Mario Balotelli langsung tak bagi peluang kepada skuad kebangsaan Itali yang disingkirkan oleh Macedonia daripada separuh akhir play off ke Piala Dunia 2022.
Itali kalah 0-1 di tempat sendiri menerusi jaringan masa kecederaan 90+2. Pemain pemain Azzurri dicemuh penyokong sendiri selepas kalah perlawanan tersebut.
Mario Balotelli tidak mengulas panjang mengenai penyingkiran Itali dari Piala Dunia tetapi berkongsi satu gambar sindiran di Instagram Story sebaik sahaja tamat perlawanan.
Pemain antarabangsa Itali itu berkongsi satu grafik di mana dia disebut sebagai penyerang tengah terbaik liga Turki untuk musim ini.
Balotelli menunjukkan mesej sinis itu kepada Roberto Mancini yang menggugurkan namanya saat akhir.
Balotelli mengejek barisan penyerang Itali yang tidak dapat menjaringkan sebarang gol walaupun 32 percubaan ke arah Macedonia Utara.
Pasukan lawan pula hanya melakukan 4 percubaan sahaja dalam perlawanan ini. Namun berjaya menjaringkan satu gol tunggal perlawanan.
Itali telah terlepas Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut kerana ketumpulan yang menjadi punca kekalahan itu.
Ia tidak pernah berlaku dalam sejarah La Nazionale.
Balotelli telah bermain perlawanan terakhirnya dengan Azzurri pada 2018 tetapi berharap untuk dimasukkan ke dalam skuad play-off selepas dipanggil untuk berkumpul di Coverciano pada akhir Januari.
Ketika itu Balotelli menyertai latihan pusat dan dibayangkan akan menyertai semula pasukan kebangsaan Itali selepas sekian lama.
Ianya selepas Balotelli menunjukkan prestasi cemerlang di Liga Turki. Balotelli penuh harapan akan berada dalam pasukan Itali untuk membantu mereka ke Piala Dunia 2022.
Bagaimanapun, Roberto Mancini memilih Ciro Immobile, Gianluca Scamacca, Andrea Belotti dan Joao Pedro.
Mancini sudah menjelaskan bahawa dia menyisihkan Balotelli kerana mahu memanggil Joao Pedro yang menurutnya lebih Versatile dan bermain di banyak posisi.
Balotelli menonton perlawanan itu di TV dan menghantar mesej sokongan kepada rakan senegaranya melalui cerita Instagramnya.
Namun selepas tamat perlawanan Balotelli memecah kesedihan tersebut dengan cerita Instagram di mana dia disebut sebagai penyerang tengah terbaik di Turki untuk 2021-22.
Grafik itu pada asalnya telah disiarkan oleh pengarah sukan Adana Demirspor, Gokhan Gokturk.
Seolah olah Balotteli menyatakan bahawa jika Mancini menurunkannya, mereka akan berjaya merobek gawang pasukan kerdil Macedonia Utara tersebut.
Pasukan Itali gagal ke Piala Dunia 2022 akibat ketumpulan mereka. Memang laluan ini agak sukar namun ramai menjangkakan bahawa Itali tidak akan ada masalah untuk beraksi di final play off menentang Portugal.
Tidak disangka sangka mereka gagal melepasi cabaran Macedonia Utara. Selepas tamat perlawanan Roberto Mancini menegaskan bahawa mereka kurang bernasib baik.
Mancini berkata: “Ketika Euro lalu tuah menyebelahi kami. Namun tuah itu bertukar menjadi nasib malang pada kelayakan kali ini.”
“Gol minit akhir mereka [Macedonia Utara] adalah melengkapkan cerita [malang] itu.”
Macedonia Utara meneruskan kisah dongeng mereka dalam kelayakan kali ini. Mereka menjadi pasukan pertama menamatkan rekod tanpa kalah Jerman dalam kelayakan Piala Dunia.
Dan kemudian menewaskan juara Eropah di separuh akhir play off Piala Dunia. Selepas ini Macedonia Utara akan berdepan dengan Portugal dalam satu lagi aksi play off. Jika berjaya mereka akan membuat kejutan mara ke pusingan akhir Piala Dunia di Qatar.
Kegagalan itu dianggap malapetaka kepada bola sepak Itali. Namun Roberto Mancini enggan meletakkan jawatan selepas kegagalan tersebut.
Dia malah menyatakan sokongan kepada pemain pemain Itali yang dianggapnya sangat berkualiti dan bertekad akan bangkit selepas ini.