Logo Lain Yang Masuk Final, Logo Lain Yang Menang, Ini Penjelasan CEO Kedah FC

ALOR SETAR, 17 Dis — Pindaan logo Kedah Darul Aman (KDA) FC yang diumumkan semalam dibuat mengikut kesesuaian imej bola sepak Kedah, kata Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC Khamal Idris Ali.

Beliau berkata KDA FC selaku pemilik mutlak logo berhak membuat pindaan logo pemenang dan perkara berkenaan telah dinyatakan oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dalam terma dan syarat pertandingan mencipta logo tersebut.

“KDA FC mengambil maklum mengenai polemik yang berlaku berikutan pengumuman yang dibuat semalam. Pertandingan ciptaan logo yang dianjurkan KFA ini sangat dihargai, tambahan ia melibatkan ratusan penyertaan daripada peminat sukan bola sepak di Kedah.

“Tetapi, perlu dinyatakan keputusan pemilihan oleh jawatankuasa pemilih serta undi secara dalam talian yang dibuat KFA adalah satu pungutan suara untuk rujukan KDA FC dalam menentukan logo pasukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Khamal Idris berkata KDA FC telah mengambil keputusan untuk membuat pindaan logo pemenang pertandingan setelah penilaian lebih khusus dilakukan.

“Bagaimanapun, bagi menghormati dan meraikan kreativiti serta penat lelah pereka logo yang dipilih sebelum ini, KDA FC berpandangan pemenang tersebut wajar diberikan hadiah seperti dihasratkan oleh pihak penaja pertandingan.

“Dalam pada itu, pereka logo yang telah dipilih sebagai logo rasmi juga akan turut menerima hadiah daripada pihak KDA FC,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata rakaman audio mengaitkan beberapa nama individu terlibat dalam pemilihan logo KDA FC yang tersebar semalam adalah berbaur fitnah untuk menimbulkan prasangkan buruk terhadap individu tertentu.

“KDA FC ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat bola sepak Kedah atas keprihatinan, sumbangan dan sokongan yang diberikan,” katanya.

Sejak semalam, laman media sosial dipenuhi dengan komen tidak berpuas hati penyokong bola sepak Kedah berikutan tiga logo asal yang dipilih tidak diumumkan sebagai pemenang sebaliknya logo yang tidak disenaraikan dipilih sebagai logo rasmi KDA FC.

Berikut adalah kenyataan rasmi daripada KDA FC menerusi Khamal Idris Ali.:

Berikutan sedikit polemik yang timbul di dalam media sosial ekoran pengumuman logo rasmi Kedah Darul Aman (KDA) FC pada 16 Disember 2020, berikut adalah pendirian KDA FC:

1. KDA FC mengambil maklum mengenai pertandingan ciptaan logo yang dianjurkan oleh KFA. Sebagai anak syarikat KFA, KDA FC amat menghargai inisiatif tersebut apatah lagi is melibatkan penyertaan ratusan rekaan daripada peminat sukan bola sepak khususnya dari Negeri Kedah.

2. KDA FC juga mengambil maklum mengenai hasrat murni pihak penaja untuk memberi tajaan hadiah kepada pemenang tempat perta ma pertandingan tersebut. Hasrat penaja tersebut sangat disanjungi dan wajar diteruskan.

3. Perlu dinyatakan bahawa keputusan pemilihan oleh jawatankuasa pemilih serta undi secara atas talian yang telah dibuat oleh KFA adalah merupakan satu pungutan suara untuk rujukan pihak KDA FC dalam menentukan logo. KDA FC selaku pemilik mutlak logo berhak untuk membuat pindaan logo pemenang mengikut kesesuaian imej bola sepak Kedah.

Perkara ini telah dinyatakan oleh pihak KFA di dalam terma dan syarat pertandingan. Sehubungan itu, KDA FC mengambil keputusan untuk membuat pindaan logo pemenang pertandingan, setelah membuat penilaian yang lebih khusus.

4. Walau bagaimanapun, bagi menghormati dan meraikan kreativiti serta penat lelah pereka logo yang dipilih oleh jawatankuasa pemilih dan undian secara atas talian, KDA FC berpandangan pemenang tersebut wajar diberi hadiah seperti hasrat pihak penaja pertandingan berkenaan.

Di dalam masa yang sama, pereka logo yang telah dipilih sebagai logo rasmi juga akan turut menerima hadiah daripada pihak KDA FC.

5. Berikutan itu juga, didapati tular satu rakaman audio yang mengaitkan nama beberapa individu tertentu dalam pemilihan logo KDA FC. Ingin dipertegaskan bahawa rakaman audio tersebut adalah berbaur fitnah untuk menimbulkan prasangka buruk terhadap pihak tertentu.

KDA FC mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih terutamanya kepada para peminat sukan bola sepak atas keprihatinan, sumbangan dan sokongan yang diberikan.
Sekian, terima kasih.

Sumber: BERNAMA / KDA FC

Baca yang lain

Bayern Munich Mahu Unai Emery

Pengurus Aston Villa, Unai Emery kini berada dalam radar Bayern Munich. Bekas pengendali PSG dan pemenang beberapa trofi UEL itu menunjukkan hasil