Maguire Jelaskan Jawapan Kepada Tuduhan Chelsea Menipu FFP

Perbelanjaan mewah Chelsea dalam jendela perpindahan bukanlah perkara baru. Sejak era Roman Abramovich lagi mereka berbelanja mewah. Malah pernah digantung daripada jendela perpindahan pada era Maurizio Sarri menjadi pengurus. Tetapi kemudian menang rayuan dan kembali ke jendela perpindahan yang seterusnya.

Mungkin inilah jawapan paling tepat kenapa Roman Abramovich memilih Todd Boehly menjadi pembeli kelabnya kerana dia yakin Boehly akan meneruskan cara pengurusannya.

Sejak ahli perniagaan Amerika Boehly menjadi pemilik di Stamford Bridge, dia telah membingungkan Liga Perdana dengan perbelanjaannya dilabelkan sebagai ‘seperti Monopoli’ oleh penyokong dari kelab saingan.

Hampi setiap hari ada pihak menuduh Chelsea melakukan doping dalam kewangan serta melanggar FFP.

Selepas membeli kelab itu pada Mei 2022, Boehly telah membelanjakan sejumlah £476 juta untuk 16 pemain baharu, termasuk £88 juta untuk Mykhailo Mudryk (termasuk bonus), £72 juta untuk Wesley Fofana dan £50 juta pada Raheem Sterling.

Ini telah menyebabkan ramai peminat tertanya-tanya bagaimana Chelsea berjaya mematuhi peraturan Financial Fair Play untuk membiayai urus niaga kelab mereka yang dianggap sangat boros.

Dalam jendela perpindahan ini sahaja, mereka telah menandatangani Mudryk, Benoit Badiashile, Noni Madueke, Andrey Santos, David Fofana. Chelsea kemudiannya telah membawa masuk Joao Felix secara pinjaman serta bersetuju dengan perjanjian yang akan menyaksikan Malo Gusto.

Ramai yang merasakan bahawa FFP tidak buat kerja dan hanya melihat Boehly.

Chelsea kini juga telah membuka semula perbincangan untuk menandatangani pemain tengah Benfica, Enzo Fernandez sebelum jendela perpindahan ditutup. Malah terus berusaha mendapatkan Caicedo dalam jendela yang sama.

Menandatangani Fernandez boleh menjadikan kelab itu mencipta rekod perpindahan Inggeris.

Namun Chelsea cuba membelanjakan £105 juta yang diperlukan dengan bayaran secara ansuran, yang seterusnya akan membolehkan The Blues menandatangani pemain Argentina itu dengan kontrak yang lebih lama untuk memecahkan kos bayaran.

Mereka telah mengeluarkan beberapa kontrak jangka panjang dalam jendela ini, termasuk Mudryk untuk mengeksploitasi peraturan itu.

Menjelang hari tarikh akhir perpindahan, SPORTbible telah bercakap dengan pakar Kewangan Bola Sepak, Kieran Maguire untuk mendapatkan penjelasan tentang cara Chelsea berjaya mematuhi FFP.

Untuk apa FFP ditubuhkan?

Kieran Maguire menyatakan:

Secara teori, ia adalah untuk mengurangkan hutang kelab dan mewujudkan keadilan dalam perbelanjaan.

Tetapi pada hakikatnya, kebimbangan adalah tentang pemilik baru kelab bola sepak akan membeli kejayaan dengan suntikan kewangan peribadi yang terlampau banyak. Mengabaikan pendapatan kelab daripada tajaan dan juga bonus pertandingan mahupun hak penyiaran.

FFP adalah berdasarkan keuntungan dan keuntungan adalah hasil tolak kos operasi, ia akan mengehadkan jumlah kerugian.

Oleh itu FFP akan mengehadkan keupayaan kelab-kelab ini untuk berbelanja berlebihan.

Bagaimanakah Chelsea dapat bekerja tanpa melanggar FFP?

Maguire menjelaskan:

Nah, ini disebabkan oleh cara akauntan berurusan dalam perniagaan mereka.

Jika anda menjual pemain, semua keuntungan dikira serta-merta. Chelsea sebenarnya sangat pandai menjual pemain.

Mereka menjual Hazard menjelang akhir kontraknya dan mendapat banyak keuntungan daripada itu. Tomori dan Abraham kedua-duanya datang melalui akademi, mereka adalah keuntungan bersih.

Apabila anda menjual pemain, semua keuntungan masuk ke dalam pengiraan FFP anda serta-merta. Tetapi apabila anda membeli pemain, kos pemain itu akan dikira secara pecahan kontrak penggal pertama pemain.

NOTA EDITOR: Misalnya kau beli pemain GBP100 juta dengan kontrak pertama itu 5 tahun. Maka kelab boleh menggunakan bayaran ansuran dengan purata GBP20 juta setahun. Jadi dengan cara ini, FFP hanya mengira harga pemain itu GBP20 juta pada hari dia didaftarkan.

Kieran Maguire menyambung:

Kini, Chelsea telah menandatangani pemain dengan enam, tujuh, dan kini kami mempunyai Mudryk dengan kontrak lapan setengah tahun.

