Lashley Berjaya ‘Tidurkan’ McIntyre Untuk Pertahankan Kejuaraan Dunia WWE Miliknya

Bobby Lashley berjaya menidurkan Drew McIntyre seterusnya mempertahankan sabuk kejuaraan dunia WWE miliknya.

Buat pertama kalinya selepas setahun, acara PPV WWE boleh dihadiri oleh para penonton dengan 25,000 peminat datang menyaksikan acara WrestleMania 37 secara langsung.

Acara WrestleMania kali ini sedikit terganggu dek masalah cuaca dan perlawanan pertama juga bermula sedikit lewat dari yang dijadualkan.

Perlawanan yang menemukan antara Bobby Lashley bertemu Drew McIntyre untuk kejuaraan Dunia WWE menjadi perlawanan pembukaan untuk acara yang dilangsungkan di Tampa, Florida itu.

Build up pertemuan antara kedua-dua mereka boleh dikatakan agak menarik dan dalam perlawanan pada hari ini, kedua-dua mereka telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan.

Tidak seperti pertembungan dua penggusti Heavyweight yang biasa dilihat, kedua-dua mereka mempamerkan aksi yang sungguh memuaskan hati dengan disulam beberapa aksi akrobatik dari Drew.

Durasi perlawanan mereka juga agak lama dan berbaloi untuk disaksikan, kedua-dua penggusti saling mendominasi satu sama lain dan mereka berdua menunjukkan kemampuan sebenar untuk bergelas penggusti utama syarikat.

Drew beberapa kali mencuba untuk menewaskan Bobby dengan menggunakan pelbagai teknik, bermula dengan triple DDT sehinggalah teknik kunci.

Namun ketika beliau cuba untuk melakukan Claymore kick, Drew sedikit terganggu dengan gangguan dari MVP dan bermula dari situ beliau telah dikunci oleh Lashley.

Ketua pakatan The Hurt Business itu berjaya mempertahankan sabuk kejuaraan dunia WWE miliknya dengan menewaskan Drew McIntyre.

Perlawanan kedua merupakan Womens Tag Team Turmoil yang disertai oleh Lana & Naomi, Billy Kay & Carmella, Riot Squad, Dana Brooke & Mandy Rose dan Natalya & Tamina.

Perlawanan yang berkonsepkan kalah keluar ini boleh dianggap sebagai perlawanan paling membosankan di acara WrestleMania kali ini.

Natalya & Tamina berjaya memenangi perlawanan ini selepas mereka menjadi pasukan terakhir yang keluar dan dengan mudah menyingkirkan Riot Squad.

Perlawanan ketiga pula antara yang terbaik di acara WrestleMania kali ini dengan Seth Rollins bertemu Cesaro dalam aksi satu lawan satu.

Perlawanan ini merupakan aksi perlawanan single pertama Cesaro di pentas WrestleMania sepanjang kariernya.

Beliau merupakan antara penggusti underdog paling diminati dan kedua-dua mereka telah mempamerkan aksi persembahan cukup menarik dalam perlawanan ini.

Seth Rollins seperti biasa tidak pernah mengecewakan peminat selepas beliau turut cemerlang mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan.

Cesaro sepertinya akan mendapat push dari WWE ekoran dari kemenangan beliau menewaskan Seth Rollins dalam perlawanan ini.

Kedua-dua mereka mendapat standing ovation dari para peminat selepas mempamerkan persembahan yang sungguh hebat itu.

Perlawanan keempat di malam pertama WrestleMania kali ini adalah perlawanan bagi merebut sabuk kejuaraan regu dunia WWE yang menemukan AJ Styles & Omos bertemu New Day.

Perlawanan ini juga boleh dianggap sebagai perlawanan yang menarik dengan pembinaan karakter Omos yang begitu kuat dan menjadi.

AJ memulakan aksi dan berdepan dengan kedua-dua Kofi dan Xavier sebelum beliau menyerahkan tugas kepada Omos untuk mendominasi kedua-dua anggota kumpulan New Day itu.

Omos dilihat terlalu kuat dan tidak mampu ditandingi oleh New Day, beliau juga mempunyai move set yang cukup bagus untuk menjadikannya penggusti yang digeruni.

Omos dan AJ Styles berjaya merampas sabuk kejuaraan regu dunia WWE itu dari The New Day dan sangat menarik untuk menyaksikan apa perancangan untuk pasangan regu itu selepas ini.

Seterusnya merupakan pertembungan dalam sangkar yang menemukan Braun Strowman bertemu Shane McMahon.

Kesimpulan untuk perlawanan ni adalah Strowman sebenarnya tidak berpuas dengan Shane kerana beliau merasakan dirinya dibuli oleh anak kepada pemilik syarikat itu.

Jadi untuk menyelesaikan permasalahan antara mereka, kedua-dua penggusti itu bersetuju untuk bertarung di WrestleMania.

Masalahnya kenapa pembuli tu Shane dan mangsa buli tu Strowman? Tak masuk akal langsung. Shane pun mentang anak boss kemain berani cabar monster among man.

Detik paling best dalam perlawanan ini adalah ketika Strowman mengoyakkan pagar sangkar tersebut sebelum menghempas Shane dari puncak sangkar ke bawah.

Seperti yang diramal, Braun Strowman berjaya menewaskan Shane dan membuktikan beliau tidak sebodoh seperti yang disangka.

Co main-events di acara WrestleMania malam pertama ini adalah perlawanan regu yang menemukan Bad Bunny & Damien Priest bertemu The Miz & John Morrison.

Bad Bunny merupakan seorang rappers terkenal yang telah banyak memenangi anugerah, beliau sememangnya peminat tegar WWE dan telah berlaku konflik antaranya dengan Miz & Morrison.

Pujian sepenuhnya harus diberikan kepada Bad Bunny yang telah mempamerkan aksi yang sungguh luar biasa menakjubkan.

Beliau tak menunjukkan dirinya seperti seorang penyanyi, sebaliknya Bad Bunny telah menunjukkan aksi seolah beliau telah bertahun-tahun berlatih gusti profesional.

Paling menarik, Bad Bunny turut melancarkan serangan Canadian Destroyer di luar gelanggang ke atas John Morrison.

Damien Priest dan The Miz sendiri kaku dan seakan tak percaya melihat Bad Bunny berjaya melakukan gerakan tersebut dengan sempurna.

Main event adalah perlawanan Juara Dunia wanita yang menemukan Sasha Banks bertemu Bianca Belair.

Kedua-dua mereka telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh luar biasa hebat dan ia layak diletakkan di acara kemuncak.

Bianca Belair berjaya menewaskan Sasha Banks seterusnya memenuhi impian beliau untuk menjuarai kejuaraan Wanita Dunia WWE.

Pujian harus diberikan kepada Sasha Banks yang sanggup mengkorbankan badannya untuk dilukai demi memberikan yang terbaik dalam perlawanan ini.

Bekas Juara Dunia Wanita WWE itu jelas tidak mampu menahan emosinya yang turut gembira melihat Bianca Belair meraikan kejayaannya memenangi perlawanan tersebut.

Baca yang lain