‘Malaysia Tak Mahu Anjur Sukan Komanwel Demi Kepentingan Rakyat’

Malaysia akhirnya rasmi menolak tawaran CGF untuk menganjurkan Sukan Komanwel 2026.

Sebelum ini Australia membatalkan penganjuran Sukan Komanwel 2026 kerana faktor kos penganjuran terlalu tinggi. Kerajaan memutuskan lebih relah untuk membayar penalti RM1.15bn berbanding menanggung kos penganjuran sebanyak RM7bn.

Kemudian CGF cuba memujuk Malaysia untuk menganjurkan Sukan Komanwel 2026. Dengan menawarkan bantuan wang RM600 juta kepada Malaysia.

Namun kerajaan Malaysia mengesahkan bahawa mereka tidak berminat untuk menganjurkannya. Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan bahawa, Malaysia tidak mampu untuk menanggung kos operasi sukan tersebut yang sangat tinggi.

Hannah menyatakan bahawa kerajaan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan tak akan sesekali membazirkan wang pembayar cukai untuk penganjuran sukan itu.

KBS turut menegaskan bahawa itu bukan bermaksud mereka tidak menyokong pembangunan sukan. Namun KBS sentiasa percaya pembangunan sukan itu harus selari dengan kepentingan rakyat dan juga fokus kepada kehidupan seharian yang sihat.

Dipetik dari Sinar Harian, Hannah berkata di Dewan Rakyat: “Setakat ini pendirian Kerajaan Persekutuan belum diketahui tetapi saya boleh nyatakan pandangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) iaitu apa yang pasti KBS sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan nombor satu dan tidak sama sekali membazirkan wang pembayar cukai jika pun bersedia untuk menganjurkannya.

“Kita akan pastikan pendekatan konservatif diambil setiap kali ia melibatkan duit rakyat. Jika kerajaan bersetuju untuk melaksanakannya, KBS mencadangkan perbelanjaan tidak melebihi geran yang diberikan oleh CGF (Persekutuan Sukan Komanwel).”

CGF masih mencari penganjur untuk edisi 2026 itu. Walaupun ada pihak menjangkakan bahawa Sukan Komanwel 2026 mungkin terpaksa dibatalkan, namun CGF yakin bahawa penganjurannya akan tetap dilaksanakan.

Dalam gagasan komanwel tidak banyak negara yang memiliki kemampuan untuk menganjurkan sukan skala besar seperti Sukan Komanwel.

Seterusnya Kanada turut menarik diri daripada membida hak penganjuran untuk edisi 2030. Ini kerana kerajaan Kanada ketika ini memfokuskan untuk mengimbangi hutang negara pasca pandemik.

Kanada merasakan bahawa kos penganjuran Sukan Komanwel akan meletakkan negara mereka dalam risiko beban hutang yang besar. Hasil kajian dibuat Sukan Komanwel masih gagal menarik penajaan yang besar seperti mana Sukan Komanwel. Jadi, penganjurannya yang sangat tinggi pada ketika ini bukan satu pilihan untuk negara itu.