Maguire Kritik Corak Permainan Man United

Harry Maguire menjadi penyelamat Manchester United daripada kehilangan kesemua 3 mata di tangan Porto pada aksi Liga Europa awal pagi tadi waktu Malaysia.

Pada awalnya Man United sudah mendahului 2-0 namun berkeringat untuk mencari gol penyamaan ketika ketinggalan 3-2.

Tandukan minit akhir Harry Maguire berjaya menyelamatkan Man United daripada satu lagi episod kekalahan dengan 3 gol.

Maguire menegaskan bahawa dia sebenarnya benar benar sudah tahu cara bermain dalam tekanan  di pentas seperti ini. Dia akui tekanan kuat sedang dihadapi oleh pemain dan pengurus. Ini selepas beberapa keputusan mengecewakan dicatatkan mereka awal musim ini.

Bekas kapten United itu kemudian mengkritik corak permainan United. Dia masuk ke padang dan membantu memperbaiki corak permainan pasukannya terutama sekali ketika bertahan.

Selepas tamat perlawanan Maguire berkata: “Saya dah tahu sangat bagaimana semua ini  berlaku, pemain dalam tekanan yang sangat tinggi dan juga pengurus pun sama.

“Apabila kamu sudah mendahului 2-0 di tempat seperti ini, kamu harus lebih kental.

“Di atas padang, kami memberikan lawan kami terlalu banyak ruang, dan membenarkan terlalu banyak hantaran lintang dihantar lawan ke kotak penalti kami. Kami sangat teruk ketika tanpa bola.

“Jika kami mahu menjadi pasukan yang berjaya musim ini, kami tidak boleh melepaskan 2 gol dalam masa beberapa minit seperti itu.”

Harry Maguire menuai pujian peminat Man United yang agak kecewa dengan prestasi De Ligt dan juga Lisandro Martinez.

De Ligt melakukan beberapa siri kesilapan. Dia gagal dalam duel dan juga  melakukan hantaran lemah sebelum gol kedua. Ianya prestasi yang tidak bagus daripada De Ligt, hanya beberapa hari selepas Paul Scholes menganggap dia bukannya ‘upgrade’ kepada Maguire.

Scholes berterus terang melabel De Ligt satu pembelian yang tidak bagus daripada Man United.

“Adakah De Ligt upgrade kepada Maguire? Tidak! Kalau kita beli pemain baharu, kita mahukan mereka lebih baik daripada pemain yang sedia ada,” tegas Scholes yang mempersoalkan cara United rekrut pemain.