Manchester United telah memberitahu Antony bahawa pemain itu boleh mencari kelab baharu pada Januari berikutan pemecatan Erik Ten Hag.
Pemain itu dijangka tiada dalam perancangan Ruben Amorim yang mungkin memerlukan dana tambahan untuk membawa pemain yang dia mahukan.
Man United sebelum ini membeli Antony dengan nilai sekitar £86 juta atau €100 juta dari Ajax.
Pemain itu gagal memenuhi harapan yang diletakkan atas bahunya. Erik Ten Hag sendiri kemudian dilihat sudah semakin kurang mempercayai pemain itu untuk aksi kesebelasan utama.
Dia banyak muncul sebagai pemain simpanan dan piala domestik.
Antony tidak pernah menjaringkan lebih 9 gol dalam liga untuk semusim. Kempen terbaiknya di Ajax menyaksikan dia mecetak 9 gol dan 8 asssist dalam liga pada musim 2020/21.
Dan jaringan terbanyak liga secara peribadi dia catatkan di United adalah 4 gol semusim pada musim 2022/23.
Pemain itu sebelum ini disiasat polis kerana dilaporkan telah memukul pasangan hidupnya sebelum ini sehingga rosak buah dada sintetik.
Dia juga dikatakan menyerang kekasihnya sehingga cedera dan hal itu dikatakan telah dirahsiakan beberapa pegawai Man United yang menghantar bantuan kecemasan ke bilik hotel.
Antony menafikan semua cerita tersebut. Menyatakan bahawa dia sentiasa menghormati wanita.
Ten Hag akui kontroversi di luar padang itu sedikit sebanyak mempengaruhi prestasi Antony. Dia digugurkan daripada skuad Brazil kerana disiasat polis pada masa itu. Dan kelihatan semakin sukar untuk mendapatkan semula tempatnya di pasukan kebangsaan.
Pra musim lalu, Man United dilaporkan menerima tawaran daripada kelab Sepanyol yang mahu meminjam Antony. Namun pemain itu tak setuju.
Dia kemudian dibenarkan untuk mencari kelab baharu kerana United mahu menjualnya. Pemain itu kekal setia dengan Manchester United dan memberikan amaran bahawa peminat bola sepak akan mendengar namanya lebih banyak diumumkan sebagai penjaring gol dan pencipta assist selepas ini.
Malangnya itu tidak berlaku. Dia malah kehilangan tempat kepada pemain muda seperti Amad Diallo dan Alejandro Garnacho.
Ten Hag dikatakan sudah semakin berputus asa dengan Antony dan mahu menjualnya. Man United kemudian membuka bidaan kepada kelab kelab yang berminat. United sedia menerima separuh harga untuk bayaran perpindahan Antony atau sekitar £43 juta.
United juga minggu lalu dikatakan sedia mencari kelab yang mahu meminjam Antony pada Januari. Dengan tiada paksaan untuk pembelian tetap.
Dan pemecatan Ten Hag membawa kepada situasi lebih sukar buat Antony. Dia kini disenaraikan untuk disingkirkan seawal Januari ini.
Antony pasti berharap Ruben Amorim mahu menjadikan dia pemain pentingnya selepas pengurus itu tiba nanti.
Jika sekadar menjadi pemain simpanan, kelab mungkin akan setuju sangat. Sebab gaji pemain itu tinggi.