Liga Perancis Akan Dikenali Sebagai Ligue 1 McDonalds

RMC melaporkan bahawa McDonalds berjaya mendapatkan hak penjenamaan Liga Perancis yang baharu bermula musim hadapan – musim 2024/25.

Sebelum ini Ligue 1 dikenali sebagai Ligue 1 Uber Eats. Namun Uber Eats gagal untuk mencapai kesepakatan untuk tajaan baharu setelah Uber Eats enggan lagi membayar tajaan bernilai sekitar €15 juta.

Menurut Ligue 1, pihak Uber Eats langsung membisu soal kontrak baharu, dan pihaknya tidak pula menghantar tawaran baharu kerana mendapat tahu, pihak di sana tak berminat lagi.

Jurucakap LFP berkata: “Tak pastilah kenapa, tetapi mereka tidak mahu lagi membayar tajaan pada nilai tersebut. Uber Eats sudah tak berminat lagi bekerjasama dengan kita.”

Akhirnya syarikat makanan segera McDonalds berjaya mendapatkan hak jenama Ligue 1 bermula musim akan datang.

Jurucakap itu menambah, mereka hanya menerima 1 permohonan untuk tajaan di atas pejabat presiden LFP, dan tawaran itu datang daripada McDonalds.

“Ada tawaran diterima di atas meja presiden LFP. Dan itu dari McDonalds. Mereka sedia membayar €60 juta untuk 3 musim. Angka ini satu peningkatan ketara berbanding sebelum ini,” jelas sumber itu lagi.

Dengan tawaran tersebut bermakna Ligue 1 akan menerima €20 juta semusim daripada McDonalds dalam perjanjian baharu berbanding €15 juta semusim daripada Uber Eats – berdasarkan perjanjian sebelumnya.

Namun satu perkara yang paling merungsingkan Ligue 1 adalah, mereka tidak mendapat bidaan yang besar daripada penyiar dari luar negara atau disebut seberang laut, untuk siaran Ligue 1.

Menurut laporan Canal+ pemergian Kylian Mbappe selepas ini akan menyukarkan lagi liga itu menarik penyiar luar negara untuk membeli hak siaran Ligue 1.

Ligue 1 sebelum ini bergantung kepada PSG untuk menarik perhatian dunia dengan kehadiran bintang besar termasuk Beckham, Zlatan Ibrahimovic, Neymar, Mbappe, Messi dan ramai lagi.

Selain itu untuk siaran domestik juga tidak berlaku sebarang perang bidaan antara penyiar. Membuktikan bahawa Ligue 1 sedang parah dari segi publisiti. Bukan sahaja di luar negara malah di negara sendiri pun penyiar mereka tidak melihat nilai sebenar liga itu sedangkan Perancis merupakan kuasa besar dalam arena bola sepak antarabangsa.

Baca yang lain