Malaysia ‘Test-Drive’ Kereta Terbang Khamis Ini Di Subang

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof mengesahkan beliau akan melakukan test drive kereta terbang pada Khamis ini.

Redzuan memaklumkan perkara itu dalam penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 bagi kementeriannya di Persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.

Dipetik daripada Berita Harian, Redzuan berkata: “Saya nak ulangi jemputan saya, hari Khamis ni saya akan naik kereta terbang.”

“Saya jemput kalau Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) nak datang… ambil gambar dan duduk sebelah pun boleh,” katanya.

Tidak pasti sama ada ia gurauan ataupun serius. Sukar betul nak membaca gerakan false nine beliau.

Ianya kerana Mohd Redzuan turut memberikan amaran kepada semua pihak agar tidak menidakkan kemajuan serta memperlekehkan inovasi generasi muda.

Beliau juga menambah: “Ini merupakan idea anak muda. Mereka ini disebut belia. Merekalah yang bawa hobi ini.”

“Justeru, pada hari ini, kita menggalakkan sekolah-sekolah supaya menggalakkan pelajar untuk terlibat dalam kemahiran mobiliti udara [kederaan terbang].”

Selain itu, Redzuan dalam penggulungannya turut menjemput ahli-ahli parlimen lain yang nak ikut serta mengjui kereta terbang untuk datang ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Khamis ini.

Jadual uji pandu adalah pada 2 petang.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof turut mencelah dan mengadu bahawa beliau tidak dijemput untuk menyaksikan sesi ujian memandu itu.

Redzuan kemudian menyatakan semua dijemput hadir termasuk speaker. Yang penting ingat tarikh dan juga jam 2 petang di Subang.

Cerita kereta terbang ini merupakan cerita yang sudah lama kita dengar. Ianya menjadi lebih hangat apabila awal tahun ini, Kementerian Pembangunan Usahawan mengeluarkan vector yang diinovasikan syarikat tempatan, Aerodyne, untuk prototaip kereta terbang.

Ketika itu Mohd Redzuan memberikan bayangan bahawa prototaip sebenar yang pertama akan dipamerkan pada Oktober 2019.

Menurutnya lagi, pembangunan kereta terbang pertama negara adalah diusahakan syarikat swasta tanpa penglibatan dana kerajaan.

Turut diumumkan, kerajaan sedang memainkan peranan sebagai fasilitator dalam membangunkan ekosistem industri mobiliti udara.

Mohd Redzuan juga yakin, dalam masa terdekat, akan menaiki kereta terbang, dengan adanya undang-undang keselamatan, insurans dan sebagainya.

Dan jarak dari KL ke Penang hanya dalam masa sejam.

Mereka juga sedang mengkaji tentang laluan udara yang akan digunakan oleh kereta terbang, apabila ia menjadi kenyataan kelak.

Sumber:

BH Online
Sinar Harian

 

Baca yang lain