Lizarazu: Mbappe Bukan Milik Rakyat Perancis Atau Penyokong PSG

Legenda dan juara Piala Dunia dari Perancis Bixente Lizarazu, meminta peminat PSG dan peminat Ligue 1 menghormati keputusan Kylian Mbappe yang mahu meninggalkan liga negara itu.

Mbappe dilaporkan sudah memutuskan untuk angkat kaki selepas tamat musim ini. Dengan Real Madrid dianggap destinasi pilihan utama beliau.

Ada peminat PSG kurang senang dengan Mbappe yang dianggap tidak kenang budi. Memandangkan kelab itu telah banyak berkorban dan memberikan keistimewaan kepada pemain itu.

Selain itu, ramai yang kecewa dengan pemergian Mbappe dari Ligue 1 akan mengurangkan nilai komersial liga itu.

Ligue 1 sebelum ini kehilangan Messi dan Neymar yang keluar dari PSG.

Lizarazu berkata: “Kylian Mbappe bukan milik kita. Dia berhak ke atas hidupnya sendiri.

“Jika memang sudah impian dia untuk bermain untuk Real Madrid, maka itu hak dia dan dia memang berhak.

“Dia sudah memberikan segalanya sepanjang 7 musim bersama PSG. Dan ianya normal jika dia mahu menukar angin dan menikmati pengalaman berada di tempat lain pula.

“Jika dia pergi ke Real Madrid, itu akan menjadi cabaran sangat besar yang dia akan tempuhi selepas ini.”

Real Madrid kini dalam rundingan dengan Mbappe. Mereka pernah cuba mendapatkan Mbappe sebelum ini namun pemain itu membuat pusingan U pada saat akhir. Dan dia melanjutkan kontrak 2+1 tahun di PSG.

Kini Mbappe berpeluang untuk menjadi bintang utama di kelab yang dianggap terbesar di dunia itu.

Beberapa tahun lalu seorang lagi legenda PSG, Zlatan Ibrahimovic mengkritik Kylian Mbappe kerana terus kekal di PSG yang dianggap Zlatan sebagai tempat yang kurang mencabar.

Zlatan mahu Mbappe berada di kelab seperti Real Madrid.