Lorenzo: Espargaro Akan Menyesal Sertai Honda, Sebab Honda Sekarang Cuma ‘Mesra’ Marquez

Pelumba ujian Yamaha, Jorge Lorenzo, percaya Pol Espargaro tidak akan menemui motosikal yang hebat seperti yang dia idamkan ketika dia mewakili pasukan kilang Repsol Honda pada MotoGP 2021.

Lebih-lebih lagi, tahun ini dia merasakan bahawa KTM, motosikal yang beliau tunggang sejak 2017, mulai kompetitif.

Setelah bersama KTM sejak 2017, Espargaro menjadi salah sorang watak penting dalam pembangunan RC16, dengan gaji yang cukup tinggi.

Espargaro secara mengejutkan memilih untuk mewakili Repsol Honda musim depan. Pada bulan Jun, juara dunia Moto2 2013 menandatangani kontrak dua musim, untuk sepasukan dengan Marc Marquez.

Dipetik dari Diario AS, Lorenzo mengatakan bahawa dia yakin bahawa Espargaro mula tertanya-tanya apakah keputusan untuk meninggalkan KTM adalah langkah yang tepat.

Dan Lorenzo juga merasakan bahawa Espargaro akan menyesal dengan keputusannya menyertai Honda.

Ini ditambah pada ketika ini, KTM menjadi semakin kompetetif, Honda juga terbukti tidak dapat mencapai prestasi terbaik sejak ketiadaan Marquez kerana kecederaan patah lengan.

Dalam lima siri perlumbaan pertama tahun ini, tanpa kehadiran Marquez, tidak ada seorang pun pelumba Honda yang berjaya menaiki podium.

Lorenzo juga percaya bahawa ini juga disebabkan oleh fakta bahawa RC213V memang merupakan motosikal yang sangat sukar bagi penunggang selain Marquez.

“Honda adalah motosikal yang rumit, terutama sekali di bahagian depan. Ada penunggang yang merasakan tayar depan tidak penting, ada juga yang merasa sangat penting.”

“Dalam kes saya, kestabilan tayar depan sangat penting dan saya berjuang lebih banyak daripada yang lain,” kata Lorenzo yang pernah mewakili Repsol Honda pada tahun 2019.

Lorenzo percaya bahawa kesukaran Honda dikawal kerana jurutera Honda yang hanya memusatkan perhatian pada input Marquez dalam pembangunan RCV, dan mengabaikan idea penunggang lain.

Menurutnya, ini tidak berlaku ketika mereka masih berada pada era Casey Stoner dan Dani Pedrosa 8-10 tahun yang lalu.

“Pada masa ini, hanya Marc yang boleh menang dengan motosikal itu.”

“Pada pendapat saya, motosikal Honda lebih mesra semua orang ketika era Casey Stoner dan Dani Pedrosa, kerana pelumba Honda lain juga berprestasi baik, seperti Marco Simoncelli, Alvaro Bautista, dan lain-lain,” kata Lorenzo lagi.

“Sejak Marc tiba, dia memang pernah menang enam kali dalam tujuh tahun terakhir, tetapi motosikalnya menjadi sangat ekstrem kerana Honda sangat fokus mengikuti arahan dan kehendaknya.”

“Walaupun gaya perlumbaannya berbeza dari yang lain. Jelas ini memberi kesan negatif kepada pelumba lain,” jelas Lorenzo.

Pada masa ini, KTM telah meraih dua kemenangan, iaitu melalui Brad Binder di GP Czech dan Miguel Oliveira di GP Styria, dan satu podium melalui Espargaro yang menduduki tempat ketiga di Styria.