Luka Modric adalah salah seorang pemain bola sepak paling elegan di dunia. Bintang Real Madrid itu mempunyai pengalaman selama 20 tahun di peringkat tertinggi dan terus memberi inspirasi kepada pemain tengah muda di seluruh dunia.
Bekas pengurus Leeds United dan pengurus Uruguay yang semasa, Marcelo Bielsa berkata pemain paling sukar dicari ialah pemain nombor 8, seperti Modric.
Itu adalah salah satu pujian tertinggi daripada salah seorang pengurus terbaik sepanjang masa. Pemain Croatia itu telah menjadi nadi di bahagian tengah Real Madrid sejak 10 tahun lalu. Dia juga menjadi kapten paling berjaya untuk negaranya, membantu Crotia menamatkan saingan Piala Dunia di 4 teratas buat dua edisi berturut turut. Pencapaian tertinggi mereka pastinya menjadi naib juara Piala Dunia 2018.
Kejayaan itu membolehkan dia memenangi Ballon d’Or pada masa itu. Menjadi pemain pertama memecahkan duopoli Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo selepas Kaka.
Pemain berusia 38 tahun itu menyertai Madrid pada 2012, dan seseorang dengan yakin boleh mengatakan dia adalah salah seorang pemain terpenting mereka dalam dekad yang lalu, bersama Cristiano Ronaldo dan Karim Benzema.
Hanya Marcelo dan Karim Benzema telah memenangi lebih banyak trofi daripada Modric (23) dalam sejarah kelab. Dia memenangi Ballon d’Or pada 2018 kerana membawa Croatia ke final Piala Dunia.
Modric telah digambarkan sebagai pemain tengah yang serba boleh. Dia boleh duduk dalam-dalam dan mengawal permainan dan boleh membuat hantaran penentu di sepertiga akhir apabila diperlukan.
Dia mempunyai semua kualiti yang diinginkan oleh mana-mana pengurus dalam perlawanan hari ini, dan sebab itu kita melihat mengapa dia masih bermain di peringkat elit.
Pengurus veteran yang turut melatih Athletic Bilbao di Sepanyol baru-baru ini menggelar posisi nombor 8 sebagai ‘posisi Modric’. Bielsa telah melatih selama beberapa dekad, jadi dia adalah orang yang sangat ahli dalam dunia taktikal.
Menjadi rujukan pengurus moden seperti Mauricio Pochettino, Pep Guardiola dan ramai lagi. Bielsa dianggap bapa taktikal bola sepak moden.
Bielsa berkata: “Pemain paling sukar ditemui dalam bola sepak ialah 8. Saya menamakannya ‘Modrić’,” kata Bielsa yang menganggap posisi 8 adalah posisi Modric. Sama seperti orang menggelar posisi no.6 khas destroyer sebagai posisi Makelele.
Bielsa menjelaskan, Modric adalah pemain yang boleh menentukan tempo dan hala tuju permainan dengan kepakarannya mengolah gerakan dari bawah.
Dia juga pemain yang boleh bertahan dengan baik dan menjadi sangat lincah seperti no.10 apabila di luar kotak penalti.
Bielsa menambah: “Dia bertahan seperti 6 dan menyerang seperti 10. Dia mempunyai keupayaan untuk bertahan, kemahiran untuk menyerang dan memahami permainan di kedua-dua arah.”