Low Luah Kerinduan Pada Ozil Dan Kecewa Tak Pernah Bercakap Dengannya Selepas 2018

Jurulatih Jerman yang sedang meniti hari terakhirnya di pejabat, Joachim Low akhirnya bersuara tentang hubungan beliau dengan Ozil.

Low ternyata masih kecewa kerana tidak pernah bersemuka dengan Ozil selepas pemain itu memutuskan untuk bersara daripada pasukan Jerman sebaik sahaja kempen Piala Dunia 2018.

Uli Hoenes ketuai pakatan menentang Ozil.

Ozil membuat keputusan bersara kerana serangan perkauman daripada penyokong. Lebih memburukkan keadaan, ada tokoh bola sepak Jerman sendiri memperlekehkan Ozil terutama sekali presiden Bayern pada ketika itu, Uli Hoenes.

Sebelum Piala Dunia, pengurus pasukan Jerman Oliver Bierhoff mendesak agar Joachim Low menyingkirkan Ozil daripada pasukan kerana gambar Ozil dengan Presiden Turki.

Ozil ternyata kecewa dan mengumumkan persaraan beliau dan menganggap dirinya sebagai kambing hitam di atas kegagalan DFB dalam pengurusan pasukan mereka.

Ozil juga tidak senang dengan kutukan dilemparkan kepada beliau yang lebih kepada kerana beliau berdarah Turki.

Di kala media agak terkejut dengan berita ini, Presiden Bayern Munich gembira dan menyambut baik. Beliau berkata:

“Saya gembira sebab akhirnya ketakutan ini berakhir. Dia bermain seperti tahi (sh**) dalam beberapa tahun.”

“Dia kali terkahir melakukan bentesan bersih pada Piala Dunia 2014. Dan sekarang persembahan ‘sh**’ dia ini bersembunyi di sebalik gambar ini.”

“Setiap kali Bayern Munich berhadapan Arsenal, kami akan bermain sebelah dia, kerana kami tahu dia adalah titik lemah pasukan.”

“Dia ada 35 juta budak pengikutnya (fanboy), yang tak hidup di dunia nyata menyatakan dia bermain dengan sangat baik dengan hantaran lintang tepat.”

“Pembangunan di negar kita (Jerman) kini adalah satu malapetaka. Anda perlu kembali kepada asas iaitu sukan.”

“Dan dari sudut pandang dalam aspek sukan, Ozil tidak mempunyai tempat dalam pasukan kebangsaan selama bertahun-tahun.”

Betullah kata orang, habis madu sepah dibuang. Ozil bermain 92 kali untuk Jerman dan menjaringkan 23 gol sepajang tempoh tersebut. Beliau merupakan pemain terbanya memenangi anugerah pemain terbaik Jerman.

Selepas kekalahan Jerman 2-0 kepada England di Wembley pada pusingan 16 terakhir Euro 2020 pada hari Selasa, Low mengundurkan diri setelah 15 tahun mengendalikan pasukan kebangsaan tersebut. Membantu Jerman menjuarai Piala Dunia dan Piala Konfederasi.

Low mahu jumpa Ozil

Low tidak pernah berbicara tentang Mesut Ozil. Low sangat berterima kasih dengan Ozil yang menjadi arkitek utama yang membantunya ketika bersama Jerman.

Beliau akhirnya berkata bahawa keputusan mengejutkan Ozil untuk mengundurkan diri dari pasukan Jerman setelah tersingkir dari peringkat kumpulan yang memalukan di Piala Dunia 2018 tetap menjadi “kekecewaan peribadi terbesar” bagi Low.

Ini kerana menurut Low dia tidak berpeluang untuk bercakap dengan Ozil pada ketika itu. Mesut Ozil tanpa ragu merupakan playmaker terbaik dalam sejarah karier Low bersama Jerman. Menjadi pemain paling banyak assist dan juga membantunya membentuk pasukan Juara Dunia.

