Legenda Terengganu Ashaari & Manaf Mamat Merobek Lawan Dengan 194 Gol Terkumpul

Kali ini penganalisis bebas Don K-Rul IZham membentangkan rekod luar biasa Ashaari Shamsuddin dengan Manaf Mamat di dalam karier mereka bersama Terengganu

Cerita Perjalanan Karier Duo Tranung, Ashaari 113 gol dan Manaf Mamat 81 gol

Lepas Ashaari Samsuddin umumkan persaraan awal musim haritu, ambil masa lama jugak untuk kumpul koleksi gol dia. 2007-2020, faham-faham ler bukan senang nak dapat ‘stok’ dalam Liga M ni.

Dalam kumpul-kumpul material Ashaari, tercatit sekali partner dia, Abd Manaf Mamat.

Ashaari dan Manaf ni boleh dikatakan sama-sama debut untuk Terengganu, dalam tahun 2007 macam tu.

Tak silap, Manaf sempat lagi bermain edisi SUKMA tahun 2008 yang mana ketika tu dia sudahpun mewakili skuad utama Sang Penyu.

Ashaari (Saha) ni pemain yang versatile, musim 2007, Saha lebih banyak beraksi diposisi sayap kiri pasukan.

Bermula dari musim tu, Saha pantas menjadi pemain utama musim seterusnya kepada Terengganu.

Dia mula beraksi sebagai pemain tengah menyerang, penyerang selain daripada pemain sayap.

Abd Manaf Mamat pula lebih kepada prospek ‘squad depth’ kepada pasukan pada musim 2007.

Terengganu diketuai oleh Sharlie Miranda sebagai peledak utama, Manaf second choice. Tapi apa Ashaari dan Manaf berikan pada debut season dah cukup mengambarkan mereka boleh pergi jauh untuk pasukan.

2007
Ashaari Samsuddin – 4 gol
Abd Manaf Mamat – 4 gol

Terus meledak

Masuk musim 2008, Ashaari mula pamer taring beliau. Saha merakam 18 gol semusim dalam 3 kojahanan.

Tetapi disebabkan Terengganu gagal membawa pulang trofi, orang tak berapa perasan prestasi dia waktu tu.

Manaf tak kurang hebat, dia merakam 7 gol dan lebih menyerlah dalam Piala Malaysia, dari 7 gol tu, 5 gol dalam PM. Kedua-dua pemain muda ni menampakkan progress.

Jadi penamat musim 2008 mereka merekodkan:

Ashaari Samsuddin – 18 gol
Abd Manaf Mamat – 7 gol

Aksi tanpa import

Musim 2009, kedua-dua pemain ini mengambil kesempatan penuh diatas larangan pemain import keatas Liga M. Apa jadi?, Ashaari dan Manaf mula menjadi core pasukan.

Hasilnya duo ini merakam 33 gol bersama. Tapi sekali lagi, tanpa trofi aksi mereka kurang mendapat perhatian.

Pada 2009, kedua duanya terus menjaringkan gol di atas 15 gol. Dalam MSL, angka 15 gol itu adalah ibarat menjaringkan 30 gol dalam musim liga di Eropah yang ada 38 perlawanan.

Ashaari Samsuddin – 17 gol
Abd Manaf Mamat – 16 gol

Peak terbaik 2010 – 2011

Terengganu mula memberi cabaran kuat untuk kejuaraan Liga. Pasukan seperti Selangor dan Kelantan mula terasa kehadiran Sang Penyu waktu tu.

Terengganu menamatkan saingan diposisi ke-3 Liga Super pada 2010. Ashaari mula diberi perhatian peminat bola sepak selepas muncul pemenang kasut emas Liga Super dengan 18 gol.

Manaf tidak kurang hebat apabila menjaringkan 16 gol musim tersebut.

2010
Ashaari Samsuddin – 20 gol
Abd Manaf Mamat – 16 gol

2011 prime era bagi Terengganu. Ia juga peak season bagi Ashaari dan Manaf. Mereka digandingkan pula dengan penyerang baru dari T-Team, Abd Hadi Yahya.

