‘Liverpool Terlalu Bagus’

Pengurus Spurs, Ange Postecoglou menganggap Liverpool terlalu bagus pada aksi kali ini berbanding pasukannya.

Liverpool mengatasi defisit 1 gol daripada perlawanan pertama dengan kemenangan besar membelasah Tottenham Hotspur 4-0 di Anfield.

Ianya adalah salah satu aksi terburuk Spurs di bawah kendalian Ange Poostecglou. Di mana mereka gagal mencatatkan sebarang percubaan tepat / on target.

Cody  Gakpo meneruskan prestasi cemerlangnya dengan gol pembukaan minit ke-34.

Kemudian Mo Salah menambah gol kedua Liverpool mini ke-51 menerusi sepakan penalti.

Szoboszlai yang cemerlang sepanjang malam, mendapat gol ketiga menerusi satu gerakan cantik secara berpasukan.

Pada minit ke-80, kapten Virgil Van Dijk menghukum pertahanan lemah Spurs dengan gol keempat menerusi tandukan daripada sepakan penjuru.

Liverpool menang 4-1 secara agregat untuk ke Wembley sekali lagi pada 16 Mac akan datang untuk menentang Newcastle dalam aksi final.

Ini adalah musim pertama Arne Slot bersama Liverpool dan dia sudah mengesahkan tempat untuk aksi final di Wembley.

Terlalu bagus

Selepas tamat perlawanan, pengurus Spurs, Ange Postecoglou berkata: “Liverpool sememangnya layak mendapat kemenangan, mereka adalah pasukan yang jauh lebih baik.

“Kami tidak mampu menguasai permainan, baik dalam bertahan mahupun dengan bola. Mereka terlalu bagus untuk kami.

“Kami membiarkan mereka masuk ke dalam permainan. Kami tidak memulakan permainan dengan betul dan kami tidak cukup agresif seperti yang sepatutnya.

“Kami membiarkan mereka selesa dan apabila itu berlaku, sangat sukar bagi kami untuk merampas kawalan semula.

“Kami perlu lebih berani dengan dan tanpa bola. Lebih mudah diucapkan daripada dilakukan di tempat seperti ini menentang pasukan Liverpool yang sangat bagus.

“Saya kecewa kerana kami tidak memberikan persembahan yang lebih baik. Pemain pun sama – kami mempunyai peluang yang besar dan malangnya kami tidak merebutnya.

“Masih banyak perlawanan yang perlu dimainkan. Kami mempunyai perlawanan besar di Villa pada hari Ahad dan di situlah tumpuan kami sekarang.”

Bintang Liverpool, Cody Gakpo berkata: “Kami tahu dengan kualiti yang kami ada, kami akan mendapat peluang besar dan berharap akan dapat menjaringkan gol.

“Ia adalah persembahan yang sangat baik daripada seluruh pasukan dan kemenangan yang hebat.

“Penyokong banyak membantu kami – mereka memberi kami tenaga tambahan berulang kali.

“Kami berada di landasan yang betul tetapi kami perlu mengambil perlawanan demi perlawanan, langkah demi langkah. Kami berada di satu final dan kami masih banyak perlawanan yang perlu dimainkan.

“Kami perlu kekal tenang dan fokus. Kami berada dalam aliran yang baik. Ia mengenai konsistensi; kita perlu mengekalkan momentum.”