Laurentiis Perlekehkan Bidaan €200 Juta Al Hilal Dapatkan Osimhen

Napoli sudah memberikan amaran kepada kelab dari Arab Saudi bahawa mereka harus menyediakan €500 juta jika mahu membeli Victor Osimhen.

Sebelum ini Napoli dilaporkan meletakkan tanda harga €200 juta untuk pemain itu sebaik sahaja PSG bercadang mahu membelinya dengan nilai €150 juta.

Kini tanda harga itu meningkat naik. Osimhen yang terus kekal di Napoli menjadi nadi penting kelab itu sekali lagi.

Penyerang asal Nigeria itu antara penyerang terbaik di Eropah musim lalu. Walaupun mengalami kecederaan pada beberapa ketika musim lalu, dia masih menjaringkan 31 gol daripada 39 perlawanan untuk membantu Napoli bergelar juara Serie A.

Selain daripada PSG, kelab dari Arab Saudi dilaporkan berminat mendapatkan pemain itu.

Al Hilal antara pasukan yang sedang memantau pemain tersebut. Kelab yang disokong oleh dana PIF sudah sedia membayar €200 juta untuk mendapatkan Osimhen. Dengan tawaran gaji €40 juta setahun tanpa cukai.

Namun Presiden Napoli, Aurelio De Laurentiis kini sudah menaikkan harga pemain itu lebih dua kali ganda.

Dia menegaskan jika Al Hilal menawarkan hanya €200 juta, itu cuma harga untuk sebelah kaki Osimhen sahaja.

Laurentiis mengakui dia sudah membalas email kepada wakil Al Hilal yang menghantar bidaan kepada mereka untuk membeli Osimhen.

Laurentiis berkata: “Dengan €200 juta kamu hanya dapat sebelah kami Osimhen sahaja.”

“Untuk musim depan, kamu boleh mendapatkan Osimhen dengan harga bermuma €500 juta, mungkin kami akan melayan tawaran anda. Itu ‘mungkin’ la.”