Maghribi Tewaskan Pasukan No.1 Dunia, Brazil Pada Hari Keraian Di Grand Stade de Tanger

Maghribi memutuskan untuk meraikan kejayaan pasukan mereka dalam Piala Dunia 2022 yang lalu dengan perarakan khas di Stadium Grand de Tanger.

Lawan mereka kali ini adalah Brazil. Yang memulakan era baharu selepas Tite dipecat beberapa bulan lalu.

Maghribi mara sehingga ke separuh akhir Piala Dunia 2022. Membuatkan peminat peminat mereka bersemangat memberikan penghargaan kepada pemain pemain mereka.

Brazil dikendalikan pengurus interim Ramon Meneses, pengurus B-20 pasukan.

Era baharu di Brazil turut menyaksikan Casemiro dilantik menjadi kapten baharu. Mereka sebenarnya masih menunggu Carlo Ancelotti memberikan persetujuan kepada tawaran untuk menjadi pengurus tetap.

Di atas padang, Brazil menurunkan ramai muka baharu. Dan akhirnya mereka menelan kekalahan di tangan Singa Atlas yang menurunkan kekuatan penuh pasukan mereka.

Brazil menelan kekalahan pertama mereka di tangan pasukan dari Afrika beberapa bulan yang lalu di tangan Cameroon. Dan kini menelan satu lagi kekalahan di tangan pasukan dari Afrika.

Maghribi terlebih dahulu di hadapan menerusi bintang Piala Dunia 2022 mereka, Sofiane Boufal yang melakukan half turn jarak dekat menewaskan Weverton pada minit ke-29.

Stadium menjadi gila meraikan gol tersebut. Penyokong penyokong Maghribi seolah olah tidak percaya, kisah dongeng Piala Dunia 2022 mereka berterusan lagi pada malam itu.

Kali ini mereka berjaya merobek gawang Brazil, juara dunia 5 kali di dalam sejarah dan merupakan pasukan ranking no.1 dunia ketika ini.

Brazil menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua menerusi Casemiro yang merembat dari luar kotak penalti. Bounou yang sangat kental di Piala Dunia 2022, kali ini membuat kesilapan penjaga gol dengan gagal mendakap kemas bola pada minit ke-67.

Namun hanya selang 12 minit kemudian, Maghribi meraikan gol kemenangan mereka menerusi rembatan deras Abdelhamid Sabiri pada minit ke-79.

Pemain pemain Maghribi sujud syukur meraikan gol tersebut.

Gol itu memberikan kemenangan kepada Maghribi pada hari mereka melakukan pesta keraian pasukan sempena kejayaan mara ke separuh akhir Piala Dunia 2022.

Brazil tidak dapat merosakkan parti mereka pada hari itu.

Baca yang lain