Jadi jika anda membelinya dengan harga £88 juta dan dia dalam kontrak lapan setengah tahun. Kos dalam akaun untuk tujuan FFP hanyalah £10 juta dalam satu tahun.

Jika anda menandatanganinya dengan kontrak empat tahun, ia akan menjadi £22 juta tetapi jika anda menandatanganinya dengan kontrak lapan setengah tahun ia menjadi £10 juta.

Chelsea telah melakukan corak perbelanjaan ini dengan Fofana, mereka telah melakukan ini untuk Cucurella, dan saya rasa Sterling dalam kontrak lima tahun.

Jadi Chelsea telah mengambil pendekatan ini dan ini telah membolehkan mereka mengurangkan kos pembelian pemain mereka untuk tujuan FFP.

Tetapi jualan mereka tidak terjejas kerana anda mengambil semua keuntungan jualan dengan segera.

Tidak, mereka tidak menipu, mereka cuma mengeksploitasi peraturan. Peraturan membenarkan mereka mengambil kira harga pemain berdasarkan purata harga dengan durasi kontrak.

Sesetengah orang telah berkata tunggu, jika anda melihat pada buku peraturan FIFA, ia mengatakan anda tidak boleh menandatangani pemain dengan kontrak yang melebihi lima tahun melainkan undang-undang tempatan membenarkannya.

Nah, di UK tiada apa-apa untuk menyekat anda, sama di AS.

Peraturannya ada, apa yang Chelsea lakukan ialah mereka telah melihat ada kelemahan dan mereka telah menggunakan kelemahan itu untuk kesan maksimum untuk kelab mereka.

Adakah anda fikir FFP kurang memberi impak kepada bola sepak pada masa kini?

Kieran menjawab:

Saya tidak fikir begitu, terdapat beberapa kelab yang cuba mematuhinya.

Semuanya berpunca dari sikap pemiliknya, ada yang mahu pulang modal atau mengaut keuntungan dan ada yang semata-mata mahu memenangi trofi.

Jika anda hanya mahu memenangi trofi, anda akan cuba mengeksploitasi setiap kelemahan dan menguatkan pasukan.

Saya fikir majoriti pemilik kelab, terutamanya pemilik Amerika mahu membuat keuntungan kewangan berbanding trofi [berbeza dengan Boehly].

Chelsea di bawah Abramovich tidak begitu peduli tentang FFP kerana bagi Abramovich memenangi trofi adalah hobi, ia adalah hobi yang mahal tetapi dia menikmatinya.

Mereka memenangi dua Liga Juara-Juara Eropah dan Liga Perdana dalam beberapa kesempatan yang mereka ada.

Jadi ia terpulang terhadap sikap pemilik.

Di EU, kebanyakan pemilik mahu pulang modal mereka tidak mahu membiayai kerugian besar. Ia bergantung kepada budaya kelab individu sama ada kelab itu cenderaung kepada mengawal FFP atau tidak, tetapi FFP sebenarnya telah mengurangkan kerugian, tidak ada keraguan tentang itu. Ia menyukarkan lagi kelab kompetitif baharu untuk membeli bakat bakat berkelas dunia.

Newcastle tidak dapat melakukan apa yang Chelsea capai di bawah Abramovich dalam beberapa tahun pertamanya dan apa yang Manchester City capai dalam beberapa tahun pertama mereka di bawah Sheikh Mansour.

Mereka telah membelanjakan banyak wang mengikut piawaian Newcastle, tetapi tidak banyak wang mengikut piawaian kelab lain dengan pemilik kaya ini.

Saya fikir pertama sekali mereka perlu memutuskan cara anda mentakrifkan apa itu perbelanjaan adil.

Cara terbaik untuk melakukannya adalah dengan mengagihkan wang secara lebih meluas antara kelab individu. Apa yang kita ada pada masa ini ialah jika anda memenangi Liga Juara-Juara Eropah, anda akan mendapat hadiah wang sebanyak €120 juta.

Itu memberi kelebihan besar kepada kelab kerana musim depan, mereka berkemungkinan besar untuk ke fasa akhir Liga Juara-Juara Eropah dan jika anda mahu bersaing dengan mereka, maka anda perlu membelanjakan wang.

Saya fikir pengagihan wang memang menyebabkan masalah, ia mengenai menghasilkan sesuatu yang boleh diterima oleh semua orang. Kerana jika kelab besar tidak menyukainya, mereka akan pergi dan menubuhkan satu lagi Liga Super.

Terdapat laporan UEFA yang ingin mengehadkan tempoh kontrak yang boleh ditandatangani oleh kelab, adakah itu langkah yang betul?

Saya rasa ada kes untuk itu jika kelab itu mahu membeli mereka dengan kontrak lapan tahun.

Untuk tujuan FFP, ia dianggap sebagai kontrak lima tahun, dengan cara itu pemain mendapat perlindungan daripada kontrak yang panjang tetapi FFP tidak disalahgunakan.

Saya telah mendengar bahawa peraturan itu akan datang dari musim panas 2023, itu adalah kisah klasik di mana FFP cuba menutup pintu kandang selepas kuda semua keluar — kerana Chelsea menggunakan kelebihan yang tidak akan dapat digunakan oleh kelab lain.

Baca yang lain