Presiden Barcelona, Joan Laporta menyatakan bahawa dia lebih memilih strategi Barcelona yang ada, untuk terus menggilap bakat muda daripada La Masia berbanding dengan mendapatkan pemain bintang besar daripada kelab lain.
Barcelona dalam beberapa tahun kebelakangan ini rancak menghasilkan bakat dari La Masia sekali lagi setelah Laporta mengambil alih.
Sebelum ini pada era Bartomeu, Barcelona banyak menumpukan usaha membeli pemain bintang besar dari kelab lain yang memakan kos sangat tinggi. Ianya telah meletakkan kelab itu dalam masalah kewangan ketika pandemik.
Laporta mengakui bahawa, sebagai peminat Barcelona dia tidak gembira melihat pemain sehebat Mbappe menyertai seteru utama mereka. Ini kerana Mbappe akan menguatkan lagi Real Madrid selepas ini.
Namun dari segi strategi kesukanan pula, dia lebih percaya kepada projek Barcelona untuk terus menggilap bakat bakat akademi mereka untuk dinaikkan pangkat ke pasukan utama. Ia telah menjadi salah satu kekuatan Barcelona sejak zaman berzaman.
Dalam beberapa musim ini, pemain seperti Pedri, Gavi, Lamine Yamal dan Ansu Fati antara yang menyerlah. Fati sebelum ini diberikan jersi no.10 pada usianya sangat muda. Namun kecederaan memaksa pemain itu disisihkan dan bergelut dengan prestasi selepas itu.
Laporta memberitahu Mundo Deportivo: “Sebagai penyokong Barcelona, ianya berita yang tak bagus untuk melihat Mbappe ke Real Madrid. Namun jujurnya, saya lebih memilih dan percaya kepada strategi kami untuk percaya kepada projek dengan melahirkan bakat dan dilahirkan oleh La Masia.
“Tetapi saya masih menghormati seteru kami, namun pada masa yang sama saya masih berpegang kepada filosofi kami.”
🔵🔴 Barça president Laporta: “As Barça fan, it’s not good news to see Mbappé to Real Madrid”.
“But to be honest, I prefer our strategy to trust a project with players produced and made in La Masia”.
“I respect our rivals but I keep our Philosophy”, via @mundodeportivo. pic.twitter.com/UsLgUWflhz
— Fabrizio Romano (@FabrizioRomano) June 4, 2024
Barcelona kini dalam proses untuk melantik Hansi Flick sebagai pengurus baharu mereka. Namun mereka masih perlu menyelesaikan beberapa isu untuk mendaftarkan pengurus itu.
Barca sebelum ini memecat Xavi Hernandez kerana dianggap bersikap tidak profesional ketika memberikan komen tentang masalah kewangan kelab secara terbuka kepada umum. Pada masa yang sama Xavi menganggap Barcelona akan sukar menggugat Real Madrid musim depan dengan kekangan yang mereka hadapi dari segi FFP.
Komen itu membuatkan Laporta bengang dan dia memecat Xavi dengan memaklumkan kepada pengurus itu menerusi telefon.
Sebelum itu Laporta jugalah yang memujuk Xavi agar tak jadi lepaskan jawatan kerana sukar mencari pengurus berkelas dunia pada masa ini.