Lesnar Tandatangani Kontrak Baru Selama Setahun Setengah Dan Bakal Bergusti Sebanyak Lapan Kali

Terdapat desas desus terbaru tentang isi kandung kontrak Brock Lesnar bersama WWE ketika ini, selepas bekas Juara dunia UFC itu memutuskan untuk kembali bergusti bersama syarikat milik Vinca McMahon.

Kontrak tersebut dilaporkan telah dipersetujui oleh Brock Lesnar sendiri sebelum beliau membuat kemunculan mengejutkan di acara SummerSlam bulan lalu.

Fightful Select melaporkan yang Brock Lesnar menandatangani kontrak perjanjian baru dengan WWE sebelum bermulanya acara SummerSlam bulan lalu, dengan kontrak tersebut dijangka akan kekal sehingga 18 bulan.

Kebiasaannya kontrak Brock Lesnar bersama WWE akan berakhir selepas acara WrestleMania, dan kontrak baru yang beliau tandatangani selama setahun setengah ini dijangka akan berakhir selepas WrestleMania 39 pada tahun 2023 nanti.

Laporan tersebut turut menyebut yang kontrak The Beast Incarnate itu akan membenarkan beliau untuk beraksi sebanyak lapan perlawanan untuk WWE.

Oleh yang demikian, Lesnar berkemungkinan akan beraksi satu kali dalam tempoh dua ke tiga bulan sebagai penggusti sambilan walau beliau menandatangani perjanjian sebagai penggusti sepenuh masa.

“Orang-orang di WWE yang dapat berbicara dengan kami telah menyatakan yang Lesnar dalam kontrak selama satu tahun setengah, dan beliau akan beraksi sekurang-kurangnya lapan perlawanan.”

Jelas Dave Meltzer ketika bercakap tentang kepulangan semula Brock Lesnar di Wrestling Observer Radio.

Beliau turut menambah yang The Beast dalam kontrak barunya turut bersetuju untuk bergusti sehingga 12 kali andai diperlukan.

Meltzer turut menegaskan yang Lesnar berkemungkinan tidak akan begitu terlibat dengan acara mingguan, melainkan untuk promo.

Namun begitu, untuk mencukupkan 12 perlawanan dalam kontraknya, berkemungkinan Lesnar akan beraksi di mana-mana acara mingguan, selain dari PPV besar.

Brock Lesnar kembali ke WWE ketika acara SummerSlam bulan lalu, dengan beliau ketika itu berdepan dengan Roman Reigns.

Roman ketika itu pula baru sahaja berjaya menewaskan John Cena, dan beliau ketika itu sangat terkejut melihat kedatangan Brock Lesnar.

Bekas Juara Universal WWE itu juga turut membelasah John Cena ketika acara SummerSlam sudah tidak disiarkan secara langsung (off-air).

Peminat teruja melihat kembalinya Lesnar dengan ramai yang tertarik dengan peranan Paul Heyman yang ketika itu menggigil ketakutan di atas gelanggang.

Heyman jelas sekali merupakan individu penting yang menaikkan karier Lesnar dan beliau ketika ini sedang menjadi jurucakap Roman Reigns.

Ramai peminat yang tertanya-tanya ke mana Heyman akan pergi andai Lesnar bertemu dengan Roman Reigns selepas ini, adakah beliau mahu kekal bersama Juara Dunia SmackDown itu, atau kembali bersama bekas ‘clientnya’ The Beast Incarnate.

Walau bagaimanapun, Lesnar tidak muncul di acara SmackDown minggu lalu, namun Finn Balor yang membuat kemunculan dan mencabar Roman Reigns.

Dave Meltzer turut menyatakan yang Lesnar berkemungkinan akan beraksi bertemu Finn Balor di acara Extreme Rules pada 26 September nanti, dengan pemenang antara mereka bakal bertemu Roman Reigns.

Laporan sama turut menyatakan yang WWE sudah mengatur untuk mempertemukan Brock Lesnar bertemu Roman Reigns untuk merebut kejuaraan Universal, di acara Crown Jewel di Arab Saudi pada 21 Oktober nanti.

Nampaknya WWE sedang merencana sesuatu yang menarik untuk bersaing dengan seteru mereka, AEW yang kini sedang meningkat naik.

AEW bersaing dengan WWE tentunya bakal memberi kepuasan kepada para peminat kerana kedua-dua syarikat tentunya akan menyajikan yang terbaik supaya mereka tidak hilang jumlah tontonan.

Satu hal yang pasti, selain teruja melihat kesudahan cerita Brock, Heyman dan Roman, peminat juga sebenarnya sangat berharap WWE menemukan The Beast itu dengan Bobby Lashley.

Sumber: GMS

Baca yang lain