Liverpool mendermakan sebanyak £35,000 (RM187,000) kepada Shrewbury Town FC, kelab bola sepak yang tewas kepada The Reds untuk pembangunan kelab tersebut.
Selepas pengurus pasukan Liverpool, Juergen Klopp menegaskan untuk tidak menurunkan skuad utama pada perlawanan ulangan piala FA baru-baru ini, Shrewbury Town tidak mendapat wang dari BBC dalam yuran penyiaran kerana tidak ada siaran langsung.
Selepas kemenangan 1-0 ke atas Shrewbury, Liverpool mendermakan wang derma tersebut melalui hasil kutipan tiket semasa perlawanan pertama di New Meadows, stadium di Shrewbury.
Pada musim lalu, Shrewbury Town membuat keuntungan sebanyak £350,000 (RM1.87 juta), sedangkan angka tersebut cuma dapat bayar gaji Virgil Van Dijk dan Mohamed Salah dalam masa seminggu sahaja.
Dalam pada itu, tindakan Klopp dikritik banyak pihak kerana dilihat tidak menghormati Piala FA.
Klopp menafikan kritikan tersebut dengan berkata beliau menghormati kejohanan tersebut, cuma perlawanan tersebut berlangsung pada minggu cuti rehat 2 minggu yang telah diperkenalkan oleh EPL mulai tahun ini.
Menurutnya, sebagai pengurus pasukan, beliau haruslah menunaikan janji tersebut kepada pemain agar pemain tidak kehilangan motivasi dalam misi pasukan The Reds menjuarai liga, kali pertama selepas hampir 30 tahun tidak memenanginya.
Klopp berkata, bukan niatnya untuk sengaja menurunkan pasukan simpanan, atau mahu merendahkan lawannya iaitu Shrewbury Town, tetapi penyusunan jadual yang perlu diikut oleh beliau.
Ini bukan kali pertama Klopp menurunkan pasukan simpanan untuk perlawanan kejohanan piala FA. Dalam perlawanan pertamanya, Klopp menurunkan para pemain simpanan untuk berdepan dengan musvh setempat, Everton – dan menang dengan keputusan 1-0.
Liverpool akan berdepan dengan pasukan Chelsea dalam perlawanan seterusnya dalam kejohanan Piala FA yang akan berlangsung di Stamford Bridge, London.
Selain Klopp, pengurus lagenda Liverpool, Bill Shankly juga selalu menurunkan pasukan simpanan dalam kejohanan piala FA apabila bertemu dengan pasukan bawahan, dengan tujuan untuk menilai prestasi pemain simpanan dan juga untuk memerhatikan mana-mana pemain simpanan yang boleh dinaikkan ke taraf pemain utama.
Liverpool kini masih lagi belum tewas dalam kejohanan liga Perdana Inggeris, dan dalam musim ini telah memenangi beberapa piala seperti Piala Super UEFA dan Piala Dunia Kelab, namun yang paling dinanti-nantikan ialah piala liga yang didambakan sejak 30 tahun lalu.
Kali terakhir Liverpool menjadi juara liga ketika Kenny Dalglish menjadi pengurus, dengan John Barnes, Peter Beardsley dan Ian Rush bermain di kelab tersebut pada ketika itu.