Low berkata: “Mesut meninggalkan pasukan kebangsaan tanpa berbincang dengan saya terlebih dahulu, merupakan kekesalan terbesar seorang manusia untuk saya.”

“Masa itu akan tiba dan kami akan bercakap dan berjumpa lagi. Pada satu ketika kelak, masanya akan tiba dan kami akan bercakap meluahkan apa sahaja serta meletakkan segalanya ke tepi [melupakan segala sengketa, kalau ada].”

Ozil, pemain Jerman yang hebat berketurunan Turki, mengadu menjadi “perkauman” dan mengundurkan diri dari pasukan kebangsaan berikutan kemarahan rakyat Jerman ke atas prestasi pasukan mereka di Rusia.

Tempatnya dalam pasukan Jerman ketika menjadi subjek perdebatan, setelah Ozil dmenulis surat meletakkan jawatan dan bersara dari pasukan kebangsaan dengan menuduh Persatuan Bola Sepak Jerman melakukan perkauman sistematik.

“Saya tidak mahu lagi untuk menjadi kambing hitam dek kerana ketidakcekapan dan ketidakupayaannya (Reinhard Grindel) dalam melakukan tugas dengan baik.”

Pemain berusia 29 tahun itu juga mendakwa Grindel turut bertindak memainkan isu perkauman terhadapnya.

Dia mengatakan peminat menganggapnya sebagai “Seorang rakyat Jerman ketika kami menang, tetapi saya adalah pendatang ketika kami kalah.”

Low menyatakan bahawa sebelum ini dia pernah cuba bercakap dengan Ozil pada September 2018, ketika pemain tengah itu masih berada di Arsenal. Namun usaha itu dilaporkan disekat oleh kelab Liga Perdana Inggeris itu. Low tidak mendedahkan secara lanjut kenapa.

Low tetap mahu mendaftarkan nama Ozil untuk ke dalam pasuan namun Ozil dengan tegas menolak untuk menambah 92 penampilannya untuk Jerman.

Dia adalah sebahagian dari pasukan Jerman yang memenangi Piala Dunia 2014 di Brazil dan Loew menganggapnya sebagai “pemain yang sangat penting dan hebat” dalam sejarah Jerman.

“Pada satu ketika nanti, kami akan membicarakan banyak perkara. Kenangan itu juga akan positif bagi kami,” kata Low yang jelas sekali sedih dengan apa yang berlaku kepada Ozil.




BACA JUGA: Kisah Nuri Sahin Pilih Turki Dan Ozil Pilih Jerman

Nuri Sahin dan Mesut Ozil antara 2 nama berketurunan Jerman-Turks yang sangat popular pada generasi mereka. Mereka antara perancang tengah terbaik pada era mereka.

Mereka juga antara gelombang terawal evolusi bakat Jerman-Turks yang menjadi bakat elit dalam bola sepak Jerman, selepas era Halil dan Hamit Altintop.

Kedua-dua mereka lair di Jerman, daripada keluarga berketurunan Turki. Kedua-dua mereka juga pernah menyarung jersi Real Madrid, menerima gaji lumayan di kelab gergasi Sepanyol itu.

Mungkin Ozil lebih baik kariernya di Real Madrid. dan kemudian di Arsenal. Namun jangan dipandang rendah kepada Nuri Sahin. Beliau menjadi pemain penting generasi emas Borussia Dortmund yang memecahkan dominasi Bayern Munich – pada era Jurgen Klopp.

Mesut Ozil lahir di Gelsenkirchen, manakala Nuri Sahin lahir di Lüdenscheid.

Ozil pilih Jerman

Mesut Ozil pernah melukakan hati orang Turki apabila menyatakan beliau tidak mahu bermain untuk Turki. Beliau mahu mengejar impian bersama Jerman.

Ketika itu, akhbar di Jerman menyatakan, ia adalah kemenangan buat Jerman dan kehilangan untuk Turki. Mesut Ozil menjadi sasaran boo oleh peminat Turki yang kecewa dengan pemain itu.

