Usaha Barcelona untuk mendaftarkan Dani Olmo dan Pau Victor untuk separuh kedua musim La Liga, sekali lagi ditolak oleh mahkamah. Sebelum ini Laporta dilaporkan menjual satu lagi aset Barca untuk meraih €100 juta pendapatan. Ini dengan menjual VIP Box kepada syarikat dari Timur Tengah.
Barcelona yakin mereka akan dapat mendaftarkan Olmo dan Pau Victor dengan wang tersebut. Namun usaha itu ditolak oleh mahkamah atas beberapa isu. Pertamanya dari sudut Financial Fairplay. La Liga sebelum ini sudah menetapkan jumlah perbelanjaan maksimum untuk Barcelona adalah €426 juta. Dan ianya melebihi had tersebut jika mereka mendaftarkan Dani Olmo dan Pau Victor.
Sebelum ini Barcelona cuba menggunakan angka tajaan Nike untuk membantu mereka dalam meningkatkan had perbelanjaan kelab. Namun ditolak La Liga.
Seterusnya, kedua dua pemain adalah didaftarkan untuk sementara. Dani Olmo didaftarkan untuk mengisi tempat Christensen yang cedera. Begitu juga dengan Pau Victor.
Pendaftaran sementara ini berakhir pada 31 Disember 2024. Bermakna Barcelona perlu mendaftarkan mereka sebagai pemain baharu jika mahu menyertakan nama mereka ppada baki musim ini.
Barcelona memohon perintah mahkamah untuk melanjutkan pendaftaran melebihi tarikh akhir 31 Disember, dengan alasan bahawa menafikan pendaftaran akan melanggar hak pemain untuk bekerja.
Seterusnya Barcelona mendakwa La Liga telah mengubah polisi mereka. Hujah Barça ialah peraturan pendaftaran adalah tidak sah kerana ia dikawal oleh badan yang mereka anggap tidak cekap, seperti Jawatankuasa Perwakilan LaLiga , memandangkan sumber dari kelab Barça percaya peraturan tersebut telah diubah.
Apabila Ter Stegen cedera serius, Barça diberitahu bahawa mereka boleh menggunakan keseluruhan 80% daripada gaji penjaga gol Jerman sesuai dengan keadaan gaji skuad dan Wojciech Szczesny dibawa masuk, tetapi kini LaLiga tidak membenarkan baki jumlah gaji Ter Stegen untuk membantu dalam pendaftaran Dani Olmo pada separuh kedua musim ini.
Keputusan hakim mengenai pendaftaran Dani Olmo dibuat selepas perbicaraan minggu lalu, apabila peguam dari FC Barcelona dan La Liga telah dipanggil ke Ciutat de la Justícia di Barcelona untuk memberikan hujah mereka berikutan tuntutan mahkamah yang difailkan oleh kelab Catalan itu.
Mahkamah turut menolak permintaan Barcelona yang menganggap pendaftaran 2 pemain ini sebagai langkah berjaga-jaga. Penolakan ini adalah di luar jangkaan kerana Barcelona sebelum ini berjaya dengan kes yang sama untuk Gavi pada 2023.
La Liga menegaskan bahawa syarat untuk melanjutkan pendaftaran tidak dipenuhi, dan mereka menekankan kepentingan mematuhi pematuhan kewangan.
Mereka berhujah menentang penggunaan baki gaji pemain yang cedera seperti Ter Stegen oleh Barcelona untuk mendaftarkan Olmo dan Victor, dengan menyatakan bahawa ruang ini sudah diduduki oleh pemain lain, Wojciech Szczesny.
Walaupun terdapat usaha untuk menjana pendapatan melalui penajaan baharu, seperti perjanjian Nike, dan potensi jualan seperti kotak VIP di Spotify Camp Nou, ini dianggap tidak mencukupi oleh La Liga untuk membenarkan pendaftaran Olmo dan Victor.
Strategi kewangan Barcelona, termasuk penjualan kotak VIP ini, masih dalam semakan, dan dana belum lagi ditunjukkan secara mutlak dalam akaun mereka untuk melaraskan had gaji mereka.
Barcelona dilaporkan mahu memfailkan saman yang mencabar sistem membuat keputusan La Liga, khususnya kuasa Suruhanjaya Perwakilan La Liga dalam urusan pendaftaran pemain.
🚨⚠️ The second court today has rejected Barcelona’s appeal to register Dani Olmo and Pau Victor, reports @mundodeportivo. pic.twitter.com/ZhvrfB68QV
— Fabrizio Romano (@FabrizioRomano) December 30, 2024
Kegagalan untuk mendaftarkan Dani Olmo pastinya satu tamparan hebat untuk Hansi Flick dalam usaha mereka mahu bangkit semula dalam persaingan kejuaraan La Liga. Di mana ketika ini mereka terlepas kelebihan berada di tempat teratas dalam persaingan.