Laporan Penilaian Rangnick: Maguire, Shaw, Wan Bissaka Tak Cukup Bagus, Perlu Digantikan

Ralf Rangnick dilaporkan sudah membentangkan laporan prestasi pertama melibatkan para pemain Manchester United.

Dan yang paling mengejutkan adalah 3 daripada 4 pertahanan utama United musim lalu dikatakan tidak cukup bagus untuk menjadi pemain utama United.

Mereka ialah Harry Maguire Sang Kapten, kemudian pemain kebangsaan England, Luke Shaw dan Aaron Wan Bissaka.

Manchester United telah mengadakan mesyuarat melibatkan Rangnick dan beberapa orang dari kalangan pengurusan tertinggi kelab yang dianggap tokoh penting di Old Trafford.

Pengurus sementara itu akan mengambil peranan sebagai perunding dalam kelab pada musim panas akan datang, dengan penilaian bakat dan pencarian bakat — kedua-dua peranan itu difahami sebagai aspek penting dalam peranannya.

Jadi, Rangnick bertanggungjawab untuk memastikan ada peningkatan dari kalangan pemain yang ada dalam pasukan ketika beraksi di atas padang musim ini.

Pemain pemain yang cemerlang akan terus berada dalam perancangan kelab di masa akan datang. Sementara untuk pemain yang beraksi di bawah prestasi diharapkan, mereka berpotensi untuk dijual atau dilepaskan.

United akan berdepan dengan Brentford pada malam Rabu dalam usaha mereka mahu mendaki carta Liga Perdana Inggeris.

Pengarah bola sepak United sekarang, John Murtough berminat untuk Rangnick menjadi sebahagian daripada struktur kelab dan menyampaikan idea kepada CEO baharu Richard Arnold.

Semua laporan ini akan menjadi butiran penting kepada polisi perpindahan masuk pemain dalam beberapa bulan akan datang. Idea Rangnick mungkin menjadi kunci kepada hala tuju United.

Antara pemain yang dipantau oleh Rangnick ketika ini adalah pemain Wolves iaitu Max Kilman selepas aksi cemerlangnya di bawah kendalian Bruno Lage.

Sementara itu, Amadou Haidara dari RB Leipzig adalah sasaran yang berpotensi untuk mengukuhkan bahagian tengah.

Fred akan memainkan peranan penting

Rangnick juga difahamkan kagum dengan beberapa pemain skuad United sekarang sejak ketibaannya, termasuk pemain tengah Brazil, Fred. Rangnick yakin Fred akan menjadi nadi penting projek Man United bermula musim depan.

Ini kerana Rangnick sukakan kerajinan dan keupayaan Fred untuk menekan / pressing lawan di hadapan.

Selain itu Rangnick sudah mengesahkan bahawa Sancho akan menjadi pemain penting dalam projek mereka. Dan Rangnick sendiri sanggup menukar formasi daripada 4-2-2-2 kepada 4-3-3 demi untuk mendapatkan yang terbaik dari Sancho.

Rangnick menjelaskan bahawa, adalah penting untuk bermain dalam formasi yang membolehkan semua pemain bermain di peranan terbaik mereka.

Sancho tidak akan diberikan peranan di tengah sebagai no.8 atau 10. Sebaliknya dia hanya akan bermain di wing. Sama ada wing kiri (pilihan utama) atau wing kanan.

Peranan wing kiri ketika ini seringkali menjadi milik Rashford.

Berbalik kepada beberapa pemain yang kurang memuaskan hati Rangnick. Agak mengejutkan apabila kapten lantikan Ole iaitu Harry Maguire disenaraikan dalam senarai untuk digantikan.

Harry Maguire seringkali melakukan kesilapan yang tidak munasabah di atas padang.

Seterusnya Luke Shaw dan Wan Bissaka juga dirasakan tidak cukup bagus. Shaw lambat untuk mengejar lawan ketika serangan balas.

Sementara itu Wan Bissak sangat kental dari segi defensif.

Namun dari segi sumbangan di zon serangan Wan Bissaka tidak memiliki kualiti hantaran lintang yang diperlukan untuk menjadi senjata tambahan dari belakang apabila menyerang. Lebih lebih lagi pasukan mahu bermain 4-3-3 dengan 2 pemain sayap yang bukan penghantar bola lintang.

Nampaknya projek Man United untuk musim hadapan sudah benar benar bermula di bawah Rangnick pada ketika ini.

Baca yang lain