Maka Lengkaplah Kisah Itali Baru Ciptaan Mancini, Dari Ranking Terburuk Kepada Juara Eropah

Selepas kesuraman bola sepak Itali beberapa tahun lalu, Mancini tiba bagaikan pelangi, tak bercahaya namun dia berseri.

Itali bermuram dengan kegagalan layak ke Piala Dunia 2018. Kerana itulah pertama kali mereka gagal ke Piala Dunia sejak 1958.

Buffon menangis meminta maaf kepada rakyat Itali sambil menyatakan sudah tiba masanya untuk beliau berundur.

Pada 5 Februari 2018, Itali melantik pengurus B-21 Luigi Di Biagio sebagai interim menggantikan Gian Piero Ventura. Di Baggio memujuk semula beberapa pemain yang sudah memutuskan untuk bersara untuk kembali, mereka ialah Buffon, Bonucci dan Chiellini. Namun ianya tidak memberikan impak kepada Itali ketika itu.

Mereka kalah di tangan England dan Argentina dalam aksi pershabatan dan berada di ranking paling rendah dalam sejarah ranking FIFA mereka iaitu di tangga ke-20.

FICG kemudian giat memburu pengurus baharu dengan beberapa nama di dalam senarai. Roberto Mancini menjadi pilihan utama setelah beliau dengan terbuka menyatakan beliau mahu menjadi pengurus kebangsaan pasukan negaranya.

Kehadiran Mancini

Pada 14 Mei 2018, Mancini diumumkan secara rasmi. Beliau kemudian mengesahkan bahawa mahu membina pasukan dengan skuad muda dan bertenaga, namun pada masa yang sama mahu Leonardo Bonucci dan Chiellini berada dalam pasukan.

Dua pemain ini akan menjadi pemain penting dalam mentoring semasa pembinaan projek Itali baharu di bawah kendaliannya, selain daripada kualiti malar segar dimiliki dua pemain veteran ini.

Dan perlawanan debut mereka berakhir dengan kemenangan 2-1 ke atas Arab Saudi dalam permainan Itali yang masih tidak begitu meyakinkan. Itali jatuh lagi ke ranking ke-21.

Mancini berhadapan dengan tugasan kejohanan pertamanya dengan aksi Liga Bangsa Eropah edisi sulung. Mereka seri dalam aksi pembukaan menentang Poland.

Tetapi Itali mulai meningkat naik di bawah Mancini. Mereka layak awal ke Euro 2020 dan menamatkan kempen kelayakan dengan 10 kemenangan dari 10 perlawanan. Itali menjadi hanya negara keenam dalam sejarah layak ke Euro dengan rekod kemenangan 100%.

Mancini sukakan permainan lebih ofensif. Lihat sahaja pendekatan mereka pada Euro kali ini. Mereka menekan tinggi pasukan seperti Belgium, Sepanyol dan England.

Gol pertama England adalah berpunca daripada corak permainan mereka dengan high pressing. Itu risiko biasa yang orang kata calculated risk bila bermain high pressing.

Mancini tidak membentuk Itali dengan DNA catennacio. Satu sistem permainan klasik Itali dengan bertahan kental, membuatkan lawan marah dengan permainan kompak dan fizikal.

Pada masa yang sama, melengahkan perlawanan serta bermain psikologi kuat.

Era Mancini mereka menekankan sistem permainan lebih terbuka. Pemain seperti Chiesa dan Insigne diberikan peluang untuk menunjukkan karakter permainan mereka dengan lebih bebas.

Arsene Wenger antara yang memberikan pujian dan kagum dengan hasil kerja Mancini di Itali. Yang jelas mengubah corak permainan Itali mengikut acuannya.

Ini Itali acuan Mancini

Wenger menejaskan, Itali yang ada pada hari ini berbeza dengan Itali yang klasik namun pasukan ini tetap berupaya menempatkan diri dalam sejarah bola sepak mereka kerana efficiency yang mereka tunjukkan.

Itali kali ini malah sangat tenang bermain build up dari bawah dengan Donnarumma serta Bonucci. Selain boleh menekan lawan mereka dengan high pressing.

Dalam ulasannya selepas aksi berdepan Sepanyol, Wenger berkata: “Kamu harus mengucapkan syabas kepada Mancini, dia membina semula pasukan ini.”

“Hakikatnya, kegagalan mereka mara ke Piala Dunia [2018] membolehkan beliau memberikan peluang kepada pemain pemain muda dan membina semula pasukan. Ini memberikan kamu lebih banyak masa untuk membina smeula pasukan.”

