat baik.
Memberi visual tentang cahaya yang diperlukan oleh cintanya. Galaksi, bulan, biasan cahaya yang kurang sempurna di wajah dan sekumpulan manusia asing yang membawa globe cahaya menghiasi persembahan Naim Daniel.
Naim tidak mengecewakan peminatnya.
Hafiz Suip (Kisah Cinta Kita)
Lagu paling santai yang dinyanyikan di taman bunga. Kualiti suara Hafiz tidak dinafikan seperti telan kaset.
Kejutan pada persembahan berlaku apabila lagu dihentikan dan menayangkan video perkahwinannya.
Hafiz turun ke pentas dan menjemput isterinya yang sedang hamil.
Aman Ra (Bangun)
Penggemar muzik rap ada bahagiannya pada AJL 34. Aman Ra memukau.
Lagu generasi muda ini dipertontonkan dengan cara yang lain dari kebiasaan.
Kelihatan ‘agak tua’ tetapi kekal bertenaga. Pemakaian Aman Ra dan pemuzik seperti era 60an, dimana tiada lagi muzik rap pada ketika itu.
Bangun mengisahkan sikap penduduk flat yang agak malas dan diberi semangat oleh Aman supaya lebih berusaha.
Drama Band (Drama)
Keterlaluan atau boleh diterima?
Aepul Roza gagal mengeluarkan vokal yang sempurna, menjadi peserta tunggal gagal melakukannya. Roza agak bergelut menstabilkan suaranya.
Sekumpulan zombie menghiasi pentas dengan beberapa aksi humor, vokalis tersebut tampil dengan topeng hantu.
Bagaimanapun susunan muzik ini baik. Bagi peminat muzik yang gemar dengan ton riff yang berat, drama adalah lagunya.
Haqiem Rusli (Lembah Kesepian)
Permainan gitar yang sarat dengan teknik palm mute. Kejutan apabila Dato’ Rosyam Nor tampil dalam sketsa pendek di pertengahan lagu.
Lembah kesepian mengisahkan pengorbanan seorang ayah. Disampaikan dengan penjiwaan sempurna oleh Haqiem. Tiada kecacatan vokal.
Haqiem terus menerima anugerah (undian peminat) dari penaja –setel- selepas menamatkan nyanyiannya.
Keputusan
Juara: Naim Danial (Sumpah)
Naib Juara: Aman Ra (Bangun)
Ke-3: Dato Siti Nurhaliza*/Bob Yusof (Anta Permana)
Vokal terbaik: Hafiz Suip (Kisah Cinta Kita)
Persembahan terbaik: Hafiz Suip (Kisah Cinta Kita)
*penyanyi asal