Liverpool Bantai Porto 5-1, Salah, Firmino Skor 2 Gol

Liverpool berkunjung ke Estadio Do Dragao menentang FC Porto dalam aksi kedua Liga Juara Juara Eropah.

Liverpool terlalu unggul untuk disaingi oleh FC Porto yang melakukan beberapa siri kesilapan yang membunuh diri di hadapan gawang mereka.

Skuad bimbingan Jurgen Klopp terus mendapatkan rentak mereka pada separuh masa pertama.

Mohamed Salah meletakkan Liverpool di hadapan dengan gol minit ke-18. Kredit kepada Curtis Jones yang memaksa penjaga gol Porto kesulitan untuk menyelamatkan bola. Salah menyambar bola muntah tersebut.

Porto cuba menyerang Liverpool dengan serangan balas. Fabinho menjadi masalah utama mereka untuk atasi di hadapan garisan pertahanan Liverpool.

Liverpool malah menambah gol kedua sebelum rehat menerusi Sadio Mane. Bermula daripada hantaran rendah Milner yang tidak dapat dibaca pertahanan dan penjaga gol. Mane menyudahkan peluang terhidang.

Pada separuh masa kedua, Liverpool menambah satu lagi gol pada minit ke-60 menerusi Mohamed Salah. Kali ini Salah menerima bola cantik daripada Curtis Jones.

Salah tidak melakukan kesilapan dengan peluang 1 lawan 1 dengan penjaga gol. Menjadikan Mo Salah sebagai pemain ketiga dari Afrika menjaringkan 30 gol UCL selepas Didier Drogba dan juga Samuel Etoo.

Porto mendapat peluang gol menerusi Luis Diaz, tetapi percubaan deras beliau diselamatkan Alisson.

Tidak lama selepas itu, Diogo Jota menggunakan helah mengelirukan pertahanan di dalam kotak penalti, malangnya pemain antarabangsa Portugal itu merembat tidak tepat.

Jurgen Klopp kemudian memasukkan Firmino, Minamino dan Joe Gomez. Salah dan Mane dikeluarkan bersama dengan Milner.

Klopp mahu memastikan dua penyerang beliau itu kekal cergas menjelang aksi hujung minggu ini menentang Manchester City.

Pada minit ke-67, Firmino menggelecek pertahanan dan berada dalam kedudukan yang bahaya untuk gawang lawan. Malangnya beliau gagal melakukan penyudah, dan bola dirampas.

Pada minit ke-75, gawang Liverpool bocor jua akhirnya, menerusi Mehdi Taremi menanduk deras bola menewaskan Alisson.

Namun hanya seminit berselang, Liverpool kembali 3 gol di hadapan. Sekali lagi penjaga gol Porto melakukan misjudge.

Jones menghantar bola ke atas, Diogo Costa naik ke atas cuba melakukan sweeping. Firmino dengan tangkas menolak bola ke tepi dan gawang ternganga.

Penyerang Brazil itu meleretkan bola masuk. Costa cuba menyelamatkan bola namun teknologi garisan gol mengesahkan bahawa ianya sudah masuk.

Pada minit ke-80, Firmino sekali lagi mencetak gol. Namun pengadil memerlukan bantuan VAR untuk menyemak gol tersebut yang dirasakan ofsaid. Akhirnya pengadil mengesahkan gol itu kerana bola datang daripada pertahanan lawan.

Liverpool mengesahkan kemenangan 5-1 di tempat lawan. Kemenangan kedua daripada dua perlawanan UCL pertama mereka musim ini.

Baca yang lain