“Pasukan ini lebih berteknikal, karakter berbeza berbanding dengan Itali yang tradisional.”

“Namun pasukan Itali beliau [Mancini] ini mampu untuk meletakkan diri mereka dalam sejarah bola sepak Itali kerana mereka efisien.”

“Mereka efisien ketika bertahan dan efisien ketika pergi menyerang. Mereka menyudahkan bola dengan sebaiknya.”

“Wenger menambah: “Setiap percubaan ke arah gol [oleh Itali] adalah percubaan bahaya yang sebenar. Apabila melakukan bola akhir [hantaran akhir atau penyudah] ianya adalah bola akhir yang sebenar. Mereka sentiasa cuba melakukan semua perkara ini dengan sebaiknya.”

“Dan saya sukakan perkara seperti ini dalam diri penyerang penyerang Itali.”

Walaupun hadir dengan dua penyerang no.9 yang tidak berada di prestasi terbaik – Belotti dan Immobile, namun Mancini tetap berjaya membawa Azzurri menjadi juara Eropah sekali lagi.

Beliau membentuk pasukan Itali yang saling percaya dan ada rasa kebergantungan di antara satu sama lain yang tinggi.

Pada masa yang sama, sifat klasik Itali seperti beraksi kental dan bersemangat tinggi itu dikembalikan semula. Mancini turut mendapatkan sentuhan yang terbaik daripada dua serpihan tembok Turin.

Prestasi pemain seperti Gianluigi Donnarumma juga sangat mengujakan. Dua penentuan penalti, dua kali dia menjadi wira kemenangan.

Donnarumma malah menjadi penjaga gol pertama memenangi anugerah pemain terbaik Euro,.

Serpihan Wall Of Turin yang malar segar

Chiellini menunjukkan karakter captaincy beliau yang luar biasa. Sementara Bonucci menjadi pemain yang penting dari segi kualiti deep lying playmaking dari belakang.

Dia masih memiliki sentuhan hantaran laser yang cantik dan anggun.

Malah agak ikonik apabila Chiellini dan Bonucci menyerang pertahanan England dengan kelasakan dan fizikal mereka untuk mencetuskan gol penyamaan di Wembley yang disudahkan Bonucci.

Dalam dua penentuan penalti, Bonucci membuktikan ketenangannya dan membuang tekanan daripada pemain pemain muda yang lain.

Pada edisi 2016 kita menyaksikan tembok Turin ataupun Wall Of Turin yang digunakan media Itali merujuk kepada Bonucci, Barzagli, Chiellini dan ditambah pula dengan Buffon di gawang gol.

Conte menggunakan masterpiece utama Itali dengan taktikal digelar mini cattenaccio ketika itu.

Namun kali ini, Tembok Turin masih tetap menjadi batu asas kepada pertahanan Itali. Leonardo Bonucci dan Chiellini menjadi core kepada back 4 Itali pada temasya kali ini walaupun sudah berusia. Harus diingat, Spinazzola juga graduan daripada akademi Juventus. Agak sayang Spinazzola tercedera dan pulang awal.

Leonardo Bonucci dan Chiellini, kedua duanya pertahanan dengan corak permainan berbeza. Chiellini lebih kepada ball winner dan Bonucci lebih kepada ball playing center back.

Pada era Mancini, dua pemain ini menjadi asas kepada pembentukan pertahanan beliau. Walaupun sudah berusia namun mereka adalah malar segar. Pengalaman dan kualiti menjadi pertimbangan. Serpihan Tembok Turin dari 2016 ini ternyata masih ampuh.

Legenda Jerman, Bastian Schweinsteiger telah memuji gandingan ini sebagai terbaik dunia pada ketika ini.

Dengan segala perancangan yang teratur dan kelompok pemain yang terbaik beliau miliki akhirnya ianya memberikan pulangan lumayan.

Kelompok terbaik di sini, tidak semestinya seperti Messi dan Ronaldo. Tetapi pemain yang Mancini miliki adalah pemain yang sanggup berjuang ke titisan peluh terakhir bersamanya di atas padang.

Mancini sebenarnya masih ada banyak kerja selepas ini. Mujur Piala Dunia tahun hadapan. Kerana Itali pastinya perlu mencari pengganti pemain seperti Bonucci dan Chiellini yang bukan sekadar pemain, tetapi pemimpin.

Baca yang lain

Bayern Munich Mahu Unai Emery

Pengurus Aston Villa, Unai Emery kini berada dalam radar Bayern Munich. Bekas pengendali PSG dan pemenang beberapa trofi UEL itu menunjukkan hasil