Bukan Ozil seorang saja  pemain berdarah Jerman-Turki yang memilih Jerman. Tetapi penyokong Turki tidaklah terasa terluka dengan yang lain. Namun kenyataan Ozil melukakan penyokong di Turki kerana beliau menyatakan Jerman adalah tempat lebih baik untuk memacu kariernya berbanding dengan negara asal nenek moyangnya itu.

Bagi peminat Turki, dalam memuji Jerman, Ozil tidak seharusnya memilih untuk membanding dan merendahkan (downgrading) Turki.

Pada Oktober 2010, di Stadium Olimpik Berlin, Turki ketika itu lebih banyak penyokong daripada warga Turki.

Ini kerana ramai mereka yang berdarah Turki yang tinggal di Jerman memberikan sokongan kepada Turki. Ozil diboo dan dicemuh oleh penyokong Turki yang berkunjung ke stadium tersebut. Jerman menang 3-0.

Mereka yang tinggal di Jerman sendiri menganggap tindakan Ozil itu satu pengkhianatan kepada negara Turki. Ozil dicemuh dan diboo setiap kali menyentuh bola.

Media antarabangsa mula mengagungkan kejayaan seorang imigran Turki mengaibkan negara tersebut di atas padang dan membuatkan penyokong yang menge-boo-nya terdiam dengan aksi masterclass Ozil.

Ozil selepas tamat perlawanan berkata: “Diam je la, dan fokus kepada perlawanan. Saya nak bermain bola sepak. Itu yang saya lakukan. Pasukan dan penyokong Jerman memberikan sokongan luar biasa. Ia membuatkan saya sangat gembira.”

Pada 2012, Ozil berkata: “Saya gembira berada di Istanbul, bandar yang cantik dan atmosferanya luar biasa.”

“Saya rasa, penyokong Turki akan mencemuh saya lagi, seperti mana berlaku di Berlin [2010] dahulu. Saya sangat profesional, dan tak akan membiarkan perkara seperti itu mempengaruhi permainan saya.”

Komen itu mengundang kemarahan lagi di kalangan peminat Turki yang menyatakan Ozil sengaja memanaskan keadaan, sedangkan perkara itu sudah 2 tahun yang lalu.

Dalam aksi kelayakan Euro pada 2012, Ozil kemudian menjaringkan gol dalam perlawanan itu. Beliau memilih untuk meraikan gol, dengan berkata, biarkan bola itu berbicara.

Orang Turki mulai sayang dengan Ozil

Tamat perlawanan, Ozil menegaskan beliau tidak meraikan gol kerana masih ada rasa hormat kepada negara asal keluarganya. Merujuk kepada ibu bapanya yang berasal dari Turki. Beliau pula lahir di Jerman.

Ozil kali ini lebih matang di dalam percakapan dan perlakuannya. Mungkin dah kena sound dengan ibu dan ayahnya sebelum ini.

Daripada hari itu, para penyokong Turki mulai memaafkan Ozil di atas apa yang berlaku. Ini ditambah dengan semangat cintakan Turki yang menebal dalam diri Ozil.

Misalnya, ketika di London, hampir keseluruhan binaan rumah dan perabot beliau didatangkan dari Turki. Beliau juga sangat rapat dengan Recep Tayyib Edorgan.

Ozil lebih berhati-hati dalam berkata-kata. Peminat Turki bukan marah beliau memilih Jerman, tetapi marah apabila beliau menganggap Turki tak mampu untuk menaikkan karier beliau. Biasalah, masih muda, masih banyak perkara beliau belum belajar.

Sahin pilih Turki

Seorang lagi pemain yang dianggap bakat elit di Jerman, Nuri Sahin berbeza dengan Ozil. Beliau memutuskan untuk mewakili Turki.

Alasan Sahin adalah, beliau mahu membantu negara asal keluarganya. Sahin menjadi sasaran beberapa peminat Jerman yang menyatakan pemain itu tidak patriotik selepas membesar di negara mereka sejak dari kecil.

