Lelaki Ini Menang Saman RM191K Kerana Pekerjaan Membosankan Dan Rasa Dipulaukan

Pernah tak korang mengalami kebosanan melampau di tempat kerja? Kerana di Perancis anda berhak untuk menyaman majikan ataupun bekas majikan korang.

Seorang lelaki yang pekerjaannya ‘terlalu membosankan’ telah menang tuntutan di mahkamah sebanyak €40,000 daripada bekas majikan dalam kes pertama Perancis yang seumpama itu.

Semua orang pernah mengalami hari itu, sama ada anda duduk di meja, berdiri di atas tangga atau berlegar-legar di sekitar restoran atau kedai. Kadang-kadang, tiada apa yang perlu dilakukan, jadi anda menunggu dan merenung ke luar jendela.

Anda mungkin membelek belek media sosial pada telefon atau komputer anda, dan menunggu waktu pulang.

Walaubagaimanapun, rasa bosan itu memang biasa. Cuma di sini, ada kes berlaku kebosanan melampau yang boleh membawa kepada kemurungan dan penyakit, dan bertentangan dengan keletihan kerana banyak sangat kerja sampai ada yang pengsan.

Pada tahun 2020, Frederic Desnard, dari Paris, telah diberikan ganti rugi €40,000 ataupun sekitar RM191 ribu daripada Interparfums, pembuat minyak wangi mewah Perancis.

Selepas memainkan peranan penting dalam syarikat, Desnard tiba tiba hilang skop kerja yang banyak. Kerana syarikat gagal dalam usaha memenangi kontrak besar dengan sebuah syarikat lain.

Kesannya, beban kerja Desnard dikurangkan dan dia mulai bosan.

Desnard menyatakan bahawa selama empat tahun dia bekerja, dia hanya bekerja sekitar ’20-40 minit kerja setiap hari’, dan tiada siapa yang mengambil berat jika dia tiba tepat pada masanya atau tidak.

Dia kecewa kerana tiada seorang pun memeriksa sama ada dia bekerja atau mengular ataupun mengelat. Korang mesti ramai suka kan kalau bos korang tak kisah. Namun bukan Desnard. Keadaan itu membuatkan dia terasa seperti dipulaukan dan tidak ada orang kisah akan kewujudannya.

Dia menyifatkan tempoh 4 tahun tersebut sebagai ‘turun ke neraka’, lapor Le Monde. Dia turut malu kerana makan gaji buta setiap bulan walaupun bekerja tak seberapa dan banyak melepaskan kebosanannya dengan berjalan keluar dari pejabat. Kebosanan yang terlalu melampau itu boleh menyebabkan ‘boreout’.

Desnard telah diberhentikan kerja pada 2014 selepas bercuti sakit selama tujuh bulan. Peguamnya Montasser Charni mendakwa ‘kebosanan’ menyebabkan dia mengalami epilepsi ketika memandu, yang membawa kepada kemalangan dan menyebabkan dia koma selama beberapa hari, dan kemudian jatuh sakit.

Desnard berkata:  “Saya sudah lesu dan tidak lagi mempunyai tenaga untuk apa-apa. Saya berasa bersalah dan malu untuk mendapat gaji secara percuma.”

“Saya mempunyai tanggapan saya tidak kelihatan [tidak dipedulikan] di syarikat itu,” tambahnya.

Victor Billlebault, peguam Desnard, memberitahu tribunal bahawa terdapat kaitan antara kebosanan di tempat kerja dengan ‘kemerosotan kesihatannya’, lapor Telegraph.

Dalam hujah pembelaan oleh syarikat, peguam berhujah bahawa Desnard tidak pernah berkata apa-apa tentang rasa bosan dalam tempoh empat tahun.

Dan peguam syarikat itu berkata, jika Desnard sebenarnya merasakan dia tidak dipedulikan langsung selama ini, mengapa dia tidak meluahkannya kepada sesiapa sahaja di pejabat itu? Terutama sekali bosnya?

Desnard kemudiannya membuat aduan di tribunal perhubungan buruh, menuntut saman €360,000 sebagai pampasan dan ganti rugi.

Walaupun syarikat itu berhujah Desnard tidak pernah mengadu masalah kebosanan dan dipinggirkan sepanjang tempoh perkhidmatannya, mahkamah bersetuju bahawa ‘membosankan’ merupakan ‘bentuk gangguan mental’ dan mempengaruhi kesihatannya.

Lantas telah membuatkan dia mengalami epilepsi atau sawan. Walaupun ketika dia kemalangan akibat sawan itu, dia sudah tak bekerja lagi, namun ianya berkait rapat dengan kemunduran kesihatannya kerana suasana bekerja yang membosankan di syarikat lamanya.

Dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan Paris.