Mark Clattenburg Sertai Nottingham Forest, Neville Luah Kecaman

Gary Neville mengecam tindakan Mark Clattenburg yang kini rasmi menyertai Nottingham Forest.

Neville mempersoalkan tindakan kontroversi bekas pengadil EPL itu dengan berkata: “Kau buat apa ni?”

Mark Clattenburg mempertahankan tindakannya dan menuduh Gary Neville sebagai kolot. Ini kerana bola sepak moden pada hari ini sangat kompleks.

Dan pemain serta jurulatih pun mahu memahami lebih mendalam cara pengadilan dan VAR berfungsi.

Misalnya, apa yang pasukan mereka harus lakukan selepas insiden Ivan Toney menukar kedudukan bola sebelum sepakan percuma yang masuk.

Clattenburg menyatakan: “Saya kecewa dengan Gary Neville. Sky [tempat Gary Neville bekerja] pun ada mengupah bekas pengadil untuk membantu penyokong memahami tentang peraturan bola sepak, dan Forest pun buat benda yang sama.”

Clattenburg, dilihat duduk di anjung koporat City Ground pada Sabtu ketika Forest menang 2-0 ke atas West Ham. Dia dijemput oleh pemilik kelab Evangelos Marinakis.

Idea mendapatkan Clattenburg ini adalah daripada pengurus baharu Forest iaitu Nuno Espirito. Ini untuk membolehkan mereka lebih memahami tentang pengadilan dan apa tindakan mereka selepas perlawanan, jika berlaku kontroversi dalam pengadilan.

Selain itu, pemain pemain juga akan dibekalkan lebih ilmu tentang peraturan bola sepak.

AS Roma turut mengambil pendekatan yang sama baru baru ini.

Clattenburg pernah menjadi pengadil kelas A di EPL sebelum meninggalkan liga itu pada 2017. Ini kerana konflik dia dengan PGMOL ketika dia menerima tawaran untuk menjadi penasihat pembangunan pengadil di Arab Saudi. Dia selepas itu hilang tempat dalam Piala Dunia, kerana tidak dicalonkan oleh FA England.

Namun Neville menganggap tindakan Clattenburg menyertai Forest sebagai memalukan. Dia juga mengkritik Forest yang membuat keputusan itu kerana koyak dengan keputusan pengadil.

Kemudian dia menyindir bidang kuasa Claattenburg sekarang adalah untuk mengungkit kesilapan pengadil.

Neville berkata: “Apa yang kamu buat ni? Kamu sudah dilantik di kelab itu dan tugas kamu untuk memberitahu kelab tentang apa kesilapan pengadil atau apa kesilapan yang mereka [pemain] buat.

“Saya kecewa dengan tindakan Nottingham Forest. Seolah olah mereka berkata: ‘Tengok semua ini, ianya [kesilapan pengadil] melukakan saya’. Saya faham, ada yang merasakan mereka ditindas kesilapan keputusan pengadil. Perkara itu memang boleh berlaku kadangkala dan saya tak sukannya.

“Namun untuk melantik bekas pengadil semata mata nak dia bagitahu kamu bahawa pengadil telah membuat kesilapan ke atas pasukan kamu, bagi saya, ini tindakan yang keterlaluan.

“Saya bukan nak menyerang penyokong Nottingham Forest, kerana ada di kalangan mereka pun rasa malu dengan tindakan ini. Mereka pun tak suka keputusan pengadil yang tidak memihak mereka. Tetapi saya tak rasa mereka setuju bahawa ini tindakan yang tepat diambil kelab.”

Clattenburg menuduh Neville sebagai hipokrit kerana Sky sendiri melantik pengadil untuk memberitahu penyokong tentang sesuatu pengadilan terutama sekali kesilapan pengadil.

Clattenburg berkata: “Ini bukanlah benda yang luar biasa di negara lain, di mana mereka sudah melantik konsultan dari kalangan pengadil. Cuma EPL sahaja yang tidak pernah setuju dengan idea seperti ini sehinggalah ke hari ini, di mana saya baru dilantik oleh Forest.

“Saya bertugas sebagai penganalisis prestasi. Saya akan membantu kelab memahami bagaimana sesuatu keputusan pengadilan dibuat. Membuat persiapan untuk perlawanan dengan menyediakan maklumat tentang pasukan pengadilan bertugas pada hari perlawanan.

“Dan salah satu matlamat utama saya adalah untuk membina hubungan lebih baik antara kelab dan PGMOL.”