Legenda Arsenal Bidas Ozil: ‘Dia Orang Tak Bagus Di Bilik Persalinan Dan Atas Padang’

Bekas pemain antarabangsa Jerman, Mesut Ozil disisihkan oleh Arsenal pada musim ini. Dan kali terakhir Ozil menyarung jersi Arsenal di atas padang adalah pada Mac 2020.

Karier Ozil di Arsenal menuju ke penghujungnya. Di kala ramai peminat Ozil mempertahankan pemain tersebut dan mengecam tindakan kelab dan Arteta melayan salah seorang perancang tengah terbaik dalam generasinya – Lima Brady pula sebaliknya.

Legenda Arsenal – Liam Brady – menyatakan bahawa Ozil bukan individu yang baik di bilik persalinan dan juga bukan orang yang bagus di atas padang.

Menurut Brady, Arteta sudah memberikan banyak peluang kepada pemain itu. Namun Ozil gagal memberikan aksi terbaiknya.

Arsenal kini berdepan masalah kreativiti di tengah padang. Perkara itu beberapa kali dinyatakan oleh Arteta mahupun Edu. Namun bagi Brady, Ozil bukan penyelesaian untuk kelompongan itu.

Brady berkata: “Saya tak salahkan Arteta atas isu berkaitan Ozil.”

Pemenang Piala FA 1979, dengan 307 penampilan untuk Arsenal, Brady diiktiraf pemain kelapan teragung dalam sejarah Arsenal.

Beliau memberitahu pandangannya dalam Keys and Gray podcast: “Arteta sudah memberikan Ozil banyak peluang dan Ozil beraksi baik dalam beberapa bulan.”

“Dan kemudian Ozil kembali kepada masalah lamanya.”

“Dia bukan individu yang bagus di bilik persalinan; dia bukan individu yang bagus di atas padang. Jadi saya tiada masalah dengan Mikel ‘mengebomya’ sebegitu.”

Arteta baru baru ini menjelaskan, Ozil boleh meninggalkan kelab pada Januari ini. Rakan baiknya, Sead Kolasinac sudah sah menyertai Schalke secara pinjaman.

Ada beberapa nama lagi bakal dilepaskan oleh Arsenal. Seterusnya terdapat juga laporan, Arsenal mungki akan memberikan peluang kepada Ozil jika pemain itu sanggup menerima pemotongan gaji.

Namun itu sangat sukar berlaku kerana Ozil pernah menyatakan dia tak mahu dipotong gaji kerana tidak jelas tentang ke mana wang mereka akan pergi.

Gaji semasa Ozil adalah  £350,000 seminggu bermula Januari 2018 sehinggalah Jun 2021.

Namun ketika ini Arsenal berusaha sekali lagi memujuk Ozil untuk mencari kelab lain. Jika Ozil tidak mahu berpindah pada Januari, maka dia akan pergi secara percuma.

Ozil ikrar kekal sehingga hari terakhir

Beberapa bulan lalu, Ozil menyatakan dia tak akan pergi meninggalkan Arsenal. Di mana beliau menekankan bahawa dia tidak akan pergi walaupun Arsenal berusaha menjualnya.

“Kedudukan saya jelas. Saya di sini sehingga hari terakhir seperti yang kita janjikan [dalam kontrak] dan saya akan memberikan semua yang saya ada untuk kelab ini.”

“Situasi seperti ini tidak akan mematahkan semangat saya, malah hanya menjadikan saya lebih kuat.”

Pemain Jerman itu masih mempunyai baki 12 bulan kontraknya dengan gaji £350,000 seminggu.

Arsenal keberatan untuk membayar gaji Ozil pada ketika ini dan cuba untuk menjual pemain tersebut. Lebih-lebih lagi, prestasi Ozil juga menurun.

Namun isu terbesar ketika ini, tiada kelab mahu membayar £350,000 seminggu. Dan Ozil tak menunjukkan beliau berminat untuk mengurangkan gajinya untuk keluar dari Arsenal.

Arsenal dilaporkan menawarkan pampasan sebanyak £18 juta untuk menyingkirkan Ozil. Namun Ozil berkeras tak mahu menerima tawaran itu buat masa ini dan mahu terus kekal sehingga kontrak beliau tamat.

Baru-baru ini, Ozil telah dikaitkan dengan kelab Turki. Namun, pemain berusia 31 tahun itu konsisten menyatakan beliau tidak akan meninggalkan Arsenal.

“Saya telah menunjukkan pada masa lalu bahawa saya mampu bangkit untuk pasukan dan saya akan menunjukkannya lagi.”

Ozil menegaskan bahawa beliau akan menentukan sendiri tentang isu berkaitan kariernya.

Ozil mengingatkan semua pihak bahawa beliau dan kelab sudah setuju dengan kontrak 4 tahun sebelum ini.

Arsenal ketika itu berusaha sedaya upaya mahukan Ozil kekal dan rela melepaskan Alexis Sanchez yang meminta jumlah gaji yang dikatakan setara dengan apa yang Ozil inginkan.

Wenger sudah menegaskan bahawa masa itu beliau tidak boleh membayar £700,000 seminggu hanya untuk dua orang pemain. Lalu Wenger memilih Ozil untuk terus kekal.

Ozil menjadi buruan banyak kelab besar pada masa itu dan beliau memutuskan untuk kekal di Arsenal.

“Saya yang akan memutuskan bila saya akan pergi, bukan orang lain. Saya bukannya menandatangani kontrak selama dua atau tiga tahun, tetapi empat tahun dan itu mesti dihormati oleh semua orang,” katanya.

“Semuanya jelas sukar, tetapi saya suka Arsenal, saya suka bekerja di sana, saya suka orang-orang di kelab, mereka yang telah lama bersama saya dan saya suka London, ini adalah rumah saya.”

Ozil menegaskan dia akan kuat secara mental dalam menghadapi apa sahaja yang berlaku di Arsenal.

“Apa sahaja yang berlaku dalam dua musim terakhir, saya gembira dan kuat dari segi mental,” katanya.

“Saya tidak pernah menyerah. Saya mahu membantu pasukan dan saya akan berjuang untuk itu. Sekiranya saya cergas, saya tahu apa yang boleh saya lakukan di padang. ”

Ozil terakhir muncul untuk Arsenal pada 7 Maret dan walaupun cergas, dia tidak dinamakan oleh Mikel Arteta ketika persaingan kembali disambung.

Beliau bahkan tidak hadir di Stadium Wembley untuk menyaksikan kelabnya menjuarai Piala FA musim lalu kerana namanya tidak disertakan dalam kuota terhad.

Baca yang lain