Sahin memilih negara asal nenek moyangnya, berbanding negara beliau dilahirkan dan membesar. Sahin menegaskan: “Saya bangga dengan Jerman dan Turki. Saya mahu menjadi salah satu talian perhubungan di antara 2 negara ini.”

Sahin melakukan debut dalam Bundesliga pada usia 16 tahun 355 hari. Paling muda dalam sejarah Bundesliga. Lantas beliau menjadi aset paling panas di Jerman ketika itu.

Perkembangan bakat beliau membuatkan beliau sangat digeruni dan membantu Borussia Dortmund menjuarai liga pada 2010/11.

Sahin dianggap pemain yang cepat matang dan lebih berhati-hati dalam kata-katanya.

Agak ironi, debut antarabangsa Sahin bersama Turki pada 2005 adalah menentang Jerman. Beliau turut menjaringkan gol ke atas Jerman ketika itu. Turki menang 2-1. Sahin menjadi penjaring antarabangsa termuda untuk Turki, pada usia 17 tahun.

Sahin dan Ozil bertemu di lapangan antarabangsa pada 7 Oktober 2011, di mana Sahin mewakili Turki dan Ozil mewakili Jerman.

Karier kebangsaan mereka ternyata berbeza. Ozil menikmati segala kejayaan dengan Jerman termasuk Piala Dunia.

Manakala Nuri Sahin bermain untuk pasukan Turki yang dianggap sebagai ‘mediocre’ dan dalam era penuh pergelutan prestasi selepas era emasnya dahulu.

Sahin membantu Turki mara ke separuh akhir Euro B-17 pada 2005. Manakala karier belia Ozil pula menyaksikan beliau menjulang Euro B-19 pada 2009.

Sahin terus menjadi pemain penting dalam pasukan Turki selepas itu. Malah ada media Turki kadangkala terharu dengan komitmen Sahin yang lebih kuat berbanding dengan beberapa pemain Turki yang lahir di Turki sendiri.

Ozil dijulang sebagai perancang tengah terbaik pada era generasi emas Jerman di bawah Joachim Low. Nuri Sahin kemudiannya bergelut dengan isu kecergasan dan mempengaruhi prestasi beliau.

Namun selepas Piala Dunia 2018, Mesut Ozil menjadi sasaran penyokong Jerman. Jika dahulu, beliau diboo oleh penyokong Turki, kali ini beliau menjadi sasaran penyokong Jerman. Malah ada yang menyerang beliau dengan cemuhan rasis.

Ozil mulai dibenci di Jerman

Ianya gara-gara Ozil dan Gundogan yang dilihat bergambar dengan Edorgan. Peminat mulai mempertikaikan taat setia Ozil kepada Jerman.

Ada beberapa pihak cuba melakukan ‘pembunuhan’ karakter kepada Ozil. Ozil kemudian memutuskan untuk bersara daripada pasukan kebangsaan. Pada ketika ini, peminat-peminat dari Turki tampil mempertahankan Ozil daripada serangan di media sosial.

Mereka memberitahu Ozil bahawa, Turki sentiasa negara kamu dan datanglah ke sini bila-bila masa.

Legenda Jerman, Uli Hoeness antara tokoh yang paling lantang mengkritik Mesut Ozil. Beliau menyatakan Ozil bukan pemain yang bagus dan malas.

Semua jasa Ozil dengan Jerman, sehingga membantu Jerman juara dunia dahulu, dilupakan begitu sahaja. Persaraan Ozil dengan Jerman berakhir dengan cukup menyedihkan, dengan apa yang telah beliau sumbangkan.

Oilver Bierhoff pula menegaskan, Jerman membuat kesilapan dengan membawa Ozil sekali dalam Piala Dunia. Ini kerana gambar Ozil dan Gundongan bersama dengan Endorgan.

Kerana menurut Bierhoff gambar itu antara punca bilik pesalinan Jerman tidak harmorni kerana ada beberapa pemain kecewa dengan gambar itu.

