Ketika perhatian diberikan kepada jaguh acara lari 400m wanita, Shereen Samson Vallabouy, terdapat kejutan dilakukan oleh pelari lelaki berusia 20 tahun Umar Osman yang turut memenangi acara 400 meter lelaki.
Pelari 400 meter itu berjaya meraih emas dalam debutnya di Sukan SEA dengan catatan masa 46.34 saat.
Sekaligus memecahkan rekod kebangsaan yang dicipta oleh Mohd Zaiful Zanian dalam kejuaraan Olaraga Junior Asia pada 2001. Rekod berusia hampir 22 tahun itu akhirnya dileburkan di bumi Kemboja.
Umar tidak melakukan permulaan yang baik. Di mana dia kelihatan agak ketinggalan. Namun lariannya semakin bertenaga pada 70 meter terakhir dan mengatasi atlet Filipina, Umajesty Wesley serta Frederick Cabatu Ramirez yang meraih perak dan gangsa untuk negara mereka.
Kejayaan ini juga menamatkan kemarau penantian emas acara 400 meter lelaki selama 14 tahun lamanya, sejak kejayaan oleh Zafril Zuslani ketika di Laos pada 2009.
Tahniah buat Umar Osman & Shereen Samson Vallabuoy atas pingat emas dalam acara 400m. 🥇🥇🔥#NadiArena #AstroArena #SukanSEA2023 pic.twitter.com/0C7oB18QM4
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) May 9, 2023
Seorang lagi pelari 400 meter negara, Abdul Wafiy Roslan menamatkan saingan di tangga ketujuh.
Umar menyatakan dia memberikan segalanya terutama sekali pada 70-80 meter terakhir.
“Saya memang bagi all out. Belasah je, tak fikir apa. Nak hamstring hamstring la, janji dapat emas,” kata Umar yang ternyata mengawal emosinya.
Dia juga seolah olah tidak percaya, berjaya meraih emas dan pada masa yang sama memecahkan rekod kebangsaan hanya dalam penampilan sulungnya.
“Ya yang pertama, itu yang saya tak percaya dan nak menangis tu.”
Umar Osman gegar Stadium Nasional Morodok Techo, raih emas dengan rekod baru kebangsaan 🏃♂️⚡️
Saksikan Nadi Arena setiap Isnin hingga Jumaat jam 7.30 malam di Astro Arena 801HD!#NadiArena #AstroArena #SukanSEA2023 pic.twitter.com/bU5dJxYsii
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) May 9, 2023
Umar menegaskan dia sanggup mengorbankan tingkatan enamnya dan memasuki politeknik yang memberikannya lebih kebebasan untuk berlatih untuk pasukan kebangsaan.
Pengorbanan Umar demi negara benar benar membuatkan ramai terharu.
Shereen Samson terlalu unggul
Dalam perkembangan lain yang berkaitan, jaguh 400 meter negara, Shereen Samson terlalu unggul untuk diatasi mana mana perserta lain dalam kelas kegemarannya itu.
Pelari wanita negara itu merangkul emas dengan catatan 52.3 saat. Dia kelihatan selesa meninggalkan pelumba yang lain pada beberapa puluh meter terakhir dengan tiada desakan daripada pesaingnya dari belakang.
Shereen memutuskan untuk mengekalkan rentak lariannya dan tidak melakukan pecutan tambahan. Taktiknya itu ternyata bijak dan berjaya.
Kejayaan ini sekaligus menamatkan dominasi legenda Vietnam iaitu Nguyen Thi Huyen, yang juga legenda Sukan SEA, dengan rekod 4 emas berturut turut dalam 4 edisi sebelum ini.
Thi Huyen tetap berjaya menamatkan saingan di tempat kedua untuk meraih perak. Sementara seorang lagi pelari Vietnam iaitu Nguyen Thi Hang berada di tangga ketiga dengan catatan 53.84 saat untuk gangsa.
Shereen yang berlatih di Amerika Syarikat berjaya menambah koleksi emas untuk negara. Walaupun dia gagal memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri iaitu 51.8 saat yang dicatatkannya ketika Kejohanan Olahraga Tahunan Mt SAC Relays ke-63 di California, Amerika Syarikat.
#SukanSEA2023: Jaguh 400m wanita negara Shereen Samson Vallabouy raih emas, catat 52.53s
📸 Amiril Muttaqien Meketar | BERNAMA pic.twitter.com/r39GGwMw5r
— BERNAMA RADIO (@Bernama_Radio) May 9, 2023
Shereen turun menamatkan penantian emas yang jauh lebih panjang untuk acara wanita, di mana kali terakhir Malaysia memenanginya sebelum ini adalah pada 1999 di Brunei menerusi N. Manimagalay.
Satu lagi fakta menarik, Shereen turut mengulangi pencapaian ibunya yang turut merangkul emas untuk Malaysia pada era 80-an untuk acara 400m Sukan Sea.
Ibunya ialah Josephine Mary yang dilaporkan turut hadir memberikan sokongan kepadanya di Kemboja.
Tambah manis, Shereen ulangi kejayaan ibunya, Josephine Mary yang turut memenangi emas dalam acara itu, pada tahun 80-an
— Astro Radio News (@AstroRadioNews) May 9, 2023
Tahniah kepada Umar Osman dan Shereen Samson Vallabouy di atas kejayaan yang berjaya mengharumkan nama Malaysia.
Apa yang pasti mereka adalah masa depan untuk olahraga Malaysia. Semoga terus sukses dan mencapai lebih banyak kejayaan manis selepas ini di arena olahraga.