Maradona Meninggal Dunia Pada Usianya 60 Tahun, Ini Kisah Kariernya Yang Ikonik

Berita mengejutkan dunia bola sepak pada hari ini. Legenda Argentina, Diego Maradona disahkan meninggal dunia pada usia 60 tahun.

Pemenang Piala Dunia bersama Argentina itu disahkan meninggal dunia oleh ejennya yang sudah lama bersamanya iaitu Matias Morla.

Sebelum ini Diego Maradona menjalani pembedahan di bahagian otak di Buenos Aires pada Selasa. Pembedahan itu dilakukan untuk mengeluarkan darah beku daripada bahagian otak beliau.

Doktor peribadi Maradona iaitu Dr. Leopoldo Luque turut mengeluarkan kenyataan berkenaan perkara tersebut.

Namun Luque membayangkan bahawa tidak ada apa yang perlu dirisaukan tentang prosedur itu.

Dr Leopoldo berkata:

“Saya akan melakukan pembedahan ke atas beliau. Ini adalah pembedahan rutin.”

Sebelum ini Maradona juga kerap dimasukkan ke hospital kerana kondisi kesihatannya yang agak membimbangkan. Maradona terpaksa melepaskan sementara tugasannya di kelab.

Maradona sudah berdepan dengan masalah kesihatan kerana masalah ketagihan alkohol dan juga penyalahgunaan dadah.

Malah, sebelum ini Maradona pernah mengalami dua serangan jantung dan pernah disahkan dijangkiti hepatitis.

Pemenang Piala Dunia 1986 itu baru sahaja meraikan ulang tahunnya yang ke-60 beberapa mimggu yang lalu.

Maradona dianggap sebagai salah seorang pemain terbaik sepanjang zaman. Beliau mengetuai Argentina dan Napoli menggapai kegemilangan di dalam sejarah bola sepaknya.

Maradona seringkali dibandingkan dengan Pele, untuk menjadi pemain terbaik sepanjang zaman dalam sejarah bola sepak.

Beliau terkenal dengan gaya permainan yang lincah dan ketajaman di hadapan gol.

Ramai pemain dan pihak yang mengucapkan takziah dan berkongsi kesedihan.

Karier Mardona yang gemilang

Maradona memulakan kerjaya profesionalnya sebagai pemain bola sepak profesional dari kelab Argentinos Juniors. Dia bermain bersama Argentinos Juniors selama 5 tahun (1976-1980) dan menjaringkan 116 gol dalam 166 perlawanan.

Selepas itu, dia berpindah ke kelab gergasi Boca Juniors untuk satu musim di mana dia menjaringkan 28 gol dalam 40 perlawanan.

Prestasi luar biasanya di Boca Juniors menarik minat banyak kelab Eropah. Maradona menunjukkan kualiti dan pesona bintangnya di atas padang.

Barcelona adalah kelab seterusnya yang menjadi pilihannya dengan menyertai mereka pada 30 Oktober 1960 dengan rekod dunia ketika itu GBP5 juta. Dia bermain untuk Barcelona selama dua musim.

Dalam aksi El Clasico pada 26 Jun 1983, Diego Maradona menjaringkan gol untuk menewaskan Real Madrid 3-0 di Stadium Santioago Bernabeu. Prestasi luar biasa itu membuatkan Maradona diberikan tepukan gemuruh oleh penyokong Real Madrid.

Dia pemain Barca yang pertama menerima standing ovation di Bernabeu, kemudian barulah Ronaldinho dan Andres Iniesta.

Namun kariernya di Barcelona tidak begitu indah. Dia bermasalah dengan disiplin terutama sekali dietnya. Lalu Barca melepaskannya. Satu keputusan yang dianggap terburu buru ketika itu.

Barcelona menjual Diego Maradona kepada kelab Itali, Napoli pada tahun 1984.

