Maradona: Kisah No.10 Yang Menjulang Argentina Ke Puncak Tertinggi

Diego Maradona, dianggap salah seorang pemain terbaik sepanjang zaman di arena bola sepak. Lihatlah apa yang dia lakukan di dalam kariernya.

Menjulang Argentina menjadi juara dunia, dengan aksi yang dikatakan hampir one man show. Dan kemudian membantu pasukan kecil seperti Napoli memecahkan dominasi kelab kaya di Itali untuk menjadi juara Itali sebanyak 2 kali.

Maradona adalah pemain yang kariernya sarat dengan suka dan duka, rona yang tersendiri mencorakkan namanya di hati peminat.

Maradona lahir pada Oktober 1960 di Villa Fiorito, Buenos Aires. Merupakan anakn kelima daripada 8 adik beradik. Ayahnya seorang pekerja kilang.

Dari kecil, Maradona berimpian mengubah nasib keluarganya. Dan cara terbaik yang mampu difikirkannya adalah dengan bola sepak.

Bakatnya yang luar biasa membuatkan namanya menjadi perhatian dengan cepat di negaranya. Dia diserap masuk ke dalam pasukan Piala Dunia Belia 1979 di Jepun. Ini selepas dia terlepas tempat dalam skuad Piala Dunia pada sebelumnya.

Maradona membantu negaranya menjulang Piala Dunia Belia 1979.

Dan pada 1982, Maradona melakukan debutnya bersama Argentina dalam Piala Dunia di Sepanyol. Dalam aksu superclasico pertamanya bertemu Brazil, dia dibuang padang.

Maradona berkelana ke Eropah dengan menyertai kelab gergasi Sepanyol dan juga Napoli. Ketika di Barcelona, dia berdepan dengan isu kecederaan dan juga beberapa isu disiplin. Akhirnya dia dilepaskan ke Napoli pada 1984.

Di sana dia menjadi Raja Naples / King of Naples. Ini selepas Maradona membantu Napoli menjadi juara Itali sebanyak 2 kali.

Prestasi cemerlangnya di Napoli menjadikannya pemain yang menuju ke kemuncak kariernya.

Pada 1986 adalah kemuncak sebenar karier Maradona. Di mana dia mengepalai negaranya menjulang Piala Dunia 1986 di Mexico.

Ketika itu Maradona melakukan gol kontroversi paling popular dalam bola sepak iaitu, hand of god.

Namanya menjadi sasaran media dan peminat England sehingga ke hari ini. Mereka menganggap Maradona adalah penipu.

Maradona sendiri menyatakan dia memahami kesakitan dirasai peminat England dan mengakui jika pada masa itu ada VAR, sudah pasti gol itu tak akan pernah wujud.

Satu lagi gol solonya dalam perlawanan itu, lebih cantik di mana Maradona menggelecek hampir separuh daripada pemain England di atas padang sebelum mengacah Peter Shilton. Gol yang diiktiraf FIFA sebagai gol tercantik dalam abad ini.

Maradona bermain dalam final Piala Dunia 1986, dan beliau membantu negaranya menewaskan Jerman Barat 3-2 di Atzeca Stadium, Mexico City.

Ia kekal menjadi momen paling indah dalam sejarah bola sepak Argentina. Pencapaian yang tidak pernah disangka sangka akan dilakukan mereka ketika itu.

Segalanya menjadi realiti kerana adanya pemain bernama Maradona.

4 tahun kemudian, Maradona tampil sekali lagi dalam aksi Piala Dunia. Dan sekali lagi membantu negaranya mara ke final dalam temasya yang berlangsung di Rome.

Argentina bertemu Jerman Barat sekali lagi. Dan kali ini Maradona dan rakan rakannya meratapi kekalahan tipis 0-1 di final.

Maradona menjadi bintang tumpuan lagi dalam Piala Dunia 1994, USA. Piala Dunia paling moden ketika itu dan memiliki ledakan revolusi publisiti yang luar biasa.

Namun malangnya, Maradona diuji positif barang terlarang dan dia terus disingkirkan daripada kejohanan oleh FIFA. Maradona dikenakan penggantungan 15 bulan dan membawa kepada pengakhiran kariernya di Napoli.

Selepas bersara daripada bola sepak, Maradona mulai ketagih alkohol dan kecanduan barang terlarang lain. Cara hidupnya yang tak sihat sentiasa menjadi perhatian media. Namun semua itu digerhanakan oleh status legendanya sebagai pemain bola sepak dan pencapaiannya ketika bergelar pemain.

Maradona bergelut untuk pulih daripada tabiat buruknya itu dan beberapa kali mengalami masalah kesihatan. Dia kemudian dilantik menjadi pengurus Argentina pada aksi Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan – dengan mempertaruhkan bintang yang digelar ‘Next Maradona’ – Lionel Messi dalam pasukannya.

Kempen Argentina ketika itu menghampakan. Maradona memutuskan untuk menyisihkan Javier Zanetti dan Esteban Cambiasso dari senarai akhir 23 pemain walhal mereka merupakan tonggak utama yang membantu Inter Milan menjulang treble.

Ini menyebabkan Maradona mendapat kritikan dari media di Argentina. Disebalik menerima kecaman hebat, Maradona tetap tegas dengan keputusannya.

Gol jaringan Gabriel Heinze sudah cukup untuk menewaskan Nigeria 1-0 pada perlawanan pembukaan. Jaringan hatrik oleh Gonzalo Higuain membantu Argentina menewaskan Korea Selatan 4-1 dalam perlawanan seterusnya.

Kemenangan 2-0 menentang Greece pada perlawanan terakhir kumpulan melayakkan Albiceleste layak ke pusingan 16 terbaik sebagai juara kumpulan.

Mexico tidak mendatangkan banyak masalah apabila mudah diratah 3-1. Perlawanan itu juga merupakan perlawanan terbaik mereka sepanjang kejohanan.

Gergasi eropah, Jerman menanti di suku akhir. Argentina tewas mudah 4-0 sekaligus menamatkan perjalanan mereka di bumi afrika.

Berikutan kekalahan memalukan itu, kontrak beliau tidak disambung oleh Persatuan Bola Sepak Seluruh Argentina.

Siapa pemain terhebat sepanjang zaman?

Ramai akan sentiasa membincangkan sama ada Pele ataupun Maradona. Legenda Brazil itu memberikan penghormatan kepada Maradona dengan menyatakan: “Sudah pasti, suatu hari nanti kita berdua akan menyepak bola sama sama di syurga.”

Rakyat Argentina sentiasa melihat Lionel Messi sebagai pemain yang serba serbi lengkap menggantikan Maradona. Dilihat pada rekod kariernya bersama kelab dan negara, memang Messi sangat luar biasa.

Namun setakat ini, Messi masih belum mampu menjadi Maradona yang menggelecek lawannya sehingga mengibarkan bendera Argentina megah sebagai juara dunia.

Yang pasti Argentina tidak akan pernah ada Maradona lagi dalam sejarah mereka.

Maradona meninggal dunia pada usianya 60 tahun kerana serangan jantung. Selamanya nama Maradona akan diingati sebagai salah seorang pemain paling hebat pernah beraksi dalam pentas bola sepak.

Baca yang lain