Maguire Tak Sesuai Jadi Kapten United Kata Rio Ferdinand

Rio Ferdinand menyatakan bahawa beliau secara peribadi tidak setuju dengan perlantikan Harry Maguire sebagai ketua pasukan. Ini kerana ada beberapa pemain lain yang lebih layak daripada Maguire.

Ferdinand menganggap perlantikan Maguire terlalu tergesa gesa dibuat oleh Manchester United. Mungkin hanya kerana pemain itu bek tengah termahal di dunia, ketika beliau dibeli?

Maguire, 28, dilantik menjadi kapten pada Januari 2020 oleh Ole Gunnar Solskjaer – hanya selepas 5 bulan menyertai Manchester United dari Leicester.

Ketika itu Ashley Young pergi menyertai Inter Milan. Membuatkan jawatan kapten dikosongkan.

Ole dengan yakin memberikan kepercayaan kepada pemain yang baru beberapa bulan beraksi untuk United.

Maguire kerap berdepan kritikan kerana prestasinya musim ini. Ferdinand tidak menolak kemungkinan, lilitan kapten pada lengannya membawa kepada tekanan tambahan untuk pemain itu. Membuatkan dia lebih bagus ketika bersama England berbanding dengan Man United.

Dalam siaran podcastnya, Vibe With Five, Ferdinand menganggap Maguire terlalu awal dilantik menjadi kapten United.

Tekanan menjadi kapten United sangat berbeza. Kerana kelab itu kelab besar dan sarat dengan sejarah kapten yang luar biasa.

“Saya rasa dia diberikan lilitan kapten terlalu awal. Menjadi kapten Manchester United satu tugasan sangat sukar. Kamu harus menyesuaikan diri dengan suasana baharu itu untuk berasa selesa tanpa ada tekanan tambahan sebagai kapten.”

“Menjadi kapten adalah tugasan sangat besar, ada sejarah yang akan bersamanya, satu bebaban yang berat di bahu kamu.”

“Adalah lebih penting untuk Harry Maguire fokus menjadi pemain utama United berbanding menjadi kapten.”

Ditanya siapakah calon yang lebih baik menurut Ferdinand?

Bek tengah legenda Manchester United itu memilih David De Gea. Jika tugasan kapten itu dahulu diberikan kepada De Gea, pastinya Maguire akan lebih fokus untuk menjaga prestasinya.

Lagipun, David De Gea merupakan pemain paling lama berkhidmat untuk Man United. Sejak beliau menyertai United dari Atletico pada 2011.

Dan sejak musim lalu dan musim ini De Gea berada dalam prestasi terbaiknya sekali lagi.

“Satu perkara yang kamu boleh balas balik adalah, jika tiada banyak pilihan kapten dalam kelab ini, jadi siapakah yang paling layak?”

“David De Gea adalah pilihan saya kerana dia sudah lama berada di sana dan dia tahu cara untuk menang.”

Ferdinand menganggap Maguire terbeban dengan tugasan kapten Man United yang sangat besar tanggungjawabnya. Sedangkan pemain itu masih muda dan sepatutnya fokus kepada pembangunan prestasinya serta beradaptasi dengan kelab.

Adakah anda bersetuju dengan pandangan Rio Ferdinand?