Tiba di bandar Naples dengan catatan £6.9 juta (sekali lagi yang paling mahal pada masa itu), Diego Maradona dipuja sebagai penyelamat di sana dengan sambutan 75 ribu peminat di Stadium San Paolo.

Walaupun Napoli adalah pasukan midtable pada masa itu, ternyata kehadiran Maradona telah mengubah sejarah kelab itu buat selama-lamanya.

Diego Maradona terus diberikan lilitan kapten dan dia membantu Napoli untuk memenangi scudetto pertama.

Kemenangan kelab dari selatan Itali sangat menyentuh hati, terutama bagi masyarakat setempat yang menganggap Maradona adalah kurniaan tuhan yang harus mereka hargai.

Bukan mudah untuk kelab kecil seperti Napoli yang berada di Selatan mahu bersaing dengan kelab kaya dari Utara seperti Juventus, AC Milan atau Inter menguasai Serie A. Di Itali jurang ekonomi selatan dan utara masa itu sangat jauh.

Namun Maradona membuatkan dunia kini mengenali Napoli. Dengan dua Scudetto dan membantu Napoli memenangi Piala UEFA (sekarang Liga Europa) adalah bukti betapa hebatnya Maradona.

Bersama Napoli – selama tujuh musim – dia memenangi dua gelaran Serie A, satu Coppa Italia, satu Piala UEFA dan satu Piala Super Itali.

Di Napoli, Maradona dianggap legenda terbaik sepanjang zaman kelab mereka. Mereka tak dapat menjelaskan bagaimana seorang Maradona mampu membawa kelab mereka menjuarai Liga Itali dan kemudian Piala UEFA.

Maka tidak hairanlah kalau Maradona digelar sebagai King Of Naples oleh peminat Napoli.

Napoli sangat signifikan untuk Maradona selain daripada Boca Juniors. Dua kelab itu terpahat di hatinya buat selamanya.

Kemuncak karier Maradona adalah ketika dia membantu La Albiceleste menjuarai Piala Dunia 1986. Pada masa itu dia juga dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Piala Dunia 1986.

Paolo Maldini sendiri menyatakan bahawa Maradona adalah penyerang yang sangat menggerunkannya.

Namun, karier Diego Maradona bersama Napoli tidak sentiasa indah. Diego Maradona sering terjebak dengan kes-kes seperti penggunaan k0kain, masalah disiplin dan bermacam lagi.

Masalah dadah dihadapinya membuatkan Maradona terpaksa meninggalkan Napoli kerana larangan bermain 15 bulan oleh FIFA. Namun Napoli membuat keputusan bahawa jersi nombor 10 dipencenkan.

Setelah menyelesaikan hukumannya, Diego Maradona musim 1992-1993 menyertai Sevilla, namun tak lama. Dia kemudian menyertai beberapa kelab lain seperti Newell’s Old Boys dan kelab lamanya, Boca Juniors.

Perjalanan Karier Maradona sebagai pengurus

Diego Armando Maradona memiliki bakat semulajadi yang menakjubkan bagi seorang pemain bola sepak. Dianggap antara pemain terbaik sepanjang zaman, beliau memimpin Argentina memenangi Piala Dunia pada tahun 1986 di Mexico.

Beliau kini merupakan pengurus pasukan Gimnasia La Plata yang menduduki tangga ke-19 di Liga Argentina.

Mari bersama penulis kita soroti perjalanan Maradona dalam bidang pengurusan bola sepak yang diceburinya selepas menggantung but.

Permulaan Karier

Memulakan karier sebagai pengurus di Deportivo Textil Mandiyú yang bermain di liga bawahan Argentina pada tahun 1994 namun hanya bertahan selama beberapa bulan. Dengan hanya 1 kemenangan dari 12 perlawanan, adalah tidak pelik beliau dipecat.

Racing Club datang memanggil. Kali ini, rekodnya lebih baik dari sebelumnya dengan 2 kemenangan dari 11 perlawanan. Peratusan kemenangan naik dari hanya 8% kepada 18%.

Setelah dipecat, Maradona tidak terlibat dengan dengan bidang pengurusan hampir 13 tahun.

Membimbing Albiceleste

Argentina dalam bahaya untuk terlepas tiket ke pusingan akhir Piala Dunia 2010. Setelah pengunduran Alfio Basile, Albiceleste memerlukan pengurus yang mampu menaikkan semangat pemain yang kian pudar.

Hanya seorang calon yang difikirkan mampu menggalas tugas berat itu. Tidak lain tidak bukan ialah Maradona, kapten yang menjulang Piala Dunia.

Bermula dengan langkah kanan apabila menewaskan Scotland 1-0 di Hampden Park, stadium di mana beliau menjaringkan gol pertamanya untuk skuad kebangsaan.

Argentina menang 2 perlawanan seterusnya dan ini memberi sinar harapan kepada penyokong Albiceleste.

Tragedi La Paz

1 April 2009, Argentina meneruskan misi ke Afrika Selatan dengan menentang Bolivia di La Paz. Bermain di Estadio Hernando Siles yang berada lebih 3000 kaki di atas paras laut bukan sesuatu yang mudah.

Pemain yang tidak biasa bermain pada altitud yang tinggi akan mengalami kesukaran bernafas dan boleh menjejaskan tahap permainan mereka.

Hasilnya, skuad bimbingan Maradona tewas mengejut 6-1 di tangan pasukan yang hanya memenangi 2 perlawanan kelayakan mereka sebelum ini. Ini merupakan kekalahan terbesar mereka dalam 60 tahun. Dan ini juga bukan April Fools.

4 kemenangan dalam 6 perlawanan seterusnya membantu Argentina layak ke Piala Dunia mengiringi Brazil, Chile dan Paraguay sebagai wakil Amerika Selatan. (Uruguay layak melalui play-off)

Piala Dunia 2010

Menyisihkan Javier Zanetti dan Esteban Cambiasso dari senarai akhir 23 pemain walhal mereka merupakan tonggak utama yang membantu Inter Milan menjulang treble.

Ini menyebabkan Maradona mendapat kritikan dari media di Argentina. Disebalik menerima kecaman hebat, Maradona tetap tegas dengan keputusannya.

Gol jaringan Gabriel Heinze sudah cukup untuk menewaskan Nigeria 1-0 pada perlawanan pembukaan. Jaringan hatrik oleh Gonzalo Higuain membantu Argentina menewaskan Korea Selatan 4-1 dalam perlawanan seterusnya.

Kemenangan 2-0 menentang Greece pada perlawanan terakhir kumpulan melayakkan Albiceleste layak ke pusingan 16 terbaik sebagai juara kumpulan.

Mexico tidak mendatangkan banyak masalah apabila mudah diratah 3-1. Perlawanan itu juga merupakan perlawanan terbaik mereka sepanjang kejohanan.

Gergasi eropah, Jerman menanti di suku akhir. Argentina tewas mudah 4-0 sekaligus menamatkan perjalanan mereka di bumi afrika.

Berikutan kekalahan memalukan itu, kontrak beliau tidak disambung oleh Persatuan Bola Sepak Seluruh Argentina.

Mula Berkelana

Maradona meneruskan karier di timur tengah apabila menyertai Al-Wasl dan Fujairah yang berakhir dengan kekecewaan. Menyertai Dorados, kelab divisyen 2 Mexico namun gagal membawa kelab itu naik ke divisyen utama sebelum mengundurkan diri atas faktor kesihatan.

Rumusan

Kekecewaan lebih banyak menghiasi perjalanan beliau sebagai pengurus. Bagai langit dengan bumi jika nak dibandingkan dengan pencapaian beliau ketika bermain dahulu. Bakatnya dalam bidang pengurusan belum dibuktikan lagi, buat masa ini.

Baca yang lain