Mak Cik Kiah Jadi Trending, TSMY Cuit Dan Sentuh Hati Rakyat Malaysia

Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan pakej rangsangan ekonomi ketika negara sedang berhadapan dengan wabak koronavirus.

TSMY memang dikenali dengan ucapannya yang santai dan seperti abah abah. Macam tempoh hari beliau berkata: “Duduklah kat rumah tu bersama keluarga, tengok HBO.”

Kali ini TSMY memberikan contoh dengan Mak Cik Kiah pula. Ianya telah membuatkan nama Mak Cik Kiah Trending lebih awal daripada TSMY.

Di dalam keseriusan TSMY dalam menjelaskan bantuan dan rangsangan ekonomi kepada rakyat dari pelbagai lapisan, beliau berjaya mencuit hati rakyat yang sedang berduka.

Dengar di sini penjelasan santai oleh TSMY:

Ramai yang menganggap penjelasan itu sangat menyentuh perasaan dan mencuit hati. Jelas sekali TSMY bercakap seperti seorang pemimpin di sebuah kampung.

Malah ramai yang meminta agar penulis skrip perutusan TSMY dinaikkan gaji segera!

Namun ada juga yang sangat tersentuh dengan bahagian akhir ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Dan kerajaan ini mungkin bukn kerajaan yang anda undi. Namun saya nak anda semua semua tahu kerajaan ini megambil berat tentang kami.”

“Saya menerima hakikat bahawa saya menjadi perdana menteri anda semua pada waktu yang tidak baik. Saya berhadapan dengan krisis politik, ekonomi dan kesihatan — sama seperti anda semua.”

Berikut adalah petikan rumusan oleh BERNAMA:

Analogi penjual pisang goreng bernama Mak Cik Kiah digunakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memperjelas contoh manfaat Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020 (PRIHATIN) yang diyakini mampu membawa senyuman kepada rakyat dalam tempoh mencabar akibat penularan COVID-19 ini.

“Daripada semua bantuan kerajaan ini, saya nak beri satu contoh mudah supaya saudara-saudari senang kira. Contohnya, Mak Cik Kiah penjual pisang goreng yang duduk di PPR Desa Tun Razak, yang suaminya adalah pesara kerajaan dan sekarang ini bawa Grab.

“Anak Mak Cik Kiah adalah peminjam PTPTN. Pendapatan isi rumah Mak Cik Kiah di bawah RM4,000 sebulan. Dengar baik-baik. Saya nak bantu buat pengiraan berapa keluarga Mak Cik Kiah akan dapat,” katanya ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) berjumlah RM250 bilion, tadi.

Menurut Muhyiddin, di bawah pakej berkenaan keluarga Mak Cik Kiah akan dapat Bayaran Prihatin Nasional sebanyak RM1,600, baki BSH (Bantuan Sara Hidup) sebanyak RM600, bantuan pesara sebanyak RM500, bantuan tunai e-hailing sebanyak RM500.

“Kalau suami Mak Cik Kiah berkhidmat dengan RELA, dia akan dapat RM200 sebulan sehingga wabak berakhir. Keseluruhan pemberian tunai yang keluarga Mak Cik Kiah akan dapat ialah sekurang-kurangnya RM3,400,” katanya.

Selain itu, keluarga Mak Cik Kiah juga akan dapat penjimatan sewa Program Perumahan Rakyat (PPR) selama enam bulan sebanyak RM744, penjimatan penangguhan pinjaman kenderaan selama enam bulan sebanyak RM1,800, penjimatan bayaran bil elektrik selama enam bulan sebanyak RM120.

Anak Mak Cik Kiah juga akan dapat penjimatan daripada penangguhan bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selama enam bulan sebanyak RM1,200, katanya.

Menurut Perdana Menteri, sekiranya Mak Cik Kiah ada membuat pinjaman kredit mikro untuk perniagaan pisang goreng dengan bayaran balik pinjaman sebanyak RM100 sebulan, Mak Cik Kiah akan mendapat penjimatan sebanyak RM600 menjadikan keseluruhan penjimatan ialah sebanyak RM4,464.

“Jadi, keseluruhan nilai manfaat yang akan diterima oleh keluarga Mak Cik Kiah termasuk pemberian tunai dan penjimatan ialah sebanyak RM7,864.

“Jadi Mak Cik Kiah pun dah boleh tersenyum sikit dengar kiraan yang saya buat,” katanya.