Madueke Kantoi Berparti, Pochettino Mahu Pemain Muda Hormati Lencana Di Dada

Mauricio Pochettino telah memberikan amaran keras kepada pemain sayap Chelsea Noni Madueke dan kesemua pemain skuad mudanya selepas pemain berusia 21 tahun itu dilihat keluar berpesta liar.

Madueke tidak bermain sejak mengalami kecederaan otot ketika tugasan antarabangsa bersama England Bawah 21 awal bulan ini. Namun ramai mempersoalkan kenapa dia tidak berada di bangku simpanan dalam aksi Piala Carabao sebelum ini. Ini selepas tular video pemain itu berparti bersama kawan kawannya ketika dia sepatutnya fokus kepada pemulihan kecergasan.

Pochettino kemudian mendedahkan ketiadaan pemain sayap itu daripada skuad adalah disebabkan isu prestasi kecergasannya dan bukannya kerana masalah disiplinnya. Namun pengurus Blues itu menjelaskan dia telah melihat video bekas pemain PSV Eindhoven itu berpesta di kelab malam di Mayfair.

Bercakap mengenai ketiadaan Madueke, Pochettino mengingatkan kesemua pemain muda dalam skuad itu bahawa mereka perlu ‘lebih menghormati lencana kelab itu’.

“Dia tak dipilih kerana kami ada pilihan lain.”

Bercakap tentang video yang tular, Pochettino berkata: “Ia adalah jelas. Video ini, kami bercakap mengenainya dengannya,” kata Pochettino.

“Ia adalah perkara yang perlu kami elakkan. Semua pemain perlu tahu bahawa apabila kami menjadi pemain Chelsea, cuba mengelak perkara ini. Ia bukan isu besar tetapi kami sentiasa perlu mengelak situasi seperti ini. Jelas sekali dia perlu mengelaknya sebagai pemain Chelsea.”

“Tetapi dia semakin pulih daripada kecederaan ketika beraksi bersama pasukan kebangsaan dan kita akan lihat sama ada dia cergas dan boleh terlibat serta dipilih [pada aksi Isnin].”

“Tetapi kami bercakap tentang apa yang anda tanyakan kepada saya kerana ia adalah perkara yang perlu diperbaiki oleh pemain muda. Bukan hanya dia. Ramai, ramai pemain perlu bersikap profesional dan menghormati kelab ini kerana lencana yang kami ada di sini [dada].”

Bagaimanapun, Pochettino membayangkan bahawa Madueke mungkin terlibat menentang Fulham pada hari Isnin.

“Pada pendapat saya dia bekerja keras untuk mendapatkan tahap prestasi yang kami mahukan selepas kecederaannya,” tambahnya.

“Dia kembali dari rehat antarabangsa mungkin 10 atau 12 hari lalu. Sekarang dia berasa sihat dan dia pulih. Kini dia cuba cergas untuk berada pada tahap yang sama dengan pemain lain dalam pasukan.”