Latihan Taktikal, Teknikal & Buat Sit Ups 3,000 Kali Sehari Tanpa Gagal Antara Rutin Ronaldo

Cristiano Ronaldo dilabel oleh Sir Alex sebagai obses dengan latihan. Dengan peningkatan luar biasa daripada seorang pemain muda kepada salah seorang pemain terbaik dalam sejarah dunia, bukan perkara yang mudah.

Sir Alex Ferguson pernah berkata: “Apa yang berlaku kepada kariernya bukan kebetulan. Saya melihat Ronaldo berlatih sepanjang masa di pusat latihan.”

Jika korang nak menjadi seperti Ronaldo, korang kena tahu, 3 perkataan yang menjadi pegangan adalah; displin, motivasi, dedikasi.

Ketika Ronaldo dibawa masuk ke Manchester United, salah satu perkara terbaik berlaku dalam hidupnya adalah mendapat fasiliti dan staf kejurulatihan yang berkelas dunia di bawah Sir Alex.

Beliau diuruskan oleh pasukan nutrisi yang membantunya membentuk fizikal daripada keding kepada lasak dan sado.

Semua itu mustahil untuk berlaku tanpa ada pengurusan sistematik dan displin daripada pemain itu sendiri.

Latihan taktikal dan teknikal

Ketika di Real Madrid, Ronaldo berlatih 5 kali seminggu di pusat latihan Real Madrid. Bergantung kepada jumlah perlawanan. Dalam setiap latihannya, beliau meluangkan masa 3-4 jam latihan berpasukan yang dikawal dengan diet ketat oleh pengurus.

Dalam dokumentari “Regresso dos Incríveis 2010” Ronaldo juga menyatakan tidur adalah perkara yang sangat penting. Beliau sentiasa tidur awal untuk memastikannya cergas bangun awal pagi esok.

Berikut adalah rutin workout abang Do ketika di Real Madrid:

  • Sesi workout 3-4 jam sehari untuk memastikan kandungan lemak dalam badan sangat rendah (<10%)
  • Melakukan latihan larian berkaitan dengan cardio (25-30 min)
  • Latihan berat ataupun intensif – termasuk latihan pecutan (dalam kadar pendek)
  • Latihan teknikal termasuk meningkakan skil dan kawalan bola
  • Latihan taktikal untuk mewujudkan persefahaman dengan rakan rakan sepasukan
  • Latihan gym untuk otot dan kekuatan fizikal

Ronaldo seorang yang sangat rajin melakukan latihan tambahan. Selepas tamat sesi latihan pasukan beliau akan melakukan latihan tambahan selama berjam jam lamanya.

Di rumah beliau turut melakukan latihan tambahan termasuk latihan di gym dan juga mengawal bola.

Gila dengan latihan

Bekas rakan sepasukannya, Mehdi Benatia melabel Ronaldo sebagai bukan manusia biasa.

“Dalam aksi berdepan Bergamo, saya dan Ronaldo menjadi pemain simpanan tak digunakan masa tu kerana penggiliran skuad. 3 hari kemudian kami ada satu lagi perlawanan.”

“Ketika berada dalam bas balik dari Bergamo, Cristiano mesej saya; ‘ Awak buat apa lepas ni?’ Saya jawab, dah 11 malam, dah tentu saya balik rumah, kenapa ye?”

“Dia balas ‘awak nak pergi ke gym tak melakukan beberapa sesi latihan? Saya tak berpeluh langsung hari ni, saya perlukannya, nak datang tak?’ Dia tanya saya.”

“Saya balas balik, dah pukul 11 bro, saya nak balik rumah la, tengok tv. Ronaldo ni memang bukan manusia biasa.”

Carlos Tevez juga pernah berkata: “Sesi latihan ditetapkan pada 9 pagi. Saya seawal pukul 8 pagi dah tiba di sana. Tetapi dia dah berada di sana lebih awal.”|

“Lalu berikutnya saya datang seawal 7.30 pagi pun dia dah berada di sana. Saya pun tertanya tanya, macam mana saya nak kalahkan dia ni [datang lebih awal].”

“Jadi hari seterusnya saya datang pukul 6 pagi pulak. Itupun dia sudah di sana lebih awal. Muka dia mengantuk masa tu, tapi dia dah tiba awal.”

Bekas jurulatih kecergasan Ronaldo, Giovanni Mauri berkongsi cerita Ronaldo terus ke pusat latihan pada 2 pagi selepas tamat aksi UCL untuk sesi pemulihan.

“Pemain pemain lain tiba di Turin daripada aksi tempat lawan UCL untuk balik terus ke rumah. Tapi dia tak, pergi ke pusat latihan. Melakukan beberapa sesi pemulihan fizikal dan cryotherapy.”

