Maaf Fenerbahce, Ozil Tak Nak Kurang Gaji, Sanggup Terus Makan Gaji Buta

Sebelum ini bintang Arsenal telah memberikan harapan kepada peminat Fenerbahce. Spekulasi itu menjadi semakin mengujakan mereka apabila laporan daripada media di Turki sebelum ini menyatakan Ozil sedang berunding dengan Fenerbahce untuk kontrak 3 setengah tahun.

Kontrak semasa Ozil akan berakhir pada akhir musim ini. Arsenal pula cuba untuk melepaskan Ozil secepat mungkin.

Ozil beri harapan kepada peminat Fenerbahce

Dalam sesi soal jawab di Twitter baru baru ini, Ozil turut menyatakan dia peminat tegar Fenerbahce dan mengiktiraf kelab itu sebagai kelab terbesar di Turki.

Ozil berkata: “Saya membesar sebagai peminat Fenerbahce dari kecil di Jerman. Semua kanak kanak Jerman-Turki akan menyokong satu pasukan bola dari Turki, ketika mereka membesar di Jerman. Dan saya sokong Fenerbahce.”

“Fenerbahce sama seperti Real Madrid di Sepanyol, kelab terbsar di negara Turki.”

Arteta diminta segera keluarkan Ozil

Pemilik Arsenal dilaporkan mahu masa depan Ozil dan beberapa pemain lain termasuk Sokratis diselesaikan dengan segera, pada Januari ini. Sead Kolasinac sudah berjaya dikeluarkan secara pinjaman dengan opsyen tetap.

Minggu lalu Pengurus Arsenal Mikel Arteta menegaskan bahawa beliau berharap kelab dapat segera menyelesaikan masa depan Ozil di Arsenal. Ini selepas pemain itu dikaitkan dengan perpindahan pada Januari.

Ozil menjadi pemain yang tiada dalam perancangan Mikel Arteta pada musim ini. Ozil disisihkan daripada skuad EPL dan UEL pasukan The Gunners.

Arteta menyatakan beliau berharap deal melibatkan Ozil akan memberikan kebaikan kepada pihak Ozil dan Arsenal.

“Jika perkara ini diselesaikan bukan ini, bermakna kerana ianya bagus untuk kedua dua pihak – sama ada untuk Ozil dan untuk kelab.”

“Jika itu berlaku [perjanjian memberikan manfaat kepada semua pihak], maka kita akan terus kepada langkah seterusnya [dalam rundingan]. Jika ianya tak berlalu, maka dia akan terus kekal di sini.”

“Kita akan menentukan keputusan kita dalam beberapa hari ini,” jelas Mikel Arteta.

Mesut Ozil kini berada pada enam bulan terakhir kontraknya. Beliau bebas bercakap dengan mana mana kelab.

Namun untuk memeterai perjanjian yang membolehkannya pergi pada Januari, kelab baru Ozil perlu membayar yuran perpindahan kepada Arsenal.

Tetapi jika Ozil memutuskan untuk terus kekal sehingga Jun, maka Ozil boleh pergi secara percuma pada akhir musim ini.

Mesut Ozil menjadi salah seorang perancang terbaik yang pernah bermain di Liga Perdana Inggeris. Tetapi beliau gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama secara konsisten di bawah kendalian Unai Emery dan Mikel Arteta.

HSA kemudian tampil dengan laporan bahawa Ozil sangat hampir menyertai Fenerbahce.

Presiden Fenerbahce anggap Ozil semakin hampir

Seterusnya Presiden Fenerbahce, Ali Koc juga turut mengesahkan perkara tersebut menyatakan bahawa mereka hampir untuk membawa Ozil ke kelab mereka.

“Biar saya beritahu kamu perkembangan terkini Mesut Ozil. Kami boleh katakan ia bakal menjadi perpindahan impian oleh Fenerbahce sekiranya direalisasikan.”

“Apa yang boleh saya katakan, ianya lebih hampir daripada sebelumnya. Mungkin dapat diselesaikan, mungkin tidak. Fenerbahce SK akan membuat pengumuman dari semasa ke semasa.”

Arteta berjanji akan terus memberikan kemaskini berkaitan dengan Ozil. Dan hari ini, Ozil dilaporkan tidak mahu menerima pemotongan gaji jika Arsenal memutuskan untuk menjualnya ke Fenerbahce.

Ini bermakna Arsenal perlu mencari kelab lain yang mampu menanggung GBP350k seminggu ataupun Arsenal sendiri membayar sebahagian gaji Ozil di kelab lain.

Arsenal dilaporkan masih berhutang gaji Ozil sebanyak €10 juta untuk setengah musim yang dia tidak beraksi musim ini. Ozil pada masa yang sama menuntut kelab baharunya harus membayar €10 juta lagi seperti termaktub di dalam kontraknya bersama Arsenal.

Buat masa ini, hanya DC United di AS yang berminat dengan Ozil selain Fenerbahce. Namun kelab itu tak mungkin mampu membayar angka GBP350k seminggu. Sebaliknya mereka menawarkan pelbagai pakej ekonomi yang lain kepada Ozil.

Kelab Amerika itu menawarkan pakej lumayan kepada Mesut Ozil termasuk menjadikan jenama Ozil, M10 sebagai salah satu rakan niaga mereka. Tawaran ini akan membolehkan Ozil meluaskan lagi publisiti produknya, terutama sekali di negara yang menjadi kuasa publisiti dunia.

Bukan itu sahaja, DC United juga akan membantu mempromosi jenama kopi Ozil iaitu 39 Steps Coffee di sekitar Stadium Padang Audi. DC United juga berjanji akan menjadikan Ozil sebagai wajah utama pasukan mereka di stadium dan kompleks sukan mereka.

Ozil sendiri menyatakan bahawa beliau sentiasa berimpian bahawa suatu hari nanti dapat bermain sama ada di Turki ataupun Amerika Syarikat.

Baca yang lain