Luis Figo Mengukir Kisah Pengkhianatan Paling Agung Dalam Sejarah Barcelona

Luis Figo dianggap sebagai salah seorang pemain terbaik Portugal sepanjang zaman di dalam arena bola sepak Eropah dan juga dunia.

Pada 20 tahun yang lalu, pemain ini menjadi bualan seluruh dunia ketika dipersembahkan sebagai pemain Real Madrid oleh Florentino Perez yang baru dilantik menjadi Presiden Los Blancos.

Sebelum itu, rumors berlegar tentang pertemuan ejen Figo, Jose Veiga dengan pihak Real Madrid. Namun ramai penyokong mereka tidak percaya dengan berita seperti itu.

Lebih-lebih lagi media Sepanyol memang terkenal dengan sikap mereka suka mereka-reka cerita. Luis Figo sudah mengiktiraf dirinya sebagai sebahagian daripada bangsa Catalonia.

Dia dengan terbuka menyokong pembebasan Catalan daripada Sepanyol. Tidak ramai pemain luar yang berani bebuat demikian. Semua orang tahu perbezaan politik di antara Catalan dan Madrid yang merupakan ibu negara Sepanyol.

Membuatkan Figo dianggap bangsa Cules sebenar dan sebahagian daripada mereka.

Figo The Cules!

Figo aktif dan terbuka menyatakan sokongan beliau kepada mana-mana perhimpunan dan juga pemimpin pro pembebasan Catalonia. 10 hari sebelum beliau dipersembahkan di hadapan penyokong Real Madrid, Figo berkata:

“Ini (jersi Barcelona) adalah jersi saya. Florentino menang atau kalah dalam undian, itu bukan soalnya. Saya tidak akan pernah menjadi pemain Real Madrid. Saya hanya bermain untuk Barcelona.”

Berita ini membuatkan ramai penyokong Barcelona lega dan menyerang media yang dianggap mereka memainkan propaganda serta spekulasi liar nak melariskan paper.

Ini selepas ada laporan akhbar menyatakan yang Figo telah menandatangani pra-kontrak dengan Real Madrid. Jika Florentino Perez menang Presiden, beliau akan ke Real Madrid.

Laporan itu juga antara lain menyebut Figo akan mendapat £1.7 juta jika Florentino Perez tewas dalam pemilihan.

Laporan Diario Sports pula membocorkan dokumen pra-kontrak Figo selepas penafian Figo yang membuatkan media tersebut diserang. Figo terus menafikannya dan menganggap dokumen itu palsu (fabricated).

“Saya tidak gila untuk melakukan sesuatu seperti itu,” katanya kepada wartawan yang mahukan penjelasan beliau. Figo juga memberitahu yang ejennya Vega sedang berunding kontrak baru dengan Barcelona.

Figo memang ada perjanjian dengan Perez

Namun sebaliknya pula yang berlaku. Segala jaminan yang diberikan Figo itu ternyata penuh pembohongan.

Usaha mendapatkan Figo dimulakan oleh Alfredo di Stefano dan diteruskan serta disempurnakan oleh Florentino Perez yang baru diundi menjadi Presiden Los Blancos.

Kalau tidak, mustahil Florentino Perez memberitahu perwakilan yang beliau akan membayar yuran keahlian tahunan kesemua 83,967 ahli berdaftar jika beliau gagal menandatangani Figo.

Butiran ini dibukukan oleh Alfredo Relano dalam naskah beliau Nacidos Para Incordiarse.

Josep Maria Minguella adalah broker yang terlibat di dalam perjanjian ini. Beliau memberitahu Bleacher Reports pada 2015 yang Vega memang ada berbincang kontrak baru dengan Barcelona. Minguella berkata:

“Veiga berjumpa dengan calon presiden, Joan Gaspart dan Lluis Bassat serta presiden yang bakal menamatkan penggal, Jospe Lluis Nunez.”

“Vega memberitahu mereka, ini adalah tawaran daripada Florentino Perez. Jika anda (Barca) dapat memberikan pakej lebih baik daripada ini, kami akan ke Real Madrid.”

“Selepas beberapa rundingan, Gaspart yakin yang Florentino Perez tidak akan menang dan tidak panik untuk menawarkan nilai kontrak yang lebih besar.”

“Barcelona gagal memenuhi beberapa klausa yang diinginakan oleh Figo dan ejennya.”

Ramai juga penyokong Real Madrid tidak mahukan Figo kerana Figo pernah mengiktiraf dirinya Cules sejati. Tetapi mereka tetap akan menerima jika berita itu benar kerana Figo adalah pemain terbaik Eropah ketika itu.

