Lesen Pro: Jurulatih di Malaysia Perlu Seiring Dengan Perkembangan Semasa

Pada hari ini salah satu halaman bola sepak tanah air mendedahkan rungutan berkaitan kos membuat lesen Pro yang agak tinggi. Sekitar RM 65,000 ribu diperlukan bagi menyiapkan lesen yang merangkumi 70% pembelajaran melalui praktikal ini.

Ia dikatakan terlalu mahal jika dibandingkan dengan peluang pekerjaan yang terdapat di Malaysia. Sudah pasti jurulatih ini merujuk kepada angka 12 pasukan Liga Super sahaja.

Berikut beberapa petikan oleh jurulatih yang dilaporkan oleh La BOLA Malaya.

“Saya akui syarat yang dikenakan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) supaya semua jurulatih Liga Super dan Liga Premier diwajibkan memiliki lesen Pro A menjelang 2022 adalah bagus demi meningkatkan mutu jurulatih kita, sekali gus meningkatkan mutu bola sepak negara.

“Dalam bola sepak moden, pengalaman sahaja tidak memadai untuk menjadi jurulatih sebaliknya kami perlu menambah ilmu kejurulatihan dalam pelbagai aspek termasuk dalam kaedah saintifik. Itu hakikat yang tidak boleh disangkal.

“Tapi, bagi saya dan kebanyakan jurulatih yang tidak memiliki tempat bergantung sama ada kelab atau persatuan negeri, kami perlu mengeluarkan duit poket sendiri untuk mendapatkan lesen berkenaan dan saya akui tidak mampu.

“Kami mungkin perlu bergolok bergadai atau membuat pinjaman jika mahu juga mengambil lesen Pro A tapi apa jaminan ia membantu kami mendapatkan pekerjaan selepas memiliki lesen itu?

“Pasaran industri bola sepak Malaysia untuk jurulatih tempatan sangat terhad. Kelab tidak banyak dan ditambah pula dengan saingan daripada jurulatih import kerana mentaliti kebanyakan kita yang masih percaya bahawa barangan import lebih berkualiti.

“Inilah membuatkan orang macam saya tersepit sama ada mahu mengambil lesen Pro A atau tidak. Labur RM65,000, job belum tentu dapat,” kata jurulatih itu yang pernah membimbing beberapa pasukan sebelum ini.

“Syarat dikenakan oleh FAM itu adalah untuk kebaikan bola sepak malah ia juga diguna pakai oleh negara lain. Peredaran zaman memerlukan jurulatih lebih berilmu.

“Betul, pelaburan RM65,000 belum tentu membawa pulangan atau menjamin anda akan mendapat pekerjaan tapi kita perlu mematuhi syarat yang ditetapkan jika mahu menjadi jurulatih.

“Kita kena sedar, kerjaya jurulatih bola sepak adalah satu perjudian dan bukan jaminan. Kami sentiasa terdedah kepada risiko hilang pekerjaan kerana talian hayat seseorang jurulatih bersama pasukan bergantung pada keputusan perlawanan, kalau lima enam kali kalah berturut-turut, anda akan disingkir atau direhatkan.

“Hakikatnya, apa yang disuarakan oleh rakan saya itu betul dan apa yang dilakukan oleh FAM juga betul, jadi tepuk dada, tanya selera,” katanya.

Bagi seorang lagi jurulatih, kalau difikir jumlah kos perlu dikeluarkan untuk mendapatkan lesen Pro A, ia memang tidak berbaloi dengan industri bola sepak negara yang belum mencapai tahap sebagaimana di negara Asia lain seperti Jepun dan Korea namun lesen itu tetap keperluan kepada jurulatih tempatan.

“Sebagai jurulatih, kita perlu meningkatkan ilmu kita setaraf jurulatih luar agar kita tidak ketinggalan walaupun sekadar melatih pasukan Liga M.

“Soal berbaloi atau tidak memang tidak berbaloi jika kita fikirkan industri bola sepak kita sekarang. Tapi, siapa tahu dalam tempoh 10 tahun akan datang, liga kita akan meningkat setaraf liga luar, ketika itu lesen yang kita miliki akan menjadi sangat bernilai,” ujar jurulatih itu yang kini sedang menjalani kursus mendapatkan lesen kejurulatihan Pro A.

Malaysia tidak boleh terlalu terkebelakang berbanding Thailand. Thai League telah menetapkan musim 2021, ketua jurulatih perlu mempunyai lesen Pro. Penolong jurulatih perlu mempunyai lesen A.

Buat masa ini taraf lesen yang diperlukan oleh kedua-dua liga negara ini masih sama.

Adakah Malaysia mahu menangguhkan syarat lesen diperlukan atau pasukan perlu mengimport jurulatih yang mempunyai lesen Pro. Menangguhkan bermakna Malaysia akan sedikit ketinggalan berbanding Thailand.

Baca yang lain

Real Madrid Pantau Trent Alexander Arnold

Fabrizio Ronano melaporkan bahawa Real Madrid memantau secara dekat perkembangan kontrak Trent Alexander Arnold kerana kelab itu berminat mahu mendapatkannya. Kontrak semasa

Buffon Mahu Saiz Tiang Gol Ditambah

Bekas pemain Juventus dan Itali yang berstatus legenda dunia, Gianluigi Buffon pernah menyatakan pandangannya agar saiz tiang gol yang ada ditambah lagi.