Maaf, Tak Jadi ‘Test-Drive’ Kereta Terbang Esok

Tunggu dulu, jika anda bercadang mahu ke Subang Jaya esok bagi menyaksikan uji pandu kereta terbang, batalkan dahulu niat anda.

Hal ini kerana, pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) tidak meluluskan ujian penerbangan UAS E-Hang 216 (EH216) atau ‘kereta terbang’ yang dijadualkan esok.

CAAM dalam kenyataan mereka hari ini menyatakan bahawa mereka tidak meluluskan lokasi percubaan penerbangan di Hangar UNIKL MIAT Subang.

Hal ini kerana jaraknya yang kurang 200 meter dari laluan trafik pesawat dan helikopter komersial.

Dipetik dari Harian Metro, CAAM berkata:

“Lokasi itu jelas terletak di dalam Zon Kawalan Terminal Lapangan Terbang Subang di bawah penyeliaan yang ketat oleh Pusat Kawalan Trafik Udara.”

“EH216 hanya diberikan Permit Khas Penerbangan (SFP) oleh negara pengeluar iaitu Pentadbiran Penerbangan Awam China yang terhad untuk mengendalikan penyelidikan dan pembangunan penerbangan di Grand World Science Park, Guangzhou,” katanya.

“Ujian ‘haram’ itu dilakukan pada 15 November lalu di Lapangan Terbang Subang,” katanya.

CAAM menyatakan mereka menyokong pembangunan industri aeroangkasa di negara ini. Walaubagaimanapun ianya mestilah mengikut Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016 (MCAR 2016).

https://twitter.com/hmtengah/status/1197105273615204353?s=19

Bagaimana ia bermula

Beberapa hari lalu, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof mengesahkan beliau akan melakukan test drive kereta terbang pada Khamis ini.

Redzuan memaklumkan perkara itu dalam penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 bagi kementeriannya di Persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.

Dipetik daripada Berita Harian, Redzuan berkata: “Saya nak ulangi jemputan saya, hari Khamis ni saya akan naik kereta terbang.”

“Saya jemput kalau Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) nak datang… ambil gambar dan duduk sebelah pun boleh,” katanya.

Tidak pasti sama ada ia gurauan ataupun serius. Sukar betul nak membaca gerakan false nine beliau.

Ianya kerana Mohd Redzuan turut memberikan amaran kepada semua pihak agar tidak menidakkan kemajuan serta memperlekehkan inovasi generasi muda.

Beliau juga menambah: “Ini merupakan idea anak muda. Mereka ini disebut belia. Merekalah yang bawa hobi ini.”

“Justeru, pada hari ini, kita menggalakkan sekolah-sekolah supaya menggalakkan pelajar untuk terlibat dalam kemahiran mobiliti udara [kederaan terbang].”

Selain itu, Redzuan dalam penggulungannya turut menjemput ahli-ahli parlimen lain yang nak ikut serta mengjui kereta terbang untuk datang ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Khamis ini.

Beliau menytakan bahawa jadual uji pandu adalah pada 2 petang.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof turut mencelah dan mengadu bahawa beliau tidak dijemput untuk menyaksikan sesi ujian memandu itu.

Redzuan kemudian menyatakan semua dijemput hadir termasuk speaker. Yang penting ingat tarikh dan juga jam 2 petang di Subang.

Cerita kereta terbang ini merupakan cerita yang sudah lama kita dengar. Ianya menjadi lebih hangat apabila awal tahun ini, Kementerian Pembangunan Usahawan mengeluarkan vector yang diinovasikan syarikat tempatan, Aerodyne, untuk prototaip kereta terbang.

Ketika itu Mohd Redzuan memberikan bayangan bahawa prototaip sebenar yang pertama akan dipamerkan pada Oktober 2019.

Menurutnya lagi, pembangunan kereta terbang pertama negara adalah diusahakan syarikat swasta tanpa penglibatan dana kerajaan.

Turut diumumkan, kerajaan sedang memainkan peranan sebagai fasilitator dalam membangunkan ekosistem industri mobiliti udara.

Mohd Redzuan juga yakin, dalam masa terdekat, akan menaiki kereta terbang, dengan adanya undang-undang keselamatan, insurans dan sebagainya.

Dan jarak dari KL ke Penang hanya dalam masa sejam.

Mereka juga sedang mengkaji tentang laluan udara yang akan digunakan oleh kereta terbang, apabila ia menjadi kenyataan kelak.

Sumber:

BH Online
Sinar Harian

Baca yang lain