Chelsea akan mendapat bonus £5 juta daripada Real Madrid kerana kelab itu berjaya mara ke final UCL musim ini. Real Madrid menyingkirkan Man City dari peringkat separuh akhir UCL musim ini.
Real Madrid akan bertemu dengan Borussia Dortmund di final yang akan diadakan di Wembley beberapa minggu lagi.
Menariknya, Real Madrid masih perlu membayar Chelsea £5 juta kerana kejayaan tersebut. Ini kerana dalam klausa kontrak Hazard, ada satu klausa bonus prestasi dimasukkan. Jika Real Madrid layak ke final dalam masa penggal pertama kontrak Hazard di Real Madrid, maka Chelsea akan mendapat bonus.
Menariknya Eden Hazard sudah pun bersara 7 bulan yang lalu. Selepas kedua dua pihak mencapai kesepakatan untuk menamatkan kontrak yang masih berbaki setahun sehingga 2025.
Real Madrid membayar £130 juta kepada Chelsea pada 2019 untuk membeli Eden Hazard. Pakej bonus keseluruhan mencecah £40 juta atas pelbagai klausa.
Antaranya adalah bonus jika Real Madrid masuk final UCL. Maka Chelsea akan menerima £5 juta. Dalam kontrak tersebut tidak dinyatakan bahawa bonus itu akan terbatal jika Hazard sudah tidak bersama Real Madrid. Ianya cuma terkandung tempoh sehingga 2025.
Chelsea sebelum ini sudah mendapat £5 juta bonus ketika Hazard berada di bangku simpanan sebagai pemain tidak diturunkan dalam aksi final menentang Liverpool pada final 2022.
Dan kini Chelsea akan menerima £5 juta lagi daripada Real Madrid dengan sekali lagi Hazard tidak menyumbang kepada pasukan dalam kempen UCL mereka.
Hazard bergelut dengan prestasinya sejak menyertai Real Madrid. Dia berdepan dengan banyak krisis kecederaan yang memburukkan lagi situasinya.
Chelsea mendapat pulangan luar biasa daripada penjualan Hazard. Kerana pemain itu berada pada 12 bulan terakhir kontraknya ketika Real Madrid main gila sanggup membayar £130 juta kepada Chelsea untuk pemain yang hampir percuma.
Chelsea hanya mengeluarkan modal £32 juta untuk membeli Hazard dari Lille sebelum itu.
Dan kelab itu terus menuai hasil daripada Hazard. Bonus itu benar benar dialu alukan Chelsea kerana mereka berdepan dengan tekanan dari segi FFP. Setelah kelab itu terlepas satu lagi musim UCL sebaik sahaja mereka berbelanja sangat besar.
Real Madrid pastinya akan mengkaji semula klausa bonus pemain selepas ini. Jarang kes ini berlaku kepada Madrid di bawah atok Perez.