Man Kongsi Rezeki Hadiah MLM, Sumbang RM50,000 Kepada Memerlukan

Bagi mereka yang mengikuti karier Man Raja Lawak, pastinya kenal bahawa dia antara pelawak yang paling humble.

Man ni ambik je job yang ada sebelum ni. Tak kisahlah job tu ciput bayarannya. Pernah juga tengok Man ni ambik job jadi pengacara pembukaan untuk kedai tilam.

Man seorang yang mesra dengan para peminatnya di luar. Harap beliau akan terus kekal begitu.

Man sebenarnya sudah lama dalam industri hiburan. Walaupun beliau menjadi juara Raja Lawak musim kelima, tetapi kariernya tidak selancar seperti mana pelawak yang lain.

Tetapi beliau tak pernah berputus asa.

Sehinggalah tahun 2019 memberikan rezeki kepadanya. Ini apabila menjadi juara Maharajalawak Mega bersama dengan kumpulan Puteh.

Maharajalawak Mega merupakan pentas pertandingan paling beprestij untuk pelawak tanah air.

Man menjadi tambahan yang sangat penting dalam membantu Puteh – yang sebelum ini duo – dan akhirnya menjuarai Maharajalawak Mega 2019.

Kumpulan Puteh menang trofi dan hadiah wang tunai RM500,000.

Man kongsi rezeki

Di kala ada segelintir artis yang berperang dengan netizen hal bantuan khusus, Man mengambil pendekatan berbeza.

Beliau melihat krisis kesihatan yang melanda Malaysia pada hari ini adalah perkara yang membuatkan lebih ramai yang terkesan berbanding dengan orang seperti beliau.

Lalu Man berikrar untuk berkongsi rezeki hadiah kemenangannya dengan mereka yang memerlukan.

Menerusi instagramnya, Man berkata:

“Situasi sekarang amat terkesan kepada semua warga Malaysia termasuk saya dari segi emosi dan kewangan.”

“Saya Abd Rahman B Kasim sebagai warga Malaysia dengan rendah hati terpanggil untuk berkongsi hadiah wang tunai hasil juara MLM 2019 tempoh hari  bagi meringankan beban anda untuk meneruskan kehidupan.

“Sesiapa yang benar-benar memerlukan bantuan sahaja yang akan saya layan dan sila DM (direct message) berikan detail (maklumat lengkap) kenapa saya harus membantu anda sehinggalah bajet 50K (RM50,000) habis digunakan sepenuhnya.”

“Saya akan teliti setiap permohonan. Sekiranya tiada respon [daripada pihak kami] maknanya permohonan anda gagal. Semoga bantuan kecil ini dapat dimanfaatkan sebaiknya.”

Man kemudian tidak meminta banyak daripada peminatnya. Beliau hanya meminta mereka mendoakannya murah rezeki dan terus sihat.

“Hanya doakan saya murah rezeki dan sihat tubuh badan,” tegas Man lagi.

Beliau menyertakan tanda pagar #StayAtHome dan #KitaJagaKita.

https://www.instagram.com/p/B-Y8WWelNpq/?utm_source=ig_embed

Usaha murni Man itu mendapat pujian daripada ramai pihak. Ini kerana, beliau telah menunjukkan bahawa keperibadian beliau yang mulia serta boleh dicontohi oleh orang lain terutama sekali artis.

Ramai juga mengingatkan agar mereka yang benar benar memerlukan sahaja memohon bantuan daripada Man. Janganlah nak mengambil kesempatan pula kan.

Semoga usaha Man ini dipermudahkan dan mereka yang benar benar memerlukan akan mendapat bantuan daripada beliau.

Ketika ini adalah masa yang sukar. Di mana semua pihak seharusnya bersatu padu untuk menempuhi perkara ini bersama sama.

Baca yang lain