Hanya beberapa jam Joan Gaspart memenangi jawatan Presiden Barcelona, Luis Figo datang menemui beliau dan mahu membayar klausa perlepasan bernilai €61.7 juta. Jumlah yang dianggap sangat besar ketika itu.

Ianya kerana Florentino Perez juga baru menaiki kerusi Presiden di Real Madrid. Beliau terus terbang ke Madrid. Tiada apa yang boleh dilakukan oleh Barcelona. Ianya adalah klausa perlepasan!

Figo menjadi pengkhianat paling dibenci di Barcelona

Pada 24 Julai 2000, Luis Figo disahkan sebagai pemain Real Madrid. Figo menjadi pemain termahal dalam sejarah bola sepak dunia ketika itu.

Lebih menyakitkan buat penyokong Barca, Luis Figo memenangi Ballon d’Or pada 2000 dengan status sebagai pemain Real Madrid selepas aksi cemerlang bersama Barcelona sebelum itu.

Florentino Perez memang menjadikan Figo sebagai salah satu kad penting dalam meyakinkan pihak pengurusan bahawa beliau orang yang tepat menjadi Presiden Real Madrid menewaskan Lorenzo Sanz.

Lorenzo Sanz pula yakin Perez tidak akan dapat membawa Figo ke Real Madrid, sebaliknya Perez akan umumkan Claudia Schiffer (super model) sebagai pemain baru Real Madrid jika dia menang.

Ejen Luis Figo mendapat jumlah wang yang sangat besar ketika itu dan digambarkan tidak perlu bekerja untuk setahun pun tak apa. Presiden baru Barcelona, Gaspart mengkritik perpindahan Figo ini sebagai tidak beradab.

Ramon Calderon menganggap tindakan Perez ini sangat berisiko. Bayangkan jika dia tewas di dalam pemilihan tersebut. Florentino Perez boleh muflis begitu sahaja dan terpaksa membayar £1.7 kepada Figo.

Disambut dengan kepala babi

Kepulangan Figo ke Camp Nou pada 2002 dipenuhi dengan ejekan dan cemuhan penyokong. Ketika menuju bilik persalinan ramai pemain menyindir Figo dengan ayat-ayat sinis.

Carles Puyol dan Fernando Hierro terpaksa menenangkan penyokong yang berada di kawasan terowong masuk ke bilik persalinan. Pengawal keselamatan mengawal ketat Luis Figo.

Dalam buku Steve McManaman: 4 Years With Real Madrid, beliau menggambarkan banyak sapu tangan dilambaikan oleh penyokong Barcelona yang menganggap Figo sebagai seekor lembu gila dan harus dibunuh.

Jeritan Die Figo! Traitor, Judas, sampah, dan “Mercenary”. berkumandang sepanjang 90 minit. Setiap kali Figo menyentuh bola, setiap kali itulah booo  dan ejekan berkumandang di stadium yang berkapasiti hampir 100,000 itu.

Sampai satu ketika melayang kepala babi ke dalam padang ketika Figo mahu mengambil sepakan penjuru.

The Galaticos

Impak daripada Figo, Florentino Perez berjaya mengatasi beban hutang €50 juta Real Madrid ketika itu kepada untuk €120 juta pada akhir musim.

Real Madrid juga membentuk generasi yang digelar The Galaticos. Perez kemudian membawa masuk pemain seperti Zidane, Beckham dan Ronaldo.

Ketika mahu mendapatkan Beckham, Perez dicadangkan untuk mendapatkan Ronaldinho oleh scout beliau. Namun Perez menyatakan Ronaldinho terlalu hodoh untuk pemasaran kelab.

Itulah permulaan Real Madrid menjadi antara kuasa komersil paling besar dalam sukan dunia. Selepas era Galaticos, Real Madrid berjaya meningkatkan keuntungan kelab daripada $320 juta setahun.

“Pada satu ketika, saya melihat ia satu pengalaman yang unik. Saya tak rasa ada atlet lain yang pernah bermain dengan ejekan ratusan ribu penyokong. Pengalaman indah untuk diingati.” – Luis Figo

Itulah kisah Luis Figo dan peseteruan sebenar dalam bola sepak. Penyokong Barca sangat kecewa dengan spin dan kencingan yang dilakukan Figo yang memberikan mereka harapan palsu selama ini.

Mujur masa tu belum ada Twitter dan Facebook lagi.