Deadly trio ini menjaringkan 65 gol musim tersebut. Bagi Ashaari dan Manaf, gandingan mereka terus utuh dengan kombinasi bersama mencetak 41 gol, angka tertinggi untuk mereka.

Abd Hadi menyerlah musim tersebut dengan 24 gol sekaligus penjaring terbanyak Terengganu musim tu.

Manaf turut mendapat ‘best season’ beliau bersama Tranung apabila hanya kurang 1 gol berbanding Abd Hadi.

Kemuncaknya Terengganu meraih trofi Piala FA 2011 selain posisi naib juara bagi Liga Super dan naib juara Piala Malaysia.

2011

Ashaari Samsuddin – 18 gol
Abd Manaf Mamat – 23 gol

Penurunan

Musim berikutnya bukanlah musim yang baik buat trio mereka. Dengan kembalinya pemain import, mereka gagal mengulangi pencapaian menakjubkan musim sebelum itu. Musim ni juga menyaksikan Terengganu beraksi di AFC Cup.

2012
Ashaari Samsuddin – 10 gol
Abd Manaf Mamat – 4 gol

Ashaari terus menjadi silent killer

Musim-musim berikutnya, Terengganu kembali seperti biasa. Menjadi pasukan pertengahan Liga dan gagal memberi lebih saingan. Kat sini kita rangkumkan rekod jaringan Ashaari dan Manaf sehingga 2015.

2013
Ashaari Samsuddin – 12 gol
Abd Manaf Mamat – 4 gol

2014
Ashaari Samsuddin – 6 gol
Abd Manaf Mamat – 6 gol

2015
Ashaari Samsuddin – 4 gol
Abd Manaf Mamat – 1 gol

Perpisahan

Musim 2016 adalah musim perpisahan Ashaari dan Manaf dimana Manaf mengambil keputusan menyertai pasukan jiran, Kelantan FA.

Ia juga penamat karier 9 tahun Abd Manaf Mamat bersama Terengganu. Ashaari bertahan lagi untuk musim 2016 sebelum beliau juga membuat kejutan menyertai Pahang pada musim 2017.

2016
Ashaari Samsuddin – 3 gol

Saha balik

Ashaari kembali bergabung bersama Terengganu selepas semusim di Pahang.

Bergandingan bersama Kipré, Ashaari berjaya menjaringkan 6 gol dan membantu Terengganu ke final PM sebelum tewas kepada Perak.

Musim 2019 adalah musim terakhir pemain bernama Ashaari Samsuddin ini bersama Terengganu. Ashaari hanya menjaringkan 1 gol di Liga Super menjadikan beliau penjaring ke-2 terbanyak dalam sejarah Liga Super dengan 84 jaringan.

____
Ashaari Samsuddin – 113 gol
Abd Manaf Mamat – 81 gol

Rumusan

2007 ke 2020, hanya 1 musim Ashaari Samsuddin tidak beraksi untuk pasukan Terengganu tapi ia sikit pun tak mencacatkan catatan bahwa Ashaari adalah lagenda Terengganu.

Ashaari mengumpul 113 gol sepanjang menyarung jersi Terengganu, ia mungkin menjadikan dia penjaring terbanyak sepanjang zaman Terengganu menurut firasat saya.

Abd Manaf Mamat, 2007 ke 2015 banyak cerita suka dan duka.

9 tahun bersama Terengganu, Manaf merakam 81 gol. Ia bukan jumlah yang mudah untuk satu-satu pemain lakukan terutama di era bola sepak kini memasuki era ‘football is business’.

Lagenda Tranung? siapa boleh pertikaikan istilah itu selepas kita menyaksikan 194 gol bersama dijaringkan Ashaari dan Manaf. Duo ini sentiasa tersemat dalam hati penyokong Tranung.

Peteh Ganu Peteh!

Artikel ini adalah penulisan Don K-Rul Izham – Korang boleh follow beliau di facebook untuk lebih banyak kupasan bola sepak.

Baca yang lain