Lebih Ramai Polis & Tentera Ditahan, Jadi Tali Barut Seludup PATI Ke Negara Kita

KUALA LUMPUR: Puluhan anggota polis dan anggota Angkatan Tentera telah dikenal pasti bersekongkol dengan sindiket pemerdagangan manusia dan menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara Malaysia, kata Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Ketua Polis Negara mengatakan mereka yang terlibat dengan sindiket itu akan ditahan dalam operasi besar-besaran berikutan penangkapan 18 anggota penguatkuasa di Johor baru-baru ini.

“Kami akan mengambil tindakan drastik dalam menangkap anggota polis dan Angkatan Tentera yang terlibat dengan sindiket tersebut.

“Tindakan pantas akan diambil.”

“Menteri Dalam Negeri dan Panglima Angkatan Tentera telah diberi penerangan mengenai perkara itu,” katanya dalam wawancara baru-baru ini.

Mereka yang dikenal pasti bersekongkol dengan sindiket itu dan akan bertanggungjawab di atas jenayah mereka, tambahnya.

“Kami tidak menunjuk nunjuk, tetapi sebaliknya, kami dengan tulus mengambil tindakan terhadap buah epal yang buruk.”

“Ini bukan kambing hitam yang dikorbankan, kerana mereka sememangnya ada kaitan sangat kuat dengan sindiket,” katanya.

Anggota penguatkuasa yang dikenal pasti dipercayai akan cuba membantu bagi memastikan penyeludupan itu berjaya bagi mendapatkan bayaran.

Polis tertinggi negara ini juga memuji tindakan polis Johor dalam menangkap 13 anggota polis dan lima anggota Angkatan Tentera yang berkaitan dengan sindiket tersebut.

“Tindakan besar besaran daripada kami akan berlanjutan, dan anggota penguatkuasa yang terlibat dengan sindiket ini tidak akan terlepas,” katanya.

Dilaporkan bahawa 18 anggota penguatkuasa ditahan dalam operasi yang dijalankan dari 15 Jun hingga 18 Jun.

Baru-baru ini, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengatakan bahawa mereka dibayar oleh sindiket yang menggunakan bahagian pantai timur Johor untuk melakukan kegiatan haram mereka.

“Kami percaya bahawa sekurang-kurangnya salah seorang anggota yang terlibat menerima pembayaran wang tunai RM10,000 kerana berjaya melakukan aktiviti penyeludupan,” katanya.

Sementara itu,  Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Affendi Buang – mengatakan bahawa tentera tidak akan berkompromi jika ada anggotanya yang terlibat dalam kegiatan jenayah serta menjadi tali barut menggadaikan kehormatan negara.

“Kita mesti tegas dalam hal ini kerana tindakan pelaku tersebut akan merosakkan imej tentera sebagai pasukan keselamatan.”

“Kami juga menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lebih lanjut terhadap mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan sindiket,” katanya dalam satu kenyataan.

Baca yang lain