Nak abs macam Ronaldo?

Untuk memiliki abs seperti Ronaldo adalah cabaran yang sangat besar. Definisi mudahnya, abs itu hanya akan keluar jika kandungan badan dalam badan korang sangat rendah.

Seperti yang dinyatakan di atas, Ronaldo akan sedaya upaya memastikan lemak badannya di bawah 10%. Laporan daripada petugas medikal di Juve melaporkan badan Ronaldo cuma ada 7% lemak ketika sesi medikal dengan pasukan mereka.

Daily Star melaporkan Cristiano Ronaldo melakukan latihan sit ups sebanyak 3,000 kali sehari tanpa gagal.

Pemakanan

Malah laporan yang sama menyebut. Ronaldo melakukannya sambil menonton tv. Beliau pernah menasihatkan agar kita semua melakukan latihan dengan cara menyeronokkan. Ini termasuk berlatih dengan anak anak sekali. Baru latihan itu tidak terlalu membosankan.

Dari segi diet, Patrice Evra pun surrender dengan Ronaldo. Patrice Evra pernah berkata: “Jika anda ke rumah Ronaldo, anda jangan terima kalau Ronaldo mempelawa anda makan, kerana di peti sejuk beliau tidak ada daging atau makanan sedap dan mewah seperti yang anda harapkan.”

“Saya penuh harapan datang ke rumah dia selepas 2 kali saya menolak sebelum itu. Saya ingatkan saya akan makan yang sedap-sedap. Sekali hanya makan salad dan ayam ‘kosong’.”

“Lepas habis makan dan tiba tiba dia mengajak saya ke halaman rumahnya untuk berlatih.”

“Dalam peti sejuk beliau ada hanyalah makanan yang sihat di dalamnya. Namun kemudian saya belajar untuk memakan makanan sihat daripada beliau.”

Beliau menggabungkan diet disediakan kelab dengan diet yang diuruskan oleh pakar nutrisinya secara peribadi.

Jadi, walaupun di luar kelab, Ronaldo masih terikat dengan rutin pemakanan sihat di mana sahaja.

Kekerapan makan – Ronaldo seorang yang makan secara kerap pada amaun yang sedikit. Dilaporkan purata Ronaldo makan adalah enam kali. Dari pagi sehinggalah dia tidur awal pada sebelah malam.

Beliau makan makanan yang sihat sahaja untuk memastikan badannya memiliki kadar metabolisme yang tinggi.

Antara makanan dan minuman yang dielakkan Ronaldo termasuk makanan dan minuman yang manis termasuk air bergas yang mampu melonjakkan kadar gula dalam darah.

“Latihan ataupun workout yang baik haruslah digabungkan dengan diet yang sihat. Kalau tak, ianya sia-sia.”

“Saya mengamalkan diet berprotein tinggi,  wholegrain carbs, buah-buahan, sayur-sayuran dan elakkan makanan bergula.”

“Saya suka makan ikan yang dimasak dengan bawang, sedikit hirisan kentang dan scrambled eggs.”

“Kalau di restauran saya akan makan stik dan salad.”

“Paling penting jangan tak makan, makan seperti biasa. Ini penting untuk mengekalkan tenaga dalam badan anda dan membantu untuk memberikan anda aksi lebih baik.”

“Saya kadangkala makan sampai 6 kali sehari pada kadar yang sedikit untuk memastikan saya ada tenaga yang cukup untuk melakukan setiap sesi dalam keadaan terbaik.”

“Hidrasi juga sangat penting. Minum banyak air kosong dan elakkan alkohol.”

Cara hidup sihat ini sudah menjadi sebahagian daripada gaya hidup Ronaldo. Beliau juga seperti manusia lain, mahukan makanan yang manis sedap-sedap.

Beliau mengakui pada awalnya, agak sukar untuk melakukannya namun beliau bertekad untuk membiasakan dirinya.

“Benda ini bukan sahaja mencabar secara fizikal, tetapi secara mental juga. Anda harus belajar melatih minda dan badan anda.”

“Kekuatan mental sama pentingnya dengan kekuatan fizikal dan dengan itu barulah anda boleh cuba mencapai apa yang anda hajatkan.”

“Berdisiplin! Sentiasa bermotivasi dan fokus untuk kekal dengan rutin anda, itu adalah kunci.”

“Untuk saya, tiada masa untuk tidak serius dan saya kena tegas dalam hal ini.”

“Anda boleh membantu diri anda dengan meletakkan gol (matlamat) dan berlatih dengan rakan anda untuk menambahkan persaingan kompetitif sesama anda.”

Baca yang lain