Liga Bermula Esok, Barcelona Masih Tak Dapat Daftarkan Kesemua Pemain Baharu

Barcelona nampaknya terus bermasalah dalam pendaftaran pemain. Sebelum ini Barcelona gagal mendaftarkan 7 pemain pasukan utama mereka. Ini termasuk 5 pemain  baharu dan 2 pemain yang dilanjutkan kontrak.

Barcelona telah menerima tamparan hebat pada ketika ini. Selagi lagi mereka gagal menjual setidak tidaknya bintang tengah, Frenkie de Jong, mereka akan bermasalah untuk mendaftarkan 5 pemain baharu mereka.

Ianya jelas berbeza dengan pandangan Tebas sebelum ini yang yakin Barcelona tiada masalah untuk mendaftarkan pemain pemain baharu mereka atas dasar percaya bahawa Barcelona lebih arif.

Beberapa hari lalu, mereka  diberitahu bahawa mereka tidak boleh mendaftarkan mana-mana pemain baharu mereka sehingga mereka mengurangkan beban kewangan mereka.

Kelab Catalan itu telah menandatangani Andreas Christensen, Franck Kessie, Raphinha, Robert Lewandowski dan Jules Kounde pada musim panas ini sambil memperbaharui kontrak Ousmane Dembele dan Sergi Roberto – tiada seorang pun daripada nama nama ini boleh didaftarkan dengan La Liga sehingga kelab itu mengimbangi buku akaun mereka.

Lebih menarik apabila Fabrizio Romano mengesahkan laporan ESPN yang menyatakan bahawa Franck Kessie dan Christensen ada klausa khas yang membolehkan mereka membatalkan kontrak agar menjadi ejen bebas, jika Barca gagal mendaftarkan nama mereka sebelum jendela perpindahan ditutup.

Namun Laporta sudah berjanji dengan 2 pemain itu agar tidak mengambil keputusan tersebut. Sementara itu Kessie dan Christensen turut percaya dengan Laporta dan masih mahu terlibat dengan projek di Barcelona.

Lembaga pengarah Barcelona – diketuai oleh presiden kelab Joan Laporta – telah mengambil beberapa langkah drastik untuk mengumpul dana pada musim panas ini dengan membenarkan penjualan beberapa aset utama kelab. Di antara aset, kelab itu memilih untuk menjual 25% (merentasi dua transaksi berasingan) hak TV mereka kepada Sixth Street.

Bagaimanapun, itu masih belum mencukupi untuk meletakkan kelab itu dalam keadaan ekonomi yang sihat menjelang musim baharu, mendorong mereka menjual 25 peratus kepentingan dalam Barça Studio kepada socios.com dengan bayaran sekitar €100 juta.

Penjualan gabungan aset kelab meningkat kepada €767 juta untuk kelab – dan mereka berharap untuk mendaftarkan pendatang baharu mereka dengan jualan ini. Dan Laporta sudah sedia mengaktifkan tuil keempat untuk mengimbangi akaun mereka.

Pada minggu lalu, semasa sesi pengumuman rasmi Lewandowski di Camp Nou, presiden kelab Laporta memberitahu peminat: “Kami telah berusaha untuk mendaftarkan kesemua mereka (rekrut baharu). Kami telah bekerja keras dan produktif, untuk memenuhi keperluan.”

“Dan jika perlu untuk menjalankan sebarang urusan lagi, kami akan melakukannya. Kami menunggu. Ia adalah keputusan yang mesti dibuat oleh La Liga. Kami telah mematuhi apa yang diperlukan. Kami yakin kami akan dapat mendaftar mereka.”

Barca sudah mengaktifka tuil ekonomi keempat mereka. Dan Gerard Pique turut setuju menerima pengurangan gaji sekali lagi.

Barca boleh menarik nafas lega kerana mereka dilaporkan diberikan lampu hijau untuk mendaftarkan beberapa nama pemain dari kalangan 5 pemain baharu dan 2 pemain dilanjutkan kontrak.

Namun bukan semua pemain yang boleh didaftarkan buat masa ini. Ketika artikel ini ditulis pada 4.24 pagi, Barcelona sendiri tak pasti berapa ramai pemain baharu mereka yang boleh didaftarkan.

Barcelona masih benar benar berharap mereka akan dapat meyakinkan Frenkie De Jong untuk berpindah. Pemain itu boleh menjadi kunci kepada pendaftaran kesemua pemain baharu Barca atau pemain yang dilanjutkan kontrak.

Barcelona masih berusaha untuk menjual beberapa pemain lain termasuk Martin Braithwaite, Samuel Umtiti, Memphis Depay dan juga Miralem Pjanic.