Pahang memulakan liga dengan agak hambar apabila tewas kepada Terengganu 1-2 dan Petaling Jaya City 2-3. Sementara itu Melaka United mencatat 2 kemenangan dengan menumpaskan UiTM (2-0) dan PDRM (3-0)
Situasi bertukar selepas LS3 apabila Pahang kembali merekodkan 2 kemenangan dan Melaka United tewas 2 kali.
Bagaimana Pahang menewaskan Melaka United semalam.
Pahang turun dengan kesebelasan yang sama ketika menewaskan Sabah 2-0 pada 10 Mac lepas. Helmi Eliza kembali buat kali pertama, berada di bangku simpanan ketika Sharbinee melakukan penampilan ke-4.
Duo pinjaman dari JDT II, Kumaahran Sathisevan dan Fazly Mazlan berada di pertahanan sisi Pahang. Terus mengenepikan Faisal Rosli dan menggantikan kehilangan Matthew Davies.
Sementara itu Zainal melakukan beberapa perubahan kecil dengan memberi penampilan pertama sebagai pemain kesebelasan utama kepada Faris Shah Rosli menggantikan Khair Jones di pertahanan kiri.
Saiful Ridzuwan Selamat dan Ferris Danial Nasir kembali ke kesebelasan utama bagi melengkapkan 3 perubahan yang dilakukan Zainal berbanding perlawanan lepas (lawan Felda United 1-3).
Pada babak pertama, Melaka United berhak menjadi pasukan yang menang apabila lebih menguasai permainan di kawasan tengah.
Dua gerakan dari Uche Agba dan Sony Nordy hanya melihat bola melintasi di hadapan pintu gol Pahang. Hantaran panjang kepada Agba hampir memerangkap Sharbinee yang meluru keluar dari posisinya.
Namun Agba sedikit lambat membuat keputusan untuk melepaskan percubaan.
Jentera tengah Pahang yang dikemudikan oleh Azam Azih dan Adam Trull agak tenggelam dengan 3 pemain Melaka United yang digerakkan oleh Romel Morales.
Azam dan Adam terpisah jauh dengan 2 penyerangnya, Mamadou Sumareh dan Ivan Carlos.
Gerakkan disebelah tepi dari Faisal Halim banyak berakhir dengan hantaran akhir yang kurang berkuali. Gopi Rizky gagal memecah masuk blok pertahanan Kumaahran walaupun pemain ini tidak berada di prestasi terbaik.
Sumareh agak bergelut untuk menampilkan permainan efektif apabila dimulakan dibahagian atas bersama Carlos.
Kemasukan Nwakaeme mengubah permainan Pahang
Tempo permainan Pahang meningkat dengan drastik pada separuh masa ke-2 selepas Nwakaeme dimasukan.
Ia memberi ruang kepada Sumareh kembali ke posisi kegemarannya di sayap kanan, pemain ini tidak menghampakan apabila berjaya melakukan beberapa larian yang memecahkan blok pertahanan Faris.
Azam lebih kerap melakukan hantaran panjang kepada Sumareh dan blok tengah Melaka United mula runtuh dengan permainan hantaran pantas tersebut.
8 sentuhan dari Herald Goulon, Carlos dan Nwakaeme pada minit ke-66 menjadi gol tunggal perlawanan, gol kemenangan pasukan Pahang.
Pahang bertukar menjadi pasukan yang berbahaya dengan kombinasi hantaran panjang, larian pantas Sumareh dan kekuatan fizikal Nwakaeme.
Connection antara unit bertahan, tengah dan menyerang menjadi semakin baik berbanding babak pertama. Pahang berhak untuk menang kerana berjaya menyelesaikan masalah yang berlaku pada separuh masa pertama.
Salah satunya Sumareh kembali di sayap kanan dan beliau menampilkan permainan efektif.
Dickson Nwakaeme
Sejak kembali menyertai Pahang pada musim lepas, Nwakaeme banyak mengalami fasa tidak cergas.
Pemain kelahiran Nigeria ini hanya tampil sebanyak 9 kali di liga, 4 kali di Piala FA dan 9 kali di Piala Malaysia.
22 kali sebagai pemain kesebelasan utama dan 4 kali sebagai pemain simpanan yang digunakan.
Walaupun Nwakaeme hanya berjaya mengumpul 7 jaringan di liga namun beliau masih boleh dilabelkan sebagai penyerang berbahaya di kancah domestik.
7 jaringan tersebut hanya dilakukan dalam 9 (4) penampilan. Beliau juga merekod 2 jaringan lagi dalam 4 penampilan di Piala FA.
Penyerang berusia 33 tahun ini menutup kempen domestik 2019 dengan 9 jaringan dalam 9 penampilan Piala Malaysia, Pahang tewas kepada Kedah di peringkat separuh akhir.
22 (4) penampilan dan 18 jaringan. 8 kad kuning dan 1 penggantungan di liga.
Pada musim ini selepas 4 perlawanan, Nwakaeme sudah merekodkan 2 jaringan dalam 3 penampilannya.
Kredit Foto: Halaman rasmi Melaka United SA