Itu memuncakkan lagi kekecewaan Ozil yang merasakan dirinya tak ubah seperti habis madu sepah dibuang.

Sehinggakan Ozil menyatakan: “Saya orang Jerman ketika menang. Dan seorang pendatang [imigran] apabila kalah.”

Hanya Mats Hummels, rakan sepasukan yang mempertahankan Ozil ketika itu. Rata rata pemain lain menentang dan ada yang terus berdiam diri tentang isu itu.

Ozil kemudian memakai rantai dengan simbol Turki selepas mengumumkan persaraan itu. Membuatkan semakin banyak cacian beliau terima daripada rakyat Jerman.

Sahin bersara dengan kasih sayang peminat

Berbeza dengan Ozil, Nuri Sahin bersara di peringkat kebangsaan dengan lebih tenang. Sahin mengakui Turki masih mahukan beliau dan para penyokong Turki sentiasa sayangkan beliau. Pada masa yang sama penyokong di Jerman pun sentiasa menghormati Nuri Sahin.

Dalam ucapan persaraannya pada 2017, Sahin berkata:

“Saya yakin, dengan kerja keras dan keinginan yang ada pada generasi baru bola sepak Turki, saya percaya, dengan sokongan yang baik kepada mereka. Pada 10-15 tahun akan datang, mereka akan mencapai kejayaan gemilang.”

“Saya mengakhiri karier kebangsaan, kerana mahu memberikan peluang kepada generasi baru mengambil alih.”

“Sepanjang karier saya, saya telah mendapat banyak peluang dan juga pengalaman berguna. Saya sentiasa akan berhubung dengan dekat dengan bola sepak Turki. Saya sedia membantu apa yang saya mampu.”

Rumusan

Dalam hidup, setiap orang berhak membuat pilihan dan bebas untuk berimpian dan mengejar mimpi. Namun sentiasa berhati-hati dalam berkata-kata terutama sekali apabila berada di atas.

Nuri Sahin, misalnya, beliau turut dicemuh beberapa penyokong Jerman. Namun beliau bijak dan mengambil pendekatan merendah diri dan berlembut dalam berkata-kata.

Dalam kes Ozil, kenyataan mengguris beliau telah melukakan hati rakyat Turki satu ketika dahulu menimbulkan kemarahan.

Ia dijadikan modal media Jerman untuk membanggakan Jerman dan merendah-rendahkan Turki.

Mujurlah selepas itu, penyokong Turki memaafkan Ozil secara perlahan-lahan. Dan pada hari ini, penyokong dari Turkilah yang paling setia menyokong karier Ozil.

Pada hari ini, Ozil dilihat lebih selesa dengan Turki berbanding Jerman. Siapa sangka, negara asal nenek moyangnya itu juga yang terus setia dan empati ke atasnya.

Memahami dilema dihadapinya sebagai seorang Jerman-Turk. Mereka sentiasa berdiri di belakang Ozil di atas banyak perkara. Malah mendoakan agar suatu hari nanti Ozil kembali bermain di Turki di liga negara mereka.

Kisah kedua dua pemain ini membuktikan bahawa, piala itu bukan satu satunya benda paling penting dalam bola sepak. Tetapi respect dan rasa sayang juga menjadi perkara yang membuatkan sukan ini lebih lengkap.

Ozil sudah memberikan segala galanya kepada Jerman. Namun pada akhirnya, dia hanya dipandang seorang imigran yang bekerja untuk membalas balik jasa negara itu, tak lebih daripada itu.

Mereka lupa bahawa pada prestasi kemuncaknya, Ozil adalah individu yang memberikan mereka Piala Dunia. Lima kali Mesut Ozil menjadi pemain terbaik tahunan Jerman. Sekali melakukannya selama 3 kali berturut turut dan sekali untuk dua kali berturut turut.

Adakah itu tidak cukup untuk membuatkan nama Ozil digelar legenda dan lebih dihormati?