Liridon Semakin Hampiri Debut Harimau Malaya

Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Liridon Krasniqi semakin hampir untuk menyarung jersi Harimau Malaya secara kompetitif.

Liridon Krasniqi merupakan pemain yang berstatus naturalisasi. Beliau sebelum ini melucutkan kewarganegaraan Kosovo miliknya untuk menjadi warganegara Malaysia.

Dan beliau berpeluang melakukan debut dengan jersi Harimau Malaya pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan bersambung semula tahun hadapan selepas lama ditangguhkan.

Liridon antara pemain yang disenaraikan dalam panggilan kem kebangsaan yang akan bermula pada 15 Januari sehingga 26 Januari.

Malaysia akan berdepan UAE dan Vietnam pada Mac 2021.

Ini adalah kali pertama nama Liridon Krasniqi disenaraikan dalam panggilan kebangsaan. Pemain berdarah Kosovo itu merupakan pemain tengah box to box yang sinonim dengan prestasi cemerlangnya bersama Kedah.

Beliau kemudian menarik perhatian JDT. Namun di JDT Liridon diganggu oleh kecederaan. Beliau juga meluangkan semusim bersama Melaka, namun tersisih lama kerana masalah kecergasan.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merangkap pengurus skuad kebangsaan Datuk Mohd Yusoff Mahadi menyatakan bahawa Liridon tetap perlu membuktikan kualiti dirinya.

Tiada slot automatik untuk pemain tengah berusia 28 tahun itu dalam pasukan utama.

Yusoff Mahadi berkata:

“Sama ada beliau (Liridon) dapat tempat dalam skuad kebangsaan atau tidak, ia bergantung kepada prestasi semasa pada kem latihan pusat atau penilaian dilakukan barisan kejurulatihan yang bertujuan untuk pastikan prestasi terkini adalah terbaik untuk mewakili negara,” katanya hari ini.

“Mana-mana pemain terbaik negara sebelum ini pun dinilai semula oleh jurulatih pada kem latihan pusat, jadi perkembangan beliau akan dipantau sepanjang tempoh kem latihan dan berharap dapat menyumbang sesuatu pada Mac nanti,” tambah beliau.

Jika Liridon berjaya menembusi saringan akhir, dan membuat debut kompetitif, beliau secara langsungnya menjadi pemain naturalisasi kedua bermain untuk pasukan Malaysia selepas Mohamadou Sumareh pada Oktober 2018.

Jika Liridon terpilih mewakili Malaysia, dia akan menjadi pemain naturalisasi kedua beraksi untuk skuad kebangsaan selepas bekas pemain sayap Pahang, Mohamadou Sumareh yang membuat penampilan pertamanya pada Oktober 2018.

Liridon pernah bekerja di bawah Tan Cheng Hoe ketika di Kedah.

Sumber: BERNAMA

Baca yang lain