Prinsipal pasukan Mercedes, Toto Wolff menyatakan bahawa buat masa ini beliau masih tidak pasti sama ada Lewis Hamilton akan berlumba lagi pada musim hadapan. Ini kerana pelumba itu sangat kecewa dengan pengakhiran musim ini.
Lewis Hamilton masih belum memberikan apa apa komitmen kepada Mercedes tentang musim baharu. Dan dia masih cuba menerima apa yang berlaku baru baru ini. Kerana bukan mudah untuk Hamilton menerimanya.
Toto Wolff menganggap apa yang berlaku sebagai satu konspirasi daripada formula 1 sendiri yang mahu melariskan cerita sensasi Max Verstappen.
Sebelum ini dalam satu rakaman audio, Lewis Hamilton memberitahu pegawai beliau bahawa perlumbaan di litar Abu Dhabi sudah dimanipulasi.
Ini selepas pesaing kejuaraan Max Verstappen dibenarkan menukar tayar keretanya ketika sesi kereta keselamatan mengambil alih litar.
Dalam satu perbualan radio dengan Pengarah Formula 1, Michael Massi, Wolff berkata bahawa apa yang sedang berlaku di litar ketika membenarkan kereta keselamatan dipintas dan kemudian membenarkan Verstappen menukar tayar adalah tidak betul.
Wolff kedengaran berkata: “Michael, apa ni. Ni sudah tak betul ni.”
Namun Massi berkata: “Ini adalah perlumbaan kereta, maka kita berlumba kereta.”
Balasan yang diberikan Michael Massi itu sangat mengecewakan Toto Wolff dan pasukannya di ruang teknikal.
Pada Khamis, pasukan Mercedes mengesahkan bahawa mereka sudah menghantar bantahan di atas apa yang berlaku pada hari terakhir perlumbaan.
Pada awal musim ini Lewis Hamilton menandatangani kontrak lanjutan selama dua tahun bersama Mercedes.
Toto Wolff berkata: “Ianya mengambil masa yang lama untuk kami mencerna dan menerima apa yang berlaku Ahad lalu.”
“Saya rasa kami tak akan pernah mampu menerimanya untuk selamanya, itu mustahil.”
“Dan dia [Hamilton] sebagai pemandu pun sama [tak boleh menerimanya]. Saya sangat berharap kami berdua akan dapat melupakan apa yang berlaku. Namun dia tak akan pernah mampu melupakan kesakitan dan tekanan yang dia rasai pada Ahad.”
Ditanya sama ada Hamilton akan kembali semula pada Januari ini. Wolf berkata, dia tidak pasti pelumba 37 tahun itu akan kembali.
Wolf berkata: “Saya sangat berharap Lewis akan dapat meneruskan perlumbaan ini kerana dia adalah pemandu terhebat sepanjang zaman,” katanya.
“Sebagai pelumba, hatinya akan berkata saya perlu meneruskan kerana dia berada di puncak prestasinya,” tambahnya Wolf lagi.
“Tetapi kami perlu mengatasi kesakitan yang dialaminya pada hari Ahad. Dia seorang lelaki yang mempunyai harga diri, itu yang jelas.”
Wolff berkata dia dan Hamilton tidak akan menghadiri majlis penyampaian hadiah FIA malam Khamis.
Wolff bersolidariti untuk Lewis Hamilton yang telah calar maruahnya. Wolff mahu terus bersama dengan Lewis Hamilton dalam menerima dugaan yang berlaku ini.
Ketua teknikal Mercedes James Allison akan berada di Paris untuk mengambil trofi bagi Kejuaraan Pengeluar yang kelapan untuk menambah lagi rekod pasukan itu.
“Saya tidak akan berada di sana kerana kesetiaan saya kepada Lewis dan kerana integriti peribadi saya sendiri,” katanya.
Wolf menegaskan bahawa tumpuan mereka sekarang adalah ke arah proses perundangan mencabar keputusan perlumbaan di Abu Dhabi.
Formula 1 sudah menyatakan kesudian mereka menyiasat dan menganalisis kembali kejadian tersebut.
Lewis Hamilton baru sahaja menerima darjah kebesaran daripada keluarga diraja Inggeris.
🏎️ Arise Sir @LewisHamilton!
The seven-time @F1 World Champion received his Knighthood from The Prince of Wales at today's Investiture ceremony held at Windsor Castle. pic.twitter.com/I3xicKLLYp
— The Royal Family (@RoyalFamily) December 15, 2021
Ianya mengenang jasa dan kejayaan pelumba itu dalam sukan formula 1 yang menjadi inspirasi ramai anak muda pada hari ini. Lewis Hamilton merupakan pemandu yang sudah berstatus legenda.