Pelumba Repsol Honda Marc Marquez kali ini bersuara dengan nada kritikan selepas mengalami nasib malang sekali lagi di MotoGP Americas 2022.
Marc Marquez melepasi sesi perlumbaan MotoGP Americas 2022 pada hari Isnin dengan sangat dramatik.
Pelumba legenda yang digelar The Baby Alien itu mengalami masalah teknikal dengan motosikalnya. Masalah itu membuatkan Marquez yang bermula dari kedudukan 9 tergelincir ke tempat terakhir.
Namun, Marquez kemudiannya berjaya mendapatkan kembali kedudukan lebih baik dan mula berlumba dengan pesaingnya sedikit demi sedikit.
Itupun kerana kepakaran Marquez dalam menunggang motosikal yang agak sukar dijinakkannya.
Marquez akhirnya berjaya menamatkan saingan di kedudukan keenam dengan mencatat masa lebih perlahan iaitu 6.617 saat berbanding Enea Bastianini yang menduduki tempat pertama.
Setelah berjaya bangkit selepas mengalami masalah teknikal, Marquez turut berterima kasih kepada pasukannya yang membantunya mengatasi masalah tersebut daripada menjadi lebih teruk.
“Masalah teknikal pada permulaan memaksa kami kembali dari kedudukan terakhir ke tempat keenam. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pasukan saya atas kasih sayang yang mereka berikan kepada saya selama ini,” tulis Marquez dalam muat naik di akaun media sosial peribadinya.
Marquez menerima banyak pujian kerana aksi heroicnya pada perlumbaan kali ini telah menyelamatkan Honda daripada mencipta keputusan lebih buruk selepas motosikal Marquez buat hal.
Apapun keputusan perlumbaan kali ini, Marquez menyatakan bahawa secara peribadi, dia mencapai sasaran yang telah ditetapkannya sebelum perlumbaan.
Sebelum ini, Marquez berkata sasarannya pada perlumbaan kali ini adalah untuk menamatkan perlumbaan dengan baik.
“Kami melakukan beberapa perubahan baik pada motosikal hari ini dan matlamat untuk esok adalah untuk menamatkan perlumbaan dengan cara yang baik,” tulisnya beliau lagi.
Masalah teknikal pada motosikal Marquez membuatkan pelumba itu tidak gembira. Pada pusingan pertama Marquez di belakang dengan 4 saat. Dan akhirnya menamatkan perlumbaan dengan 6.617 saat di belakang juara MotoGP Americas, Enea Bastianini.
Marquez berkata: “Pada satu sudut lain, saya sangat kecewa. Kerana kami jelas sekali ada kepantasan. Saya mampu menikmati perlumbaan ini, mengejar dari belakang. Namun 25 mata sebenarnya boleh dicapai hari ini.”
“Kami ada masalah teknikal. Honda sedang menyiasatnya, mereka lebih tahu apa masalah sebenarnya.”
Alarm menyala
“Sejak saya tiba lagi, saya melihat ada ‘alarm’ pada dash motosikal saya. Ketika saya menghidupkan motor, motosikal saya menjadi gila. Dan saya fikirkan ianya akan sesuatu yang besar, sehinggalah di selekoh pertama, motosikal itu tiada kuasa langsung.”
“Saya sempat memeriksa sama ada saya secara tak sengaja meletakkan ‘limiter’. Alarm terus berbunyi sepanjang perlumbaan. Nasib baik pada selekoh pertama, peranti ‘holeshot’ tu terputus dan motosikal beroperasi dengan lebih baik.”
“Ianya tidak sempurna, kerana mesti ada perkara yang tak kena pada motosikal tu, cuma ianya lancar. Dari situlah kami barulah ‘mula’ berlumba.”
Ditanya tentang kondisi fizikalnya selepas mengalami satu lagi kemalangan sebelum ini, Marquez menyatakan fizikalnya tidak 100% namun dia akan melakukan yang terbaik.
“Saya sedar, saya tak boleh berlumba dalam keadaan 100% sepanjang perlumbaan. Namun saya sentiasa memberikan yang terbaik yang saya mampu. Ketika berbaki 5-6 pusingan, badan saya masih berkata ok. Dan saya cuba menamatkan perlumbaan,” kata Marquez yang melakukan pusingan terpantas peribadinya, dengan beza 0.032s berbanding pusingan terpantas Bastianini.
“Walaupun dalam keadaan yang saya ada sekarang, saya masih mampu berlumba dengan kepantasan yang bagus. Ok, keputusan ini bukan seperti yang kami jangkakan. Namun jika kita semak balik bagaiman teruknya permulaan kami pada selekoh pertama, jadi, di mana kami menamatkan perlumbaan hari ini, saya boleh katakan kedudukan ini akan membina keyakinan kami.”
“Sasaran utama saya adalah membina semula keyakinan diri dan cuba mengelakkan sebarang kemalangan sepanjang minggu kerana doktor menyatakan segalanya sudah diperbetulkan. Namun hakikatnya saya masih risau tentang kesihatan saya, dan impak pada baru baru ini, dalam 3 minggu lalu,” kata Marquez yang merujuk kepada insiden kemalangan di Mandalika, Indonesia.
Marquez menyatakan bahawa, kemalangan tersebut benar benar memberikan kesan kepada mentalitinya yang masih lagi trauma dengan kemalangan ngeri sebelum ini.
“Jadi saya hanya cuba menunggang sebaik mungkin tanpa terlibat kemalangan, ini yang paling penting sekarang ini.”
“Ianya bukan mudah, selepas memulakan perlumbaan sebegitu, dalam usaha kita mendapatkan semula keyakinan dan cuba memberikan persaingan.”
🤯 @marcmarquez93 TAKE A BOW! 🤯
24th into Turn 1 and he fights back to 6th! 👏👏👏
The COTA crown may have been lost but that ride is one of his best! 💪#AmericasGP 🇺🇸 | #GP500 pic.twitter.com/JzoehagQT2
— MotoGP™🏁 (@MotoGP) April 10, 2022
“Saya datang ke sini untuk bertanding. Sudah tentunya saya cuba mengawal diri sendiri untuk tidak terlalu terdesak.”
Paling penting untuk Marquez sekarang ini adalah sasaran peribadinya. Yang jelas bukan berkaitan dengan memenangi perlumbaan. Dia sedang berusaha membina semula keyakinannya. Marquez menyatakan bahawa dia sedang melakukannya langkah demi langkah.
“Paling penting menamatkan perlumbaan, tetapi hari ini kita mengambil risiko dan saya mendesak diri sendiri.”
Marquez menamatkan perlumbaan dengan bertarung sengit dengan juara bertahan Fabio Quartararo, menewaskan pelumba Yamahan itu dengan beza 0.143s.
“Akhir sekali, ianya satu pertarungan yang baik sekali dengan Fabio.”
Apa yang pasti prestasi Marquez dalam MotoGP Americas kali ini benar benar boleh dipuji. Dengan segala masalah motosikal H yang dia tunggang. Dia tetap mampu berada dalam kalangan 6 terratas.
Jadi tidak hairanlah, kalau Fabio Quartararo telah melabel Marc Marquez akan menjadi pesaing kejuaraan musim ini. Siri perlumbaan masih banyak lagi baki.