Lucas Paqueta Berdepan Hukuman Penggantungan Seumur Hidup

Dalam satu perkembangan mengejutkan, Pemain Ham United, Lucas Paquetá dilaporkan menghadapi dua pertuduhan tambahan kerana menghalang siasatan dan tidak memberikan kerjasama untuk siasatan kes pertaruhan oleh Persatuan Bola Sepak (FA) terhadapnya.

Pemain tengah Brazil itu akan menghadapi perbicaraan pada Mac, tetapi FA kini mendakwanya dengan dua pertuduhan tambahan kerana didakwa menghalang siasatan dengan gagal memberi kerjasama, menurut laporan oleh Insider Sports.

Tahun lalu, FA merampas telefon Paquetá selama dua bulan sebagai sebahagian daripada siasatan mereka terhadap mesej, panggilan dan sejarah perbankannya.

Walaupun FA akhirnya memulangkan telefon asal, mereka kemudian memintanya kembali untuk mengesahkan butiran tambahan. Bagaimanapun, Paquetá telah membuangnya dan penyiasat tidak dapat mengesan maklumat yang diperlukan dalam telefon itu.

Pertuduhan awalnya berpunca daripada dakwaan FA bahawa Paquetá sengaja menerima kad kuning dalam 4 perlawanan. Di mana perlawanan tersebut adalah melibatkan aksi menentang Leicester, Aston Villa, Leeds dan Bournemouth pada musim Liga Perdana 2023/24.

Tindakannya yang didakwa sengaja mendapatkan kad kuning akan membolehkan dia atau rakan-rakannya mendapat keuntungan daripada pertaruhan yang diletakkan ke atasnya bahawa dia akan menerima kad. Paquetá telah menafikan semua dakwaan terhadapnya.

Laporan mencadangkan bahawa kira-kira 60 individu di Brazil mempertaruhkan jumlah antara £7 sehingga £400 bertaruh bahawa Paqueta akan mendapat kad dalam perlawanan perlawanan tersebut, membawa kepada jumlah kemenangan sebanyak £100,000.

Walaupun pendengaran kes itu ditetapkan pada Mac tahun hadapan, garis masa untuk keputusan boleh dilanjutkan ke musim panas. Ini bermakna dia akan kekal layak bermain sepanjang musim ini, tetapi boleh dikenakan penggantungan seumur hidup jika didapati bersalah.

Ketika ditanya mengenai Paquetá, Pengurus West Ham Julen Lopetegui berkata: “Kami tidak bercakap tentang itu [kes itu], kami bercakap tentang bola sepak. Mengenai perlawanan seterusnya dan tentang kehidupan, tetapi bukan tentang itu.”

Paqueta sebelum ini dikatakan sudah tahu kesan daripada tindakannya itu. Dan dia sudah pun ada perancangan untuk menceburi karier lain jika karier bola sepaknya terpaksa berakhir awal.

Paqueta merupakan pemain yang sangat berbakat. Dan dia sebelum ini pernah menarik perhatian Manchester City. City sudah sedia membayar £90 juta untuk mendapatkan khidmatnya. Dan Paqueta sudah setuju semua syarat menyertai City.

Namun rundingan gagal apabila pemain itu disiasat untuk kes perjudian bola sepak. Pastinya Man City menarik nafas lega tidak meneruskan perpindahan tersebut. Kerana kini pemain itu berdepan risiko penggantungan seumur hidup ataupun penggantungan untuk tempoh yang lama.

Paqueta pastinya sedih kerana kes ini membuatkan dia gagal ke Man City dan berdepan hukuman berat yang boleh menamatkan kariernya.

Bekas pemain Brentford, Ivan Toney sebelum ini pernah digantung 8 bulan kerana kesalahan perjudian bola sepak.