Laporta Berdepan Penggantungan 10 Perlawanan Kerana Serang Pengadil Di Bilik Persalinan

Presiden Barcelona, ​​Joan Laporta, berdepan tindakan tegas daripada La Liga. Dia kini berdepan kemungkinan akan dikenakan penggantungan selepas tindakannya menyerang pengadil di bilik persalinan mereka.

Insiden itu berlaku semasa perlawanan El Clasico menentang Real Madrid baru baru ini.

Barcelona menelan kekalahan 3-1 di tangan musuh tradisi mereka, Real Madrid.

Pada satu ketika Barcelona dilihat boleh bangkit dengan aksi dominan dan jaringan Ferran Torres yang menjadikan kedudukan 2-1.

Namun kesilapan Eric Garcia telah memberikan Real Madrid penalti. Dan ianya disempurnakan oleh Rodrygo Goes untuk memastikan Real Madrid menang 3-1.0

Bagaimanapun,  bukan El Clasico namanya jika ia tidak meninggalkan kontroversi.

Menurut Mundo Deportivo, Joan Laporta terlibat dalam masalah dengan pengadil dalam perlawanan tersebut, Sanchez Martinez.

Laporta dilaporkan pergi membuat protes kepada Martinez selepas permainan tamat.

Di mana dia turun sendiri ke dalam bilik persalinan pengadil untuk menyatakan bantahannya.

Barca Universal turut melaporkan bahawa, pegawai perlawanan sudah membuat laporan rasmi tentang serangan yang dilakukan Laporta ke atas mereka ketika di bilik persalinan pengadil.

Bantahan Laporta berkaitan dengan beberapa keputusan Martinez di atas padang yang menurutnya berat sebelah kepada Real Madrid.

Salah satunya ialah penalti yang diberikan kepada Real Madrid pada separuh masa kedua masa kecederaan.

Dalam keputusan itu, Martinez menghadiahkan penalti kepada Los Blancos selepas Eric Garcia menjatuhkan Rodrygo Goes dalam kotak penalti dengan terpijak kaki pemain itu ketika cuba memenangi bola.

Bagaimanapun, sebelum itu, Martinez tidak menghadiahkan penalti untuk Barcelona apabila Robert Lewandowski dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Dani Carvajal.

Perkara itu membuatkan Laporta bengang dan pergi berkofrontasi dengan pengadil perlawanan. Dilaporkan dia berleter panjang lebar dengan pengadil sehinggalah seseorang – dipercayai pegawai pasukan Barcelona – datang memujuknya untuk meninggalkan tempat tersebut.

Tindakan Laporta itu ternyata bakal mengundang masalah. Laporta kini berdepan penggantungan atau sekatan daripada menghadiri acara La Liga. Dan sudah tentunya dia berdepan dengan denda.

Denda minimum untuk kesalahan yang serupa dilaporkan sekitar EUR600 dan maksimum EUR3,006.

Penggantungan antara 4 sehingga 10 perlawanan, jika Laporta didapati bersalah.

Sebelum ini, Presiden Sevilla, Jose Castro, melakukan kesalahan serupa ketika aksi menentang Osasuna. Dan dia dikenakan sekatan 10 perlawanan.

Laporta sebelum ini pernah mengkritik secara terbuka mutu pengadilan di UCL. Di mana menurutnya, pengadil aksi antara Barca dan Inter adalah sangat teruk.

Laporta ketika itu berkata: “Kita semua sangat marah minggu ini. Pengadil perlawanan menentang Inter adalah memalukan. Saya mahu UEFA tahu kerana ianya jelas sekali.”

“Pengadil di bilik VAR tidak memberikan sebarang komen. Ini adalah perkara serius. Dia tidak memberikan penalti kepada Dembele.”

Baca yang lain