Luke Shaw Berdepan Dengan Penggantungan Kerana Menyerang Integriti Pengadil

FA England akan memutuskan hari ini sama ada akan mendakwa Luke Shaw setelah pemain pertahanan Manchester United menuduh pengadil, Stuart Attwell menolak untuk memberikan penalti kepada pasukannya di Chelsea – hanya kerana takut dengan mulut orang.

Dalam wawancara selepas tamat perlawanan, Shaw menyatakan dia kecewa Attwell tidak mahu menghukum Callum Hudson-Odoi selepas bola terkena pemain tersebut.

Shaw menegaskan VAR mencadangkan bahawa itu adalah penalti tetapi Attwell meninjau semula insiden dan menolak untuk memberikan penalti.

Pemain bek kiri itu mengaku melakukan perbualan antara Attwell dan kapten United, Harry Maguire. Di mana awalnya Atwell mahu memberikan penalti tetapi risau dia akan dikecam. Macam tu pun ada ke?

Shaw berkata di Sky Sports: “Ref bahkan mengatakan kepada H [Maguire], saya mendengar dia mengatakan jika saya menyatakan ia adalah penalti maka ia akan menyebabkan banyak perbincangan mengenainya sehingga saya tidak tahu apa yang berlaku lepas ni.”

“H [Maguire] mengatakan bahawa mereka diberitahu bahawa ia adalah penalti oleh VAR.”

FA akan memutuskan sama ada Shaw akan dikenakan tindakan atas kesalahan mempertikaikan intergriti pengadil. Selain itu Shaw juga boleh dituduh sengaja mereka cerita ataupun menjadi batu api.

Di bawah peraturan FA, mana-mana pemain memberi komen bahawa ‘ada layanan berat sebelah atau menyerang integriti’ pegawai perlawanan – ia boleh menyebabkan tuduhan salah laku di bawah Peraturan E3 (1).

Namun FA akan mengeluarkan hasil siasatan mereka pada Rabu dan dijangka akan terus mengumumkan hukuman ke atas Shaw jika pemain itu didapati bersalah.

Siasatan akan dikendalikan oleh suruhanjaya pengawal selia yang bebas.

Sky Sports kemudian melaporkan bahawa Harry Maguire merasakan bahawa Luke Shaw silap dengar perbualan beliau dengan pengadil.

Nampaknya Shaw kini berisiko digantung perlawanan. Shaw merupakan pemain yang cemerlang untuk